SENARIO
 muzik lokal semasa ternyata memberi gambaran hanya penggiat muzik yang benar-benar memiliki kualiti muzik terbaik mampu kekal bertahan.
Lalu, ia pastinya bukan menjadi sesuatu yang mudah, apatah lagi bagi memastikan tapak seni yang dibina sekian lama kekal utuh berdiri bersama sokongan padu peminat setia.
Itulah persepsi yang boleh diberikan buat band trio terkenal negara, Bunkface yang menjadikan konsert bersempena dengan ulang tahun penubuhan kumpulan itu lebih sedekad lalu di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur, Sabtu lalu sebagai hadiah buat peminat yang selama ini tidak putus-putus memberi sokongan.
Iramanya segar, hip dan tidak membosankan. Itu menjadi gambaran paling tepat bagi memberi ekspresi terhadap konsert berskala besar kumpulan yang dianggotai oleh Sam, Youk dan Paan.
Hadir dengan seleksi lagu-lagu muzik punk rock mereka yang hits dari awal penglibatan sehingga kini, rata-rata penonton yang memenuhi ruang stadium dengan kapasiti lebih 4,000 penonton itu bersorak dan menyanyi bersama dari awal hingga akhir persembahan.
Konsert yang diberi nama Bunkface X Live In Kuala Lumpur menjadi petunjuk kumpulan yang gigih memperjuangkan muzik punk rock kekal relevan, yang mana kebanyakan penonton yang hadir menonton terdiri daripada anak muda yang membesar dengan lagu-lagu kumpulan trio berkenaan.
Pada malam itu, Bunkface membuka persembahan dengan tiga barisan lagu, Malam Ini Kita Punya, Bunk Anthem dan Extravaganza.
Secara keseluruhan, Bunkface mempersembahkan lebih 20 lagu dan ada yang disampaikan secara medley.
Vokalisnya, Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd Baharom seperti yang dipetik mengakui, sebagai kumpulan muzik yang lebih sedekad dalam dunia seni tempatan, adalah menjadi impian besar mereka untuk menghargai peminat dengan mengadakan sebuah konsert berskala besar.
“Impian untuk buat konsert mega menjadi impian kami, malah sejak awal-awal lagi Bunkface ditubuhkan. Alhamdulillah, setelah 10 tahun kami berada industri, impian untuk mengadakan konsert menjadi kenyataan,” katanya.
Aspek teknikal memukau
Selain menghidangkan lagu popular mereka yang malar segar, Bunkface X Live In Kuala Lumpur yang membuka pentas tepat jam 9.15 malam ini dilihat begitu cemerlang dari aspek pencahayaan dan audionya.
Lengkap dengan mainan visual yang menarik, ia juga menjadi antara elemen konsert yang berlangsung lebih dua jam itu tidak membosankan.
Usai membuka tirai konsert dengan tiga lagu, Sam sempat merakamkan ucapan terima kasihnya buat ‘bunkers’ (gelaran buat para peminat mereka) yang hadir, termasuk dari Singapura dan Brunei.
Dalam segmen kedua persembahan pula, Bunkface terus menghangatkan pentas dengan seleksi lagu High School Rocker, Silly Lilly, Prom Queen dan Bunk Not Dead.
Apa yang menariknya, seorang penonton bertuah dijemput untuk bersama-sama menyanyikan sebuah lagu bersama anggota kumpulan itu sebagai gimik persembahan.
Selain itu, kumpulan trio yang juga finalis untuk kategori Best South East Asia Act di Anugerah MTV EMA 2016 ini turut memberi kelainan di dalam persembahan apabila cuba mengalunkan lagu secara akustik iaitu Agenda Jahiliah, Jatuh, Dunia, You And Me dan Kembali.
Ia adalah sebagai simbolik terhadap mesej kemanusiaan sejagat.
Lagu ‘wajib’ Bunkface iaitu Revolusi dan Situasi pula kekal menjadi lagu penutup konsert.
Bunkface X Live In Kuala Lumpur merupakan konsert anjuran Bunkface Production Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia
.