Sunday, December 20, 2009

Jadi tontonan seluruh dunia


TIDAK hipokrit. Serina mahu Salahuddin mengahwininya kerana dirinya yang sebenar.


SAMBUTAN 1 Januari 2010 tidak akan sama seperti sambutan tahun baru sebelum ini buat Serina Redzuan, 26.

Bakal dihujani kebahagiaan, itulah hari yang sudah ditempahnya untuk menjadi raja sehari bersama tunangannya, Salahuddin Ghaffar, 33.

Bakal bersanding di pelamin gaya Jawa gubahan pereka kreatif, Datin Linda Rahim, pada acara malam berinai besar nanti, anak chef tersohor di peringkat antarabangsa, Chef Wan ini mengakui majlis sebesar itu bukanlah yang diidamkannya selama ini.

Bukan sahaja diisi dengan pelbagai acara tradisi, tetapi perkahwinan Serina tersebut nanti akan dapat disaksikan di seluruh dunia menerusi saluran Asian Food Channel (AFC).

"Saya hanya mahukan majlis yang sederhana di sebuah laman terbuka pada asalnya tetapi disebabkan AFC mahu memaparkan perkahwinan itu dalam siarannya, menjadikan majlis itu kelihatan mahal dan berciri tradisional.

"Saya tidak ada masalah dengannya kerana saya akan tetap dapat bersanding mengikut konsep taman pada hari berikutnya, sentuhan Datin Seri Faridah Hashim.

"Lagipun, saya sangat teruja untuk melihat sentuhan Datin Linda dan Datin Faridah kerana saya percaya mereka mampu mewujudkan magis," ujar Serina yang berjaya menurunkan berat badan sebanyak lima kilogram daripada 65 kilogram, khusus untuk perkahwinannya itu nanti.

Justeru, Sensasi Bintang (SB) menyelami gelodak rasa bakal pengantin tahun baru 2010 ini.

SB: Susulan penundaan tarikh perkahwinan dari Jun 2009 ke Januari 2010, bagaimana dengan persiapan perkahwinan anda itu?

SERINA: Alhamdulillah, sudah 80 peratus selesai. Namun saya akui, mendengar bahawa saya akan melalui begitu banyak acara majlis, daripada merisik, bertunang, berinai kecil, bernikah, berinai besar dan bersanding, saya sudah berasa penatnya.

Selama ini, saya fikirkan berkahwin senang saja. Tidak sangka saya akan penat seperti ini.

Tetapi saya kena sokong usaha murni papa (Chef Wan) kerana ia akan dipaparkan ke seluruh dunia. Jadi, apa yang bakal ditunjukkan akan mewakili seluruh Malaysia.

Anda sendiri menyebut majlis pernikahan ini sudah menjadi begitu mahal. Ada menerima sebarang tajaan?

Papa menaja keseluruhan majlis menggunakan duitnya sendiri. Yang mana saya boleh tolong, saya tolong.

Anda mengakui sangat penat dan tidak cukup tidur menguruskan pernikahan ini tetapi bagaimana anda boleh tetap bertenaga dan kelihatan berseri?

Untuk persiapan ini, saya mengambil cuti daripada berlakon.

Namun, stamina saya sebenarnya diperoleh daripada amalan makan jamu yang saya amalkan sejak muda. Tambahan, saya seorang yang aktif bersukan.

Saya juga mendapat tajaan Dewi D' Spa. Buat bakal pengantin di luar sana, pergilah ke spa.

Ia membantu untuk mengurangkan tekanan kerana saya tahu betapa tertekannya mengendalikan persediaan perkahwinan.

Lagipun, papa tidak dapat sama-sama membantu secara fizikal kerana dia terpaksa bekerja di luar negara. Jadual kerja abang saya juga penuh, jadi dia juga tidak dapat membantu.

Salahuddin pula kurang arif tentang pengurusan borang nikah, atau adat perkahwinan Melayu. Pendek kata, saya terpaksa buat semuanya seorang diri.

Daripada arwah Hani Mohsein, kepada jurutera muda yang kedua-duanya berbangsa Melayu, apa yang membuatkan anda berpaling kepada lelaki Inggeris pula sehingga mahu membina hidup dengannya?

Jangan sesekali kata saya memburu cinta lelaki Inggeris. Saya tidak pernah merancang untuk berkahwin dengan lelaki Inggeris.

Namun mengenali Salahuddin, saya dapat merasakan dia lebih Melayu berbanding Inggeris.

Daripada selera makan, cara pemikiran dan usahanya menyesuaikan diri dengan keluarga dan orang di sekeliling saya.

Dia juga sudah memeluk Islam sebelum kami berkenalan lagi iaitu pada 2006, setelah membaca terjemahan al-Quran.

Sementelah, Salahuddin memiliki wajah yang sangat manis dan dia sememangnya seorang yang murah dengan senyuman. Jadi setiap kali saya memandang wajahnya, saya akan berasa tenang.

Dia juga banyak mengajar saya tentang kehidupan. Selalunya kalau saya marah-marah, dia akan tenangkan saya dengan percakapan yang lembut. Kami seperti api dan air.

Anda selalu marah-marah di depan Salahuddin, tidak bimbang dia akan mengubah fikiran?

Saya seorang yang akan menunjukkan diri sendiri yang sebenar apabila berkawan dengan seseorang.

Tak guna kalau saya tunjukkan yang indah saja sebelum kahwin dan yang selebihnya selepas kahwin kerana saya mahu dikahwini kerana diri saya yang sebenar.


Serina Redzuan


Sehingga sekarang, Salahuddin bijak menangani 'angin' saya dan melalui Salahuddin, saya dapat menemukan diri saya yang sebenar kerana kami banyak berkomunikasi secara matang.

Pernah Salahuddin menyuarakan apa ciri-ciri anda yang memenangi hatinya?

Ada dia cakap saya seorang yang berdikari, kuat fizikal dan semangat, sama seperti ibunya.

Pastinya, dia mengharapkan seorang isteri yang dapat menjaga makan, pakai dan rumah tangganya dengan baik.

Dia sudah mengenali ramai wanita yang terlalu bergantung kepada lelaki, yang mengharapkan lelaki untuk melakukan itu dan ini, dan dia tidak mahu mengahwini wanita seperti itu.

Kami juga ada banyak persamaan seperti gemar bersukan, melakukan aktiviti luar dan lasak. Jadi, banyak yang boleh dilakukan bersama.

Anda sudah bersedia untuk bekerja keras demi rumah tangga?

Sejak kecil, saya dan abang (Nazri) tidak pernah diajar bermewah. Kalau pun papa pakai pemandu ke tempat kerja, kami tetap disuruh menaiki bas mini ke sekolah atau kelas tuisyen.

Kalau kami hendak makan, mama selalu suruh kami sama-sama sediakan makanan itu, bukan tunggu saja makanan siap dihidang. Insya-Allah, tidak akan timbul masalah dalam melakukan kerja rumah, memasak dan sebagainya.

Adakah anda akan merancang kehamilan?

Saya mahu terus dapatkan anak kerana saya mahu keluarga yang besar.

Saya tidak akan merancang kerana mendapat tahu ia akan lebih menyukarkan usaha untuk mendapatkan anak di kemudian hari.

Saya juga mengharapkan pernikahan ini kekal kerana saya sudah berpengalaman menjadi anak mangsa perceraian.

Walaupun mendapat sepenuh kasih sayang daripada papa dan mama, perpisahan itu tetap memberi kesan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: