Sunday, June 16, 2013

Nelayan pemburu mayat



XINPENG memperoleh pendapatan hasil daripada pekerjaannya mencari mayat.



APABILA bercerita mengenai pekerjaan sebagai nelayan, sudah tentu terbayang dalam fikiran seseorang bahawa kerjaya itu mempunyai kaitan dengan menangkap ikan.
Bagaimanapun, terdapat seorang nelayan di China yang mencari mayat manusia di sungai.
Lelaki yang berusia 50-an itu mencari mayat-mayat yang terapung di sekitar kawasan Sungai Kuning tidak jauh dari bandar Lanzhou.
Matanya tetap tajam mengamati aliran Sungai Kuning yang keruh dan dia yakin akan menemui mayat manusia yang menjadi mangsa lemas, dibunuh atau membunuh diri.
Menurutnya, dia sudah mengumpulkan lebih 500 mayat yang ditemuinya dengan menggunakan sebuah bot di sungai tersebut.
Mayat-mayat yang ditemui nelayan itu akan dikumpulkan di sebuah kawasan anak sungai.
Xinpeng kemudian mengiklankan penemuannya di dalam akhbar tempatan dengan disertakan butiran mengenai ciri-ciri fizikal mayat tersebut dan menunggu keluarga si mangsa menghubunginya.
"Pada kebiasaannya, ahli keluarga si mati akan menelefon untuk meminta mereka dibawa ke tempat saya menyimpan mayat tersebut," katanya.
Dia kemudian akan membawa ahli keluarga si mati ke anak sungai itu.
Jika ahli keluarga si mati mahu membawa pulang mayat dari anak sungai itu, bayaran yang dikenakannya boleh mencecah hampir AS$500 (RM1,570).
Xinpeng mengenakan bayaran yang berbeza untuk para pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
MAYAT-MAYAT yang ditemui nelayan itu kemudian dikumpulkan.


Lelaki tersebut menetapkan bayaran sebanyak AS$75 (RM235) jika pelanggannya itu ialah seorang petani.
Bayaran sebanyak AS$300 (RM941) dikenakan untuk pelanggannya yang mempunyai pekerjaan tetap.
Namun, jika sebuah syarikat mahu mayat yang ditemuinya itu dibawa pulang, bayaran yang dikenakannya ialah AS$450 (RM1,412).
Terdapat juga mayat-mayat yang ditemuinya itu tidak mahu dibawa pulang oleh keluarga di mati.
Menurutnya, kebanyakan mayat yang tidak mahu dituntut oleh keluarga si mati itu terdiri daripada pekerja wanita yang telah berhijrah ke bandar tersebut.
Xinpeng berkata, mayat yang tidak mahu dituntut oleh keluarga si mati itu akan dihanyutkan semula ke sungai.
Lelaki tersebut menyatakan dia mula mencari mayat pada tahun 2003 selepas mengusahakan sebuah ladang pokok lai.
Menurutnya, tragedi seorang anaknya yang mati di sungai itu telah mendorongnya untuk mencari mayat di sungai tersebut.
Mayat anaknya itu tidak pernah ditemui selepas lemas di sungai tersebut.
Pihak polis pernah menyamannya beberapa kali kerana dia melakukan pekerjaan tersebut.
Xinpeng berkata, tindakan polis yang menyamannya itu menyebabkan dia pernah terlintas untuk tidak lagi meneruskan pekerjaannya di Sungai Kuning.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: