Wednesday, June 12, 2013

Tattoo tarik 75,000 pengunjung

Tattoo tarik 75,000 pengunjung
Lompatan motosikal menarik perhatian pengunjung.
Tattoo tarik 75,000 pengunjung
Pengunjung terpegun menyaksikan setiap pertunjukkan tattoo.
Tattoo tarik 75,000 pengunjung
Aksi-aksi menarik daripada Malaysian Army Red Warrior.
PORT DICKSON – Menampilkan persembahan bertenaga dan menghiburkan, Malaysian Army International Tattoo yang berlangsung selama tiga hari di Padang Kawat Pusat Latihan Asas
Tentera Darat (Pusasda) berjaya menarik perhatian hampir 75,000 pengunjung.

Persembahan berlangsung selama hampir tiga jam itu merangkumi lapan persembahan daripada pelbagai band dari Malaysia, Thailand dan Brunei.

Pertunjukan pembukaan dimulakan dengan persembahan bunga api kemudian disusuli oleh persembahan band gabungan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM)diikuti Royal Brunei Land Force Band, Royal Malaysian Navy, Royal Malaysia Police Central Band, Royal Armourred Corps Central Band, Royal Thai Army Band dan Malaysian Army Red Warrior.

Sekretariat Malaysian Army International Tattoo, Kolonel Amirudin Datuk Sulaiman berkata,  seramai 3,000 anggota tentera terlibat dalam menjayakan persembahan yang berlangsung selama tiga hari.

Menurut beliau yang juga Ketua Staf, Markas Latihan Tentera Darat, persembahan ini adalah salah satu aktiviti yang dijalankan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-80 Tentera Darat.

“Pertunjukan tattoo ini diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan tentera dengan orang awam selain mengukuhkan perhubungan ketenteraan bersama negara luar dengan menjemput mereka mengadakan persembahan.

“Sambutan daripada pengunjung sangat menggalakkan dan kita menerima maklum balas yang cukup positif daripada mereka,” katanya.

Pengunjung, Hartini Ridzuan, 45, berkata, anak-anaknya gembira dan teruja melihat persembahan yang menarik dan menghiburkan.

“Sebenarnya saya juga seronok melihat persembahan ini. Semua kumpulan band mempunyai kehebatan dan gaya serta persembahan tersendiri untuk menarik perhatian pengunjung.

“Kehadiran band dari luar negara juga sangat unik selain band angkatan tentera dari Malaysia sangat bertenaga terutamanya semasa persembahan pembukaan daripada band gabungan dari ATM,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Zulkarnain Zabidi, 39, berkata, dia suka melihat aksi yang dipersembahkan Malaysian Army Red Warrior yang mempamerkan persembahan aksi lasak bermotosikal.

“Pelbagai aksi dipersembahkan, menaiki sebuah motosikal dengan kapasiti tiga orang tanpa mengendalikan handle, melakukan lompatan bermotosikal dengan halangan seramai 20 orang, menaiki sebuah motosikal dengan farmasi bunga raya dan sebagainya.

“Saya pasti semua itu hanya akan berjaya dilakukan apabila setiap anggota berdisiplin dan latihan yang kerap,” katanya.

Pengunjung, Asmaul Husna Hariri,15, berkata, dia seronok melihat persembahan daripada Royal Thai Army Band yang mempamerkan persembahan berkonsepkan kebudayaan negara itu.

“Persembahan daripada band lain juga sangat mengujakan, mereka berkawad, menari sambil memainkan alat muzik dengan penuh berdisiplin,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: