Perkara seperti ini tidak seharusnya dipandang remah kerana ianya bakal mengundang pelbagai masalah terhadap kehidupan masyarakat tidak kira di mana jua.
Selepas filem Lari arahan Sutradara Ahmad Idham, kes perdagangan manusia sekali lagi bakal diangkat oleh pengarah hebat, Bade Azmi dalam naskah terbarunya berjudul 'Sindiket' terbitan Loyal Studios Sdn Bhd yang akan menjalani sesi penggambaran bermula 6 Jun ini di Sabah.
Apa menariknya, filem ini bakal menampilkan sisi berbeza tiga pelakon wanita seperti Liyana Jasmay, Sharifah Amani dan Soo Wincci yang pastinya bakal memberi kelainan kepada filem ini.
Tekad ketiga-tiga pelakon yang sama cantik ini, mereka mahu membuktikan kemampuan masing-masing menerusi watak yang akan dijayakan kelak.
Berkesempatan mengunjungi majlis pelancaran filem 'Sindiket' yang dijalankan di Restoran Rebung, Bangsar, Zass tidak melepaskan peluang menemu ramah pelakon yang terlibat.
Hasrat Liyana tercapai
Bukan kali pertama bekerja di bawah arahan Bade Azmi, pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay mengakui tetap teruja untuk berlakon dalam filem tersebut.
Menurutnya, setelah meneliti skrip daripada pengarah, dia dapat merasakan filem kali ini akan memberi impak yang berkesan terhadap lakonannya.
"Dulu saya pernah menonton filem dari Indonesia berjudul, Jamila And The President yang turut mengangkat isu perdagangan manusia, dan sejak itulah saya mula tertarik untuk berlakon dalam filem seperti ini.
"Tidak sangka saya diberi kepercayaan daripada pengarah untuk turut serta menjayakan filem Sindiket ini," katanya.
Bertanyakan mengenai persiapannya untuk menghidupkan watak yang dibawa, Liyana memberitahu sebelum terlibat dalam sesi penggambaran, dia akan membuat rujukan dan kajian terhadap karakternya terlebih dahulu.
"Saya mula berlakon pada usia 16 tahun di bawah arahan pengarah yang sama. Sejak itu, saya telah diajar untuk cara-cara untuk menghidupkan watak dengan baik.
"Seperti biasa saya akan membuat rujukan dan kajian mengenai karakter saya. Memandangkan filem ini bukanlah filem sembarangan, saya akan cuba lakukan yang terbaik," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Liyana kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Sahabat untuk siaran Astro.
Letak syarat
Bakal memberikan komitmen sepenuhnya dalam lakonan filem ini, Liyana Jasmay bagaimanapun akui agak khuatir wataknya kali ini yang melibatkan babak dia dirogol dan memakai pakaian yang seksi.
Menurutnya, selepas bergelar isteri dia merasakan perkara seperti itu amat perlu diberi perhatian untuk kebaikan kerjaya dan menjaga hati suaminya.
"Saya meletakkan syarat untuk mengelakkan daripada bersentuhan dan pakaian yang terlalu menjolok mata. Saya bersyukur pengarah amat memahami situasi saya.
"Sebenarnya masa sebelum kahwin pun, saya tak pernah bawa watak yang terlalu 'gelap' macam ni. Kalau ada pun masa berlakon dalam Castello, tapi yang itu pun biasa-biasa sahaja," jelasnya.
Perkembangan lain, Liyana juga sedang menantikan filem lakonannya, Tokan yang akan ditayangkan dalam tahun ini.
Amani percayakan Bade
Sibuk dengan bidang penulisan skrip dan pengarahan bukanlah penghalang buat pelakon, Sharifah Amani bersetuju menerima tawaran beraksi menerusi filem ini.
Menurutnya, isu yang diangkat dan kredibiliti pengarah adalah antara faktor utama dia tidak melepaskan peluang untuk menjayakan filem tersebut.
"Sudah tentu saya teruja dapat menjadi sebahagian daripada krew yang terlibat dan pada masa yang sama menjayakan filem 'comeback' dari Bade.
"Sudah lama saya impikan tawaran seperti ini tambahan pula kali ini saya hanya perlu berlakon dan tiada bebanan untuk mengarah mahupun sebagai penulis skrip. Oleh itu, buat masa ini saya akan lebih fokus dalam lakonan," katanya.
Atas rasa tanggungjawab terhadap isu yang dibawa menerusi filem ini pelakon yang mesra di sapa Nani ini turut berkongsi pendapat bahawa perdagangan manusia perlu diberi perhatian kerana ia masih berlaku walaupun pembangunan negara semakin berkembang.
"Isu ini adalah satu benda yang menakutkan dan percaya atau tidak ia masih berlaku di seluruh dunia. Apa yang sedihnya kebanyakan kes ini berlaku di negara Asia termasuklah di Malaysia sendiri.
"Secara jujurnya saya agak kagum dan gembira pengarah memandang perkara ini dan mengetengahkannya sebagai satu filem dan mungkin ianya akan memberi kesedaran terhadap bahayanya isu ini," ujarnya.
Puas hati
Menyentuh mengenai perkembangan semasanya, pelakon genit ini memberitahu dia baru sahaja pulang dari Jepun bersama pengarah, Din Said bagi menghadiri Festival Filem Malaysia, CineMalaysia 2013.
"Di sana, beberapa filem tempatan telah ditayangkan termasuklah filem pendek arahan saya sendiri 'Sangkar' dan pada masa yang sama, filem lakonan saya, Redemtion Night turut mengadakan tayangan perdana di sana.
"Kami berada seminggu di sana dan saya amat berpuas hati dan gembira dengan penghargaan dan respons yang diberikan oleh masyarakat di sana.
"Lebih menggembirakan, ada di kalangan mereka yang tahu dan mengikuti filem-filem di Malaysia. Walaupun berlainan budaya dan bahasa, namun sikap keterbukaan mereka amat saya kagumi," katanya teruja.
Sisi berbeza Wincci
Pertama kali melibatkan diri dalam lakonan filem Berbahasa Malaysia, Ratu Malaysia Dunia 2008/2009, Soo Wincci turut melahirkan rasa gembiranya kerana diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab dalam pembikinan 'Sindiket'.
Berbeza dengan personalitinya yang lembut, kali ini Wincci dipertanggungjawabkan memegang watak sebagai seorang pelacur dan pasti bakal memberi cabaran hebat buat dirinya.
"Kali pertama baca skrip saya agak terkejut kerana karakter itu memang berbeza daripada imej dan sikap sebenar saya. Tambahan pula inilah filem pertama saya dalam Bahasa Malaysia.
"Tapi saya ambil perkara itu sebagai satu cabaran dalam bidang lakonan. Kalau boleh saya mahu belajar lebih banyak daripada pengarah memandangkan dia banyak pengalaman dalam bidang ini," katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai lakonannya ini, Wincci mengatakan lakonan kali bakal memberi kesan yang positif terhadap karier lakonannya.
"Saya bersyukur kerana ditemukan dengan pengarah yang benar-benar berbakat sepertinya. Saya akan gunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu dan memperbaiki lakonan saya pada tahap yang lebih baik.
"Walaupun ini kali pertama bawa watak seperti itu, tapi secara jujurnya saya amat teruja untuk lakukannya dan mengharapkan masyarakat dapat menerima lakonan saya," katanya.
Fokus karier nyanyian di Taiwan
Dalam pada itu, Wincci turut memberitahu dia kini sedang sibuk mempromosikan single terbarunya di Taiwan dan akan tampil dengan album keduanya di sana.
"Setelah promosi album pertama tamat, kami terus ketengahkan single baru di sana. Memandangkan pasaran Taiwan begitu pantas, kami juga terpaksa lakukan semuanya dengan pantas.
"Walaupun terpaksa beri fokus di sana, tapi saya tidak mahu lupakan karier saya di Malaysia. Saya tidak mahu menghampakan peminat di sini," katanya.
Tambah Wincci, setelah single pertamanya, Musim Asmara mendapat perhatian peminat tempatan, dia juga bakal tampil dengan album penuh Ogos ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: