Thursday, January 22, 2009

Harapan Siti pada Lentera Timur


MERIAH...Siti memotong pulut kuning sempena hari jadinya yang ke-30 sambil disaksikan suaminya, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa (kanan); bapa Siti, Tarudin Ismail (kiri); ibunya, Siti Salmah Bachik (bertudung putih) dan ibu mertuanya, Zainab Hanapi (bertudung hitam).


LUPAKAN seketika tentang kisah rumah tangganya yang menjadi perhatian umum sejak beberapa minggu yang lalu.

Baik ditutup sahaja kisah itu kerana empunya diri sudah menjelaskan perkahwinannya yang dibina hampir tiga tahun atas dasar cinta itu masih lagi utuh dan masih lagi melayari bahtera cinta bersama suami tercinta.

Sebaliknya, adalah lebih baik seandainya cerita tentang album terbarunya, Lentera Timur yang dijaja kerana pemiliknya, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ada sesuatu yang ingin diperjuangkan menerusi album tersebut.

Kelahiran album Lentera Timur dilihat hadir pada waktu yang cukup tepat tatkala muzik etnik dan tradisional makin ditenggelami oleh muzik-muzik moden masa kini.

"Untuk itu juga, saya sebenarnya meletakkan harapan dan sasaran yang tinggi untuk Lentera Timur kerana album ini pada pandangan saya, cukup unik dan ia merupakan khazanah yang cukup berharga.

"Saya tahu bukan mudah untuk menghasilkan album sebegini di kala industri muzik semakin kelam namun, disebabkan jati diri dan semangat yang menebal untuk muzik warisan nenek moyang kita, saya teruskan juga.

"Tetapi, seharusnya saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) kerana dengan bantuan mereka, impian saya dapat direalisasikan," kata Siti penuh makna pada majlis pelancaran album berkenaan di ibu negara baru-baru ini.

Sepuluh buah lagu daripada 11 buah lagu yang dimuatkan dalam album Lentera Timur merupakan usaha komposer dan penulis lirik tempatan yang telah mengerah tenaga, idea dan keringat untuk Bengkel Cipta Ekspres - Berirama Malaysia Bersama Siti Nurhaliza yang diadakan pada pertengahan tahun lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sebuah lagi lagu adalah Cinta Ini ciptaan komposer seberang, Katon Bagaskara yang sudah lama disimpan Siti dan akhirnya dimuatkan dalam album Lentera Timur.

"Album ini tidak menampilkan irama muzik Melayu asli 100 peratus kerana saya begitu faham dengan senario industri muzik masa kini.

"Disebabkan itu, saya lebih suka menamakan album ini sebagai kontemporari tradisional kerana muziknya yang disulami dengan muzik moden.

"Namun pun begitu, jalur muzik tradisional masih lagi dikekalkan kerana saya mahu muzik sebegini terus dihargai dan dipelihara oleh masyarakat," jelasnya yang anggun mengenakan busana Amir Luqman pada petang itu.

Single pertama, Di Taman Teman yang merupakan kolaborasi komposer terkenal, Fauzi Marzuki dan Hairul Anuar Harun kini semakin mendapat perhatian peminat dan pendengar radio tempatan.

Dengan industri muzik yang kini semakin mencabar, apatah lagi dengan kerenah stesen radio tempatan yang begitu selektif dalam pemilihan lagu untuk disiarkan, bagaimana pula Siti perlu menyakinkan pihak yang berkenaan untuk memainkan lagu-lagu daripada album Lentera Timur sedangkan muzik etnik kini tidak lagi mendapat perhatian terutama radio swasta.

"Seperti yang saya katakan tadi, kesemua lagu dalam album ini telah disuntik dengan elemen muzik yang lebih moden dan segar seiring dengan perubahan muzik semasa.

"Inilah salah satu pendekatan yang saya ambil untuk menjadikan album Lentera Timur mendapat perhatian," kata penyanyi lagu Cindai berusia 30 tahun itu lagi.

Bukan itu sahaja, pengorbanan yang dilakukan untuk album ini bukannya sedikit kerana Siti dan syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. telah mengeluarkan belanja melebihi RM100,000 untuk memasukkan elemen strings bagi memperindahkan kesemua 11 lagu dalam album ini.

"Saya tidak kisah mengeluarkan belanja yang begitu besar untuk album ini kerana kepuasan peminat adalah keutamaan saya. Ini juga kali pertama saya berbuat demikian.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki lagi selepas ini, saya akan meneruskan usaha menerapkan elemen strings dalam album yang akan datang. Selain itu, adalah menjadi impian saya juga untuk menerbitkan sebuah album penuh dengan diiringi muzik orkestra secara live," katanya bersungguh.

Demi memastikan Lentera Timur mendapat perhatian sewajarnya, penyanyi nombor satu negara ini juga menyatakan kesediaannya untuk turun padang untuk mempromosikan albumnya itu dalam usaha mencapai sasaran 100,000 unit.

Malah, berita gembira untuk Siti juga apabila tidak sampai dua minggu dipasarkan, Lentera Timur sudah mencapai jualan 10,000 unit dan telah diulang cetak.

Dalam perkembangan lain, Siti juga mengharapkan untuk muncul dengan sebuah konsert besar-besaran dan juga konsert tradisional.

"Kertas kerja sudah disiapkan dan hanya menunggu masa untuk mencari penaja. Saya berharap impian saya ini akan dimakbulkan sementelah sudah lama tidak beraksi dalam konsert

"Bukan itu sahaja, saya juga amat mengidamkan untuk mengadakan sebuah konsert istimewa di pentas Dewan Filharmonik Petronas," ujarnya tersenyum.

Menyentuh mengenai album Lentera Timur, apa yang pasti album ini merupakan antara yang terbaik di hasilkan sepanjang tahun 2008 dan Lentera Timur sebenarnya mampu mengangkat kembali muzik etnik yang semakin dipinggirkan.

Sudah menjadi adat, tidak semua album yang dilahirkan akan terus menangkap halwa telinga apabila kali pertama mendengarnya sebaliknya, ia perlu dihayati berulang kali dalam menilai dan meneliti komposisi muziknya.

Sungguh indah apabila mendengarkan muzik etnik yang disulami dengan elemen strings dan moden lantas menjadikan Lentera Timur sebuah album yang cukup gah.

Kesemua 11 lagu yang ditampilkan diperkuatkan lagi dengan vokal emas biduanita muda negara ini yang ternyata menjadi nadi Lentera Timur.

Vokal Siti juga semakin matang seiring dengan usianya kini malah, tidak keterlaluan dikatakan, Siti semakin bijak bereksperimen dengan vokalnya mengikut rentak dan jalan cerita lagu.

Percayalah, Lentera Timur mampu memberikan seribu kepuasan untuk anda yang dahagakan irama sebegini yang semakin tandus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: