Sunday, January 18, 2009

'Ini filem dakwah'


RAJA AZMI


Anu Dalam Botol, filem terbaru terbitan Pengedaran J.A.S Sdn. Bhd. milik produser Raja Azmi Raja Sulaiman dijangka memulakan penggambaran pada tahun ini. Bagaimanapun sehingga hari ini Raja Azmi masih tercari-cari pelakon yang akan membintangi filem tersebut selepas Aaron Aziz menarik diri kerana tidak mendapat kebenaran L’Oreal, syarikat kecantikan yang melantik beliau sebagai duta produk itu.

Bagaimanapun Raja Azmi mempunyai beberapa senarai pelakon untuk ditawarkan membintangi filem tersebut dengan syarat mereka perlulah sanggup melakukan adegan panas.

Kata Raja Azmi, filem yang berkisar mengenai kehidupan cinta sejenis pasangan lelaki itu memestikan pelakon lelaki melakukan adegan berlaga hidung, bercium mulut, meraba serta beberapa aksi separuh bogel di ranjang.

“Saya mahu paparkan adegan itu untuk ditatap kepada umum,” kata beliau yang mahu dipanggil Kak Mi.

Ditanya adakah beliau mahu mencari kontroversi kerana memaparkan adegan yang mungkin akan mendapat bantahan ramai, ujarnya ia merupakan salah satu cara beliau berdakwah.

Malah beliau berani memaparkan sesuatu yang dinamakan kebenaran kerana filem tersebut perlu dilihat dari sudut positif iaitu untuk mendidik orang ramai agar tidak terjebak di dalam kancah tersebut. Raja Azmi tolonglah jawab!

Mungkin ada yang masih belum tahu cerita Anu Dalam Botol. Boleh Kak Mi cerita sikit sinopsis filem ini?

Filem ni berkisar percintaan sejenis lelaki dengan lelaki. Ia menceritakan bagaimana seorang lelaki yang normal sanggup mengubah keadaan fizikalnya menjadi perempuan kerana mengharapkan cinta pasangannya. Tapi selepas membuat pembedahan membuang "anu" (kemaluan lelaki) dia ditinggalkan kekasihnya. Apabila dia bertaubat dan menjalani kehidupan normal, dia tak boleh berkahwin kerana anu dia sudah tiada lagi. Yang ada hanyalah kekesalan apabila dia sekadar mampu melihat anunya itu yang disimpan di dalam botol.

Dari mana dapat cerita ini?

Ia sebuah kisah benar kehidupan kaum maknyah yang buat pembedahan. Saya dapat cerita ini masa saya tengah makan dengan seorang pengurus produksi, Sutex. Dia ceritalah macam mana kawan dia yang buat pembedahan sekarang ni derita sebab dah tak ada anu. Maknyah tu kesal kena tinggal dengan pasangan sejenis dia. Bila dia dah berubah, perempuan pula tak nak dekat dia sebab dia dah tak ada anu. Takkan nak kahwin? Dari situlah saya terfikir lebih baik cerita ini difilemkan.

Barisan pelakon macam mana pula? Siapa yang dah setuju?

Mula-mula Aaron Aziz dah setuju tapi akhirnya L'Oreal tak bagi dia berlakon. Alasannya filem ini tak ada moral sebab ceritanya. Pada saya, bukan soal moral tetapi sebagai pelakon, dia orang perlu dibolehkan berlakon. Tak kiralah watak macam mana sekali pun.

Mungkin ada benarnya kerana filem "panas" selalunya dikatakan tidak bermoral.

Sebelum buat filem ni saya dengar cerita yang disampaikan itu dengan linangan air mata. Filem ini sebenarnya membentuk moral yang tinggi. Selama ini kita menghentam kaum maknyah, pengkid tetapi kita tak berusaha nak mengubah hidup mereka. Malah di sekolah pun kita masih malu-malu nak bercerita tentang seks. Bila golongan ini dah membesar, mereka kecelaruan identiti dan jadilah maknyah ataupun lesbian. Bila keadaan parah, kita hukum pula mereka, ini tak boleh, itu tak boleh. Sepatutnya dari awal. Jadi filem Anu Dalam Botol ini adalah satu dakwah saya kepada masyarakat. Saya menepis sesiapa kata filem ini tak ada moral.

Dakwah? Macam mana pula ya?

Yalah, kita menyampaikan mesej bahawa cinta sejenis adalah salah. Dilarang dalam Islam. Saya nak tunjukkan bagaimana kesalnya seseorang lelaki itu apabila dia membuang kemaluan dia. Benda tu salah. Saya tak mahu lebih ramai "lelaki" yang sanggup buang anu mereka. Saya nak tonjolkan penyesalan supaya mereka yang ada cita-cita nak buat benda tak baik itu akan berfikir dua kali tindakan tersebut. Itulah dakwah saya tetapi melalui filem.

Ada adegan panas katanya dalam filem ini. Boleh saya tahu adegan- adegan itu?

Saya akan tonjolkan adegan di mana lelaki dengan lelaki itu berasmara di atas katil. Kita akan dapat lihat bagaimana pasangan itu membelai sesama mereka. Ada juga adegan cium mulut dan laga-laga hidung.

Orang kata, aksi panas tak semestinya kita pamerkan adegan itu. Memadai dengan cara lain bagi mengatakan sesuatu yang panas itu sedang berlaku. Apa komen Kak Mi?

Saya setuju pendapat itu tapi menerusi filem Anu Dalam Botol, ia perlu. Orang mesti lihat macam mana pasangan itu berasmara. Kalau tidak mereka tak akan faham. Saya juga akan tonjolkan seseorang perempuan itu meraba pasangan lelakinya tetapi selepas diraba dia dapati pasangannya itu tak ada anu. Terus dia orang berpisah. Kekesalan si lelaki akan wujud ketika adegan itu.

Filem ini seperti mahu menjadikan seks seperti tema utamanya? Boleh komen sikit?

Saya tak nafikan seks dalam filem ini tak boleh lari. Ini kenyataan. Tapi cara penyampaian yang perlu saya tekankan iaitu lebih berbudi bahasa. Cinta yang akan dipaparkan dalam filem ini mengenai perasaan dua insan yang tidak berbelah bagi tetapi akhirnya memudaratkan mereka.

Kenapa kisah cinta seperti ini menjadi fokus utama? Tidak kepada cinta lain?

Ramai orang pandang hina golongan maknyah. Malah sesetengah daripada kita bila ternampak golongan ini akan jadi geli. Tapi tidak siapa pun hairan kenapa mereka boleh jadi macam tu? Sebab itu saya mahu paparkan kisah cinta ini yang orang cuba nafikan tetapi ia memang berlaku. Bukan untuk berseronok tetapi untuk orang menilai kesannya. Itu tujuan saya.

Nanti orang akan kata Raja Azmi sengaja nak cari kontroversi. Yalah, filem-filem Raja Azmi sebelum ini pun banyak kontroversi juga.

Persoalannya buruk sangatkah kontroversi itu? Pada saya kontroversi tak semestinya buruk. Kalau ia kontroversi yang baik, apa salahnya. Sebelum ni saya ada juga buat drama kisah-kisah agama tapi kenapa ia tak jadi kontroversi? Tapi pada saya kontroversi itu pun penting juga. Kalau tak ada kontroversi, susah la nak tarik orang ke panggung.

Tak takut nanti kena gam dengan LPF (Lembaga Penapisan Filem)?

Kalau filem ini kena gam, saya rasa mereka yang buat demikian sebagai zalim kerana menghalang saya menceritakan kisah sebenar yang berlaku pada hari ini. Jangan pandang filem ini secara luaran tetapi dakwah yang hendak saya sampaikan. Sebelum buat filem ni saya dah rujuk kitab-kitab tertentu dan tafsir al-Quran.

Apa harapan Kak Mi terhadap filem ini?

Saya harap ia dapat kutipan box-office. Masa saya terbitkan filem Haru-Biru sebelum ni, saya hampir-hampir nak putus asa. Saya kata kalau filem saya tu tak ada sambutan juga, saya nak berhenti terus buat filem. Tapi syukurlah filem tu balik modal. Dari situlah saya dapat kekuatan nak terbitkan filem ini. Saya harap Anu Dalam Botol akan dapat sambutan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: