Wednesday, June 5, 2013

Sudan gergasi gula Afrika


SUDAN adalah antara pengeluar gula terbesar di benua Afrika.


RAMAI pekerja kelihatan tergesa-gesa membungkus gula putih halus yang sentiasa keluar dari beberapa corong di sebuah kilang besar.
Masing-masing tidak menang tangan kerana kesemua bungkusan itu perlu dimuatkan ke dalam tiga lori besar yang sudah menunggu di luar kilang itu.
Pengurusan Kenana, syarikat gula terkenal di Sudan, berharap kilang itu akan lebih sibuk pada tahun hadapan kerana mereka merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran bagi mengeksport gula ke negara-negara lain.
Sudan telah kehilangan status pengeluaran petroleum pada tahun 2011, jadi negara itu kini mencari sumber baharu bagi meningkatkan hasil pendapatan negara.
"Terdapat banyak tanah sesuai untuk penanaman tebu kerana terdapat air," kata Ketua Unit Perniagaan Kenana, El Zein Mohammed Doush.
Bagaimanapun, usaha meningkatkan pengeluaran gula juga bersifat politik. Gula merupakan bahan makanan yang paling penting di dunia.
Jadi, disebabkan itu, harga gula di Afrika merupakan isu sensitif malah ia boleh mencetuskan revolusi.
Bukan itu sahaja, kenaikan harga secara mendadak juga menyebabkan protes jalanan sehingga membawa kejatuhan bekas Presiden Sudan, Jaafar Numeiri pada tahun 1985.
Kini, Presiden Sudan Omar Hassan al-Bashir juga tidak terkecuali berhadapan dengan protes secara kecil-kecilan disebabkan kenaikan harga makanan.
Ia diburukkan lagi dengan kadar inflasi tahunan mencecah sehingga 41.4 peratus pada bulan April lalu. Begitupun, pengkritik berkata, angka sebenar adalah lebih tinggi.
Bagi menangani perkara itu, kerajaan Sudan menerima suntikan modal daripada Arab Saudi dan Kuwait. Suntikan itu membolehkan Kenana meningkatkan pengeluaran lebih dua kali ganda menjelang tahun 2015.
Tampung permintaan
Langkah tersebut dilihat dapat menampung permintaan domestik sebanyak 1.2 juta tan metrik. Lagipun, pada masa ini, penanam tebu di negara itu mampu menghasilkan 600,000 hingga 700,000 tan metrik setiap tahun.
Menyedari hakikat itu, pihak Kenana menjangka pengeluaran gula boleh mencecah 900,000 hingga sejuta tan metrik pada tahun hadapan.
Sudan merupakan salah satu pengeluar gula terbesar di benua Afrika selepas Mesir dan Afrika Selatan. Oleh itu, Sudan berharap negara tersebut mampu bersaing dengan pengeluar gula dunia seperti Brazil menjelang tahun 2020.

PENANAM tebu Sudan kini boleh tersenyum gembira kerana gula menjadi salah satu komoditi utama negara berkenaan.


Negara-negara Afrika berazam menghasilkan sehingga 10 juta tan metrik gula pada tahun 2020.
"Kenana merancang membuka dua buah kilang lagi, manakala pihak kerajaan telah menjual empat buah kilang kerana memerlukan pemodenan," kata Doush.
Menerusi perbincangan dengan pelabur dari negara-negara Teluk Arab, Kenana dibenarkan mengeksport separuh daripada pengeluaran gula ke negara-negara jiran seperti Eropah.
Bagi mempelbagaikan produk, Kenana merancang untuk mengeluarkan kira-kira 200 juta liter bahan bakar bio pada tahun 2015.
"Sebanyak 91 peratus bahan api, etanol diimport ke Kesatuan Eropah, Perancis, Belanda," ujar Ketua Unit Perniagaan Etanol, Ahmed Rabih.
Seorang Pakar Ekonomi dari Universiti Oxford, Harry Verhoeven berkata, Kenana telah mencatatkan keuntungan yang besar dan memiliki teknologi canggih untuk mengeluarkan gula.
Namun, negara itu masih berada jauh untuk menjadi pengeluar gula terbesar seperti Brazil dan Turki.
"Kita tahu Kenana menerima berbilion ringgit dalam bentuk subsidi, tetapi itu tidak bermakna Sudan boleh menjadi pengeluar gula terbesar di dunia," ujarnya.
Pengeluaran gula
Menurut Verhoeven, kerajaan telah menjejaskan kecekapan sektor gula dengan mengawal firma gula utama, menghindari persaingan dan memanjakan mereka dengan subsidi.
Sementara itu, para penganalisis ekonomi berpendapat, nilai pasaran boleh terganggu apabila kerajaan Sudan menjanjikan harga gula yang dua kali ganda berbanding harga pengeluaran sekali gus meningkatkan kemungkinan berlaku rasuah.
Pengkritik juga berkata, industri gula membuat keuntungan besar tetapi masyarakat tempatan masih miskin.
Kenana memiliki rumah tetamu yang mewah dan mengambil pekerja yang tidak mempunyai kemahiran.
Rata-rata pekerja itu tinggal di rumah batu-bata dan jalan menghala kawasan rumah mereka tidak berturap, bahkan sering kali mengalami kekurangan air.
Lebih teruk, ahli keluarga mereka terpaksa mengambil air dari tasik yang berhampiran dengan kilang gula itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: