Sunday, June 2, 2013

Isteri Cemburu Jika Tonton lakonan Josiah Di TV

Josiah Hogan
PETALING JAYA: Pelakon Josiah Hogan yang baharu mendirikan rumah tangga pada 25 Mei lalu mengakui isterinya tidak mahu melihat lakonan dia di televisyen.
Josiah, 27, berkata, ia berikutan sifat cemburu isterinya yang sukar menerima kenyataan setiap kali melihat dia melakonkan babak romantik dengan wanita lain.
"Dia memang tak mahu tengok hasil lakonan saya di televisyen. Saya faham cemburu tandanya sayang.
"Tapi kalau watak-watak kelakar dia ada tengok sebab dia suka nak kutuk saya semula," ujarnya ketika ditemui pada previu drama What If, di sini, Jumaat.
Josiah mendirikan rumah tangga kali kedua pada 25 Mei lalu dengan Nurul Hidayu Noordin di Kuantan, Pahang.
Sementara itu, Josiah yang baru dikenali melalui drama Cinta Jangan Pergi tidak merasakan perkahwinannya menjadi penghalang untuk dia mencipta nama dalam industri seni.
"Saya percaya kepada rezeki, kita lihat pelakon-pelakon yang berjaya seperti Aaron Aziz dan Adi Putra pun sudah berkahwin tapi mereka masih diterima.
"Bagi saya ia bukan menjadi halangan untuk kerjaya ini," ujarnya yang menganggap hidup lebih sempurna selepas berumah tangga.
Tambahnya, buat masa ini, dia terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang kerana isterinya menetap dan bekerja di negeri itu/
Bercerita tentang dirinya, pelakon berasal dari Amerika Latin ini berkata, dia mula menetap di Malaysia ketika berusia enam tahun.
"Ketika ibu saya berkahwin dengan ayah tiri, kami pulang ke Malaysia pada 1993 dan saya bersekolah di sekolah kerajaan.
"Disebabkan itu juga saya fasih berbahasa Malaysia, malah saya boleh bercakap dialek Kelantan kerana dibesarkan di negeri itu," ujarnya.
Josiah berkata, dia dan ibunya memeluk Islam sebelum ibunya itu berkahwin dengan bapa tirinya.
"Ramai yang keliru dengan nama saya, saya memeluk Islam ketika berusia empat tahun bersama ibu. Setelah itu jumpa bapa tiri yang merupakan antara orang kuat yang memperjuangkan agama Islam di sana.
"Selepas itu kami ikut dia pulang di Malaysia, saya pun sebenarnya tidak tahu bahasa Latin kerana tidak diajar oleh ibu," ujarnya.
Sementara itu, bercerita tentang drama What If, Josiah yang memegang watak utama berkata, ia merupakan sebuah karya yang mencabar.
"Watak saya sebagai seorang lelaki psiko dan gila, agak sukar kerana ia agak berat. Namun ia berlainan dengan watak-watak yang saya terima sebelum ini," ujarnya.
Drama rantaian arahan Jehan Miskin itu akan ditayangkan setiap Rabu, pukul 10 malam bermula 5 Jun ini di 8TV.
Antara pelakon lain yang turut membintanginya ialah Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Yasmin Yusoff, Vanidah Imran, Elaine Daly dan Nas T.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: