Wednesday, June 5, 2013

Mahu popular cara sendiri



CANTIK berbusana merah cili, kedua-dua beradik Emma Maembong dan Chacha Maembong ditemui ketika pertunjukan fesyen Amazing Red Kurung, Kebaya & Hijab di The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Emma menyarung busana merah rekaan Nazleen Noor manakala adiknya, Chacha memperagakan sepasang dress rekaan Hazwani Osman.
Diusik soalan nakal berkenaan jodoh serta simbolik warna merah sebagai padanan warna cinta dan romantis, Emma sekadar tertawa disaksikan Chacha.
"Saya memang suka warna merah sebab nampak garang. Orang selalu nampak saya wanita lemah lembut, sekali-sekala pakaian merah boleh memberi keyakinan pada diri. Ya, warna merah juga serasi dengan elemen cinta dan romantis," luncur katanya.
Sesekali ditanya adakah warna merah akan menjadi pilihan sempena hari bahagia suatu masa nanti, jawab Emma tersipu-sipu: "Mungkin juga."
Tidak dapat lari daripada kisah kontroversi cinta yang mengaitkan Emma dan juara Maharaja Lawak, Zizan Razak, terbaharu status BBM (BlackBerry Messenger) dan Whatsapp kedua-dua artis itu menjadi pokok bicara.
Mengulas mengenai perkara itu kata Emma, dia memohon agar peminat tidak membuat spekulasi awal sebelum mendengar kenyataan daripadanya.
"Simbol di status BBM atau Whatsapp adalah perkara peribadi bagi saya. Jadi ia tiada kena mengena dengan sesiapa pun. Harap semua pihak faham dan memberikan ruang kepada diri saya sendiri," simpul Emma ringkas.
Ruangan pojok sebuah akhbar minggu lalu mengeluarkan kisah terbaharu Emma dan Zizan yang sering bertukar-tukar status di BBM dan Whatsapp merujuk kepada diri masing-masing.
Emma menulis perkataan MRR diikuti lambang hati, sementara Zizan menulis CFR menggunakan format sama seperti Emma. Ramai menafsirkan MRR adalah merujuk kepada nama Mohd. Razizan Razak manakala CFR pula Che Fatimah Rohani iaitu nama sebenar mereka.
Saling menasihati
Larut dalam perbualan mengenai lakonan, Emma, 21, memberitahu kesibukannya berlakon dan menghadiri acara membuatkan masanya bersama keluarga terbatas.
Hal itu diakui adiknya Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail yang kadangkala tidak sempat berjumpa dengan kakaknya, Emma walaupun tinggal serumah bersama ayah mereka, Ismail Embong.
"Kadangkala apabila saya keluar rumah, Emma belum bangun dan begitulah sebaliknya. Hari minggu pun belum tentu dapat meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga lain.

PASANGAN adik-beradik ini kini mampu menyakinkan bapa mereka bahawa mereka serius mahu menjadi pelakon.


"Tapi apabila berpeluang, kami akan berkongsi masalah bersama. Emma bukan sahaja berperanan sebagai seorang kakak bahkan kawan baik dan bak seorang emak bagi saya. Dia sentiasa menasihati setiap perkara saya lakukan.
"Dia bimbang saya tersalah langkah dan enggan saya menerima tempias yang negatif seperti dia pernah lalui sebelum ini," jelas Chacha, 17.
Dalam kesibukan itu, perlahan-lahan kerjaya mereka dalam bidang seni mula mendapat restu ayah mereka yang juga pelukis tersohor negara, Ismail Embong.
"Mula-mula dulu memang ayah selalu marah apabila kami pulang lewat malam. Dia tidak faham kenapa agaknya anak-anaknya selalu balik lambat, padahal kami sibuk dengan penggambaran.
"Sekarang apabila dia sendiri menyaksikan lakonan kami di televisyen dan ramai yang memberikan reaksi positif, ayah sudah boleh menerima kami seorang pelakon. Kadang-kadang kalau kami balik lambat dia yang akan memasak untuk kami," kongsi Emma mencelah.
Persaingan
Selain berkongsi masalah, pasangan adik-beradik itu juga sering berlatih berlakon bersama-sama bagi meningkatkan mutu penghayatan watak.
"Kalau bergaduh, kami akan bergaduh betul-betul! Emma akan jadi teman saya berlatih atau paling tidak pun saya akan ajak sekali kakak kami, Yaya untuk membantu saya terutamanya menjayakan watak sedih," kata bintang drama Kisah cinta Cornetto Uda & Dara itu.
Tidak gusar untuk dibanding-bandingkan kualiti lakonan antara kedua-dua beradik itu, baik Emma ataupun Chacha, masing-masing ada kelebihan tersendiri.
"Kami ada kelebihan masing-masing dan saya tidak cemburu pun dengan populariti Emma yang semakin memuncak, walaupun saya terlebih dahulu memulakan langkah dalam bidang lakonan.
"Malah saya gembira dengan kejayaannya hari ini. Saya percaya pada rezeki masing-masing. Teringin juga suatu hari nanti kami digandingkan berlakon bersama," ujar Chacha yang enggan dikaburi dengan cinta buat masa sekarang.

EMMA (kiri) dan Chacha Maembong mahu membuktikan kemampuan masing-masing sebagai pelapis baharu dunia seni tempatan.


Pengalaman selaman skuba Emma
KETIKA bersua, Emma memberitahu kulit mukanya mengelupas gara-gara berkampung selama seminggu di Pulau Tioman, Pahang, untuk menyertai cabaran selaman skuba bersama pasukan Remaja Ekstrem.
Berkobar-kobar berkongsi pengalaman pertamanya menyelam dalam laut sedalam 18 meter, kata Emma keindahan menikmati panorama dan kehidupan dasar laut tidak ternilai indahnya.
“Mula-mula saya takut untuk melakukan aktiviti yang dianggap ekstrem bagi sesetengah orang itu dan perasaan cuak itu bertambah kerana ini baru kali pertama.
“Tapi sekali sudah lompat masuk ke dalam air, rasa macam tidak puas. Mahu menyelam lagi ke dalam dan sedar-sedar sudah hampir sampai ke dasar.
“Seronok sebenarnya dapat belajar bahasa badan dan isyarat yang penyelam gunakan. Selama ini asyik tengok televisyen saja, tapi kali ini diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman ini,” ujarnya teruja.
Bagaimanapun Emma mengakui pada mulanya dia hampir berputus asa sepanjang peringkat latihan awal sebelum praktikal di tengah-tengah laut, namun katanya selagi tidak mencuba dia tidak tahu sejauh manakah kemampuannya.
Ditanya apakah aktiviti ekstrem lain yang ingin dilakukan selepas ini, jawabnya dia takutkan ketinggian, tapi pada masa sama mahu mencuba melakukan aktiviti seperti terjun lelabah (bungee jumping).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: