Siti Saleha dan Nad Zainal
Siti Saleha dan Nad Zainal
SIAPA sangka keberanian dua pelakon remaja popular ini menjadi model iklan yang juga duta tuala wanita Kotex mendapat respons kurang baik dari segelintir peminat dan masyarakat sekeliling.

Ianya diakui Siti Saleha apabila dia berkongsi pengalaman tersebut di laman sosial Instagram miliknya sehingga menjadi mangsa kutukan.

"Ketika itu saya memuat turun gambar bersama pelakon lain yang sedang melakonkan aksi untuk iklan berkenaan. Bagaimanapun selepas itu, mereka mula menyindir dan mengkritik saya," katanya dilabel sebagai perempuan tidak tahu malu.

Jelas pelakon Nora Elena ini, rata-rata yang melemparkan cemuhan itu adalah lelaki.

"Saya tidak kisah dengan tanggapan mereka, saya berkongsi mengenainya kerana ia adalah tugas saya sebagai perempuan. Apapun, saya sifatkan mereka ini golongan yang berfikiran sempit," katanya di majlis pelancaran drama Memberku Hawa Musim Ke-2.

Tambah Saleha, perkara itu sewajarnya tidak timbul di zaman ini.

"Masing-masing mempunyai keluarga perempuan, akan mempunyai isteri dan anak. Jadi ia sesuatu yang normal perlu diambil tahu oleh mereka.

"Mereka harus didedahkan dengan perkara ini kerana mungkin akan diminta oleh isteri atau anak membelinya suatu masa nanti," katanya ia bukan perkara yang memalukan.

Dalam pada itu, berkongsi cerita empunya nama Farah Nadia Zainal Abidin ini pula, katanya, dia juga pernah melalui pengalaman berkenaan.

"Ini adalah tahun kedua saya menjadi duta Kotex dan perkara ini sudah sebati dalam diri saya. Apapun, kami hanya menjalankan tanggungjawab dan rasanya sebagai perempuan tidak salah berkongsi pengetahuan serta ilmu yang kami dapat menerusi penggunaan produk ini," katanya tidak hirau dengan pandangan serong masyarakat mengenai pembabitannya bersama Kotex.

Saleha teruja

Dalam pada itu, berbicara mengenai Memberku Hawa musim ke 2 pula, akui Saleha dia gembira kerana terpilih melakonkan watak Nur Hawa.

"Menjadi Hawa sangat berbeza bagi saya kerana ini kali pertama saya menjadi gadis kampung yang sederhana, namun terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah untuk diselesaikan.

"Lebih menarik, saya juga akan memakai tudung dalam drama ini," ujar pelakon berusia 23 tahun ini.

Diaju mengenai penggunaan tudung sewaktu lakonan dan sebaliknya ketika menjalankan promosi untuk produk ini, kata Saleha, ia tidak menjadi masalah kepadanya.

"Apa yang penting adalah peranan saya sebagai duta dan jurucakap produk ini. Isu bertudung di dalam dan luar lakonan adalah tidak penting dan ia tidak pernah dibincangkan bersama produksi.

"Bagaimanapun, jujur saya katakan saya selesa berlakon bertudung dan tidak pernah rasa janggal," katanya teruja menunggu respons penonton.

Kekal watak Kay

Sementara bagi Nad pula, menjadi Kay sekali lagi dalam drama bersiri ini adalah satu pengalaman baru baginya.

"Dahulu watak saya mungkin kurang matang, tetapi untuk musim ke-2 ini lebih menampakkan kedewasaan saya. Selain itu, saya juga mendapat teman baru iaitu Saleha dan bermula juga cabaran baru bagi saya," jelasnya.

Berkongsi perasaan berlakon dengan Saleha katanya, tidak sukar mencari keserasian antara mereka.

"Kami sama-sama 'enjoy' berlakon dalam drama ini dan dalam masa yang singkat kami sudah serasi," katanya drama ini menaikkan namanya dalam industri seni.

Sedikit mengenai Memberku Hawa Musim ke-2, ia akan disiarkan setiap Rabu bermula 5 Jun ini pada jam 10 malam di Astro Ria. Drama ini mengisahkan wanita muda Malaysia yang berdepan dengan cabaran hidup dengan sikap positif dan berpendirian teguh.

Selain Siti Saleha dan Nad Zainal, antara pelakon lain yang membintangi drama ini termasuklah  Ezlynn, Bella Dally, Nur Zaireen Mohd Zait, Nor Nadia Nor Mahazan, Sharifah Sofea dan Christina Suzane.