Sunday, June 9, 2013

Teater dalam 3D

Teater Juta Juta berkisar tentang isu berkaitan penggiat teater yang berdepan beberapa masalah dalam merealisasikan impian membuat persembahan.


UNTUK pementasan kali ini, cerita sama telah diulang persembahannya buat kali ketiga. Cuma naskhah yang asalnya bertajuk Teater Juta Juta (TJJ) telah diubah judulnya menjadi Teater Juta Juta 3D.
Buat julung kalinya teater arahan Fasyali Fadzly tersebut dipentaskan pada September 2011 di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, seterusnya buat kali kedua ia dipentaskan pada November 2011 lalu di Panggung Eksperimen Mawar Sari, Putrajaya.
Naskhah itu boleh dianggap memiliki magis kerana tidak pernah jemu ditonton khalayak penggemar wayang pentas apabila ia sekali lagi dipersembahkan di Stor Teater DBP sejak 5 Jun lalu hingga malam ini dalam pementasan kali ketiga.
Turut mengekalkan pengaruhnya daripada pementasan terdahulu apabila orang sama kekal menjadi teraju persembahan itu seperti Fazleena Hishamuddin, Aloy Paradoks dan Anas Ridzuan.
Teater itu mengisahkan tiga graduan seni persembahan yang membuat pembentangan idea di hadapan Pengarah Keraton, bakal penaja dan pengkritik teater tanah air.
Mereka mengimbau kembali bagaimana bergelumang dengan senario teater tanah air sewaktu belajar dahulu. Perbincangan itu seterusnya menjurus kepada pertikaman lidah dan menyalahkan pihak lain.
Lebih menarik apabila tiga teraju tersebut membawakan 12 watak yang berbeza dalam pementasan berdurasi sejam 15 minit itu.
Mereka yang berminat menyaksikan teater dalam '3D' untuk pementasan terakhir pada malam ini boleh mendapatkan pas masuk berharga RM30 yang boleh didapati terus atau hubungi talian 013-396 2612 (Amirul) atau 013-2102470 (Ameera). Persembahan bermula pada pukul 8.30 malam.
Adakah naskhah ulang pentas lebih mudah buat kalian?
FASYALI FADZLY (FF): Dalam pementasan kali ini, kami cuba memantapkan dari segi tenaga persembahan kerana teater yang dipentaskan semula perlu mencapai kematangan. Itu antara cabaran yang perlu dipikul oleh produksi kali ini.
ANAS RIDZUAN (AR): Kami perlu menutup kelemahan dalam pementasan sebelumnya. Itu cabaran besar bagi pementasan semula.
ALOY PARADOKS (AP): Saya lebih fokus untuk memberi kelainan pada watak dalam Teater Juta Juta yang sebelum ini. Ia untuk mengelakkan saya sendiri menjadi bosan apabila memainkan watak yang sama.
FAZLEENA HISHAMUDDIN (FH): Waktu terhad dan kekangan masa bekerja antara penyebab untuk memendekkan sesi latihan. Lebih mudah apabila kami sudah serasi bersama.
Teater itu sendiri sudah diterjemahkan sebagai berdimensi lebih berbanding layar perak mahupun televisyen. Apakah maknanya ia dipersembahkan dalam 3D?
FF: Sebenarnya teater sudah benar-benar wujud dalam dimensi yang lebih banyak berbanding tiga dimensi. Tetapi, sengaja judul ini dipilih untuk memberi kesegaran kerana sudah kali ketiga dipentaskan. Sebenarnya 3D itu wujud daripada pembaharuan persembahan kali ini yang lebih 'dungu', debar dan dekah.
Anda tidak bosan mengulang naskhah sama?

TENAGA kerja sama yang terdiri daripada tiga orang pelakon menjayakan ketiga-tiga siri persembahan TJJ hasil arahan Fasyali (dua dari kanan).


FF: Tidak, kerana saya menyukai teater ini berbanding karya saya yang lain walaupun saya tahu itu tidak adil. Bagi saya, TJJ kali ini dibuat untuk mengubat rasa rindu terhadap teater ini. Ramai juga yang meminta ia dipentaskan kembali.
AR: Tidak sama sekali kerana ia sebuah naskhah yang baik dan bekerja bersama kumpulan produksi yang sama membuatkan saya seronok untuk 'bekerja' semula.
AP: Agak bosan sebenarnya. Jadi saya cuba cari kelainan dan cipta pembawaan karakter yang baru. Hasilnya, saya berasa lebih segar dan bersemangat seolah-olah membawakan watak yang baharu.
FH: Tidak. Teater Juta Juta adalah naskhah yang seronok dan cemerlang. Seronok memainkannya walaupun banyak kali.
Benarkah peminat dan penggiat teater mempunyai kelompok sendiri?
FF: Benar, jika diperhatikan kelompok yang sama ini juga akan pergi menyaksikan teater lain. Ini mungkin terjadi kerana bilangan penonton yang masih sama dan tidak berkembang. Perkembangan ada tapi perlahan.
AR: Benar. Peminat teater di Malaysia masih kurang, mungkin kerana kurang pendedahan. Alhamdulillah, kini sudah nampak perubahannya kerana mereka sudah jelas bahawa teater itu sebagai satu lagi medium seni yang perlu ditonton.
AP: Faktor ini berlaku mungkin kerana gaya persembahan setiap produksi itu berbeza dan mereka mengumpulkan kelompok yang selesa dengan cara mereka.
FH: Mungkin, tapi saya tak pasti sebab apa. Bagi saya sendiri, saya tidak membataskan pergaulan saya bersama satu kumpulan teater sahaja.
Jika diberi peluang untuk menjayakan teater komersial adakah anda sudah bersedia?
FF: Sebagai pengarah, saya secara peribadi sudah bersedia. Keada saya, ruang mana sekalipun, saya tetap akan buat teater tidak kisah skala kecil atau besar.
AR: Saya lebih gemar skala (kecil) seperti ini kerana pelakon lebih intim dengan penonton. Kepuasan untuk bermain karakter juga lebih biarpun serba kekurangan. Tetapi saya tidak menolak teater komersial.
AP: Saya tidak ada masalah untuk melakukan teater yang berskala lebih besar. Bidang teater adalah kerjaya saya dan bukan lagi hobi. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh asalkan naskhah itu sesuai dengan kehendak dan kemampuan saya. Saya akan lakukan.
FH: Saya selalu bersedia. Cuma mungkin ruang atau peluang belum tiba. Tapi sebenarnya saya tak kisah bermain di ruang mana pun asalkan berteater. Kepuasannya tak dapat di mana-mana. Sekali saya berteater, saya akan terus berteater.
Apakah pandangan kalian tentang perbezaan teater indie dan teater komersial?
FF: Saya melihat gerakan teater alternatif lebih agresif dari segi idea, tema, isu dan juga produksinya. Mereka lebih ekspresif berbanding teater komersial. Tambahan pula, teater alternatif ini secara kasarnya didukung oleh anak muda yang dinamik dan progresif pemikirannya.
AR: Mungkin isu yang dibawa serta gaya persembahan juga berbeza. Sudah semestinya bajet untuk menjalankan sesuatu persembahan juga tidak sama.
AP: Bezanya adalah dari segi idea dan bajet. Teater indie pula bebas mementaskan idea mereka berbanding komersial. Itu sahaja bezanya.
FH: Perbezaan mungkin dari segi ruang, naskhah, jumlah produksi dan pelakon, penonton serta duit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: