Saturday, June 8, 2013

Kontroversi Khalwat Shahrizal Jaszle Tak Jejas 'Iman Nabila'

Shahrizal Jaszle (kiri) bersma Mahmud Ali Basha dalam Iman Nabila
PETALING JAYA: Pengarah drama Iman Nabila iaitu Shuhaimi Lua Abdullah menganggap kontroversi penangkapan khalwat pelakon utama drama tersebut, Shahrizal Jaszle tidak akan menjejaskan rating karya berkenaan yang bakal bersiaran pada Isnin ini.
Shuhaimi berkata, masyarakat sekarang sudah pandai membezakan hal-hal peribadi dan juga perkara lain membabitkan kerja.
"Saya tidak risau tentang rating kerana saya tahu masyarakat dan penonton sekarang sudah cerdik untuk membezakan hal peribadi dan hiburan serta kerja.
"Bagaimanapun kita juga tahu biasanya kontroversi sedikit sebanyak juga akan beri impak sama ada positif ataupun negatif," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Drama Iman Nabila akan bersiaran menerusi slot Azalea di TV3 bermula 10 Jun ini terbitan Suhan Movies Productions.
Pada 16 Mei lalu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menahan Shahrizal atas tuduhan khalwat di Apartmen Taman Sri Subang, di sini, pada pukul 3.30 pagi.
Shuhaimi Lua (kanan) bersama Shahrizal.
Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu Shuhaimi berkata, biarpun berita kejadian ditangkap khalwat itu tersebar pada hari pertama penggambaran drama tersebut dilakukan, Shahrizal tidak menunjukkan rasa tertekan dengan permasalahan yang menimpanya.
"Saya puji sikap profesional Shahrizal yang tetap menjalankan tugasnya dengan baik. Dia langsung tidak menunjukkan rasa tertekan di set penggambaran," ujarnya.
Ditanya tentang tindakan terhadap Shahrizal dengan kontroversi tersebut, Shuhaimi berkata pihak stesen televisyen TV3 dan produksi Suhan Movies tidakmengeluarkan apa-apa arahan tentang perkara itu.
"Saya agak bimbang ketika kejadian ini berlaku kalau-kalau pihak TV3 dan Suhan Movies hendak tukar pelakon kerana ia agak mengganggu tumpuan saya kerana bukan senang untuk mendapatkan pelakon pengganti.
"Lagi pula dalam hal ini, Shahrizal belum lagi disahkan bersalah kerana kesnya belum lagi dibicarakan di mahkamah," katanya.
Drama 16 episod ini mengisahkan tentang konflik kekeluargaan dan kasih sayang seorang nenek terhadap cucunya.
Demi harta dan wasiat, nenek tersebut sanggup membeli seorang bayi lelaki bagi mewarisi harta menantunya itu.
Selain Shahrizal, drama ini turut membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Faeza Ul Haq, Aida Khaleeda, Kuza, Fazlina Ahmad Daud, Wan (Shades), Mahmud Ali Basha serta pendatang baru Faiz Fadzil dan Zuan Azhar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: