Wednesday, June 12, 2013

Jalan sesak 30 minit


Jalan sesak 30 minit
Anggota bomba menggunakan alat memecahkan cermin sisi belakang bagi membuka pintu kereta.
Jalan sesak 30 minit
Mangsa dibawa ke HBG untuk rawatan lanjut
Jalan sesak 30 minit
Anggota bomba dan pihak hospital memeriksa keadaan mangsa sebelum dibawa ke HBG.
BATU GAJAH – Seorang lelaki tiba-tiba pengsan di dalam kereta mengakibatkan jalan raya sesak lebih setengah jam di Jalan Pejabat Pos, di sini, semalam.

Mangsa berusia 26 tahun itu kemudiannya berjaya dikeluarkan anggota pasukan keselamatan dan terus dibawa ke Hospital Batu Gajah (HBG) untuk rawatan lanjut.

Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba Batu Gajah, Halid Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 1.38 petang dan tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian.

“Kita dengan jentera beserta enam anggota tiba di lokasi dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri malah kita telah cuba mengejutkan mangsa namun gagal dan anggota saya terpaksa memecahkan cermin kecil bahagian sisi belakang.

“Mangsa kemudiannya dibawa keluar seminit selepas itu dengan bantuan daripada pihak hospital dan kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, seorang saksi kejadian enggan dikenali berkata, dia yang ketika itu sedang membeli barang di kedai berdekatan bergegas ke tempat kejadian sejurus melihat keadaan kecoh.

“Saya lihat mangsa sudah tidak sedarkan diri dan orang ramai turut cuba mengejutkan mangsa dengan mengetuk cermin selain ada beberapa kereta yang membunyikan hon namun usaha terbabit nyata gagal.

“Pada mulanya saya jangka mangsa sudah meninggal dunia, namun mujurlah apabila perhatikan betul-betul nampak mangsa masih bernafas.

“Nasib baik mangsa pengsan ketika keadaan trafik sesak, jika kenderaan tengah dipandu laju ketika itu mungkin lebih membahayakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: