|
|
GUNDU Stage of Fame merupakan pertandingan mencungkil bakat kumpulan-kumpulan pemuzik baru yang unik kerana ia memilih juaranya berdasarkan lagu pesertanya yang paling banyak dimuat turun oleh para pendengar di Internet.
Pertandingan anjuran laman sesawang Gundu.com.my (Gundu) itu memulakan pertandingannya pada 26 Oktober hingga 29 November lalu dengan menyaksikan kumpulan Vermillion muncul sebagai juara pertama pertandingan tersebut.
Menurut Pengurus Acara Gundu, Sukma Mustaqeim Ahmad, Vermillion yang mempertaruhkan lagu berjudul Out Sider muncul sebagai johan pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM500 itu.
Katanya, selain bergelar juara pertama Gundu Stage of Fame, mereka juga akan diberi peluang mengadakan persembahan khas di pusat hiburan KL-Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, pada 5 Disember ini (hari ini) mulai pukul 3 petang bersama 11 lagi kumpulan lain.
“Selain hadiah wang tunai RM500, Vermillion juga telah menerima 33 tiket percuma dan ia boleh diberikan kepada para peminat yang telah menyokong mereka selama ini. Lagu mereka menang kerana ia paling banyak dimuat turun di Internet dalam bentuk ring back tones.
“Jumlah muat turun yang mereka terima akan diumumkan kemudian. Ini juga merupakan persembahan pertama mereka selepas bergelar juara pertandingan tersebut,” katanya kepada ketika dihubungi baru-baru ini.
Difahamkan, Vermillion yang mempertaruhkan lagu Out Sider sejak Ogos lalu menerusi laman sesawang Gundu mendapat perhatian ramai peminat kerana mengetengahkan elemen muzik indie yang bukan sahaja segar tetapi dalam gaya terkini.
Selain Vermillion, empat lagi pemenang pada pertandingan yang julung kalinya dianjurkan itu ialah Broken Riff, Stone Bay, Flossy dan Reaxi yang turut tidak ketinggalan beraksi bersama pada persembahan hari ini yang mengenakan tiket berharga RM25 dan RM50 itu.
Menariknya kata Sukma, selain lima pemenang Gundu Stage of Fame itu, turut beraksi ialah kumpulan terkenal seperti Azlan & Typewriter, Monoloque, Yakamashi, Silvergun Superman, O-Two, Marionexxes dan Restraint.
Jelasnya, selain mendapat peluang mengadakan persembahan selepas menang dalam pertandingan itu, lima kumpulan terbabit juga boleh mempromosikan lagu-lagu terbaru mereka pada konsert tersebut.
Cipta lagu, lirik sendiri
“Pertandingan seperti ini menggalakkan setiap peserta atau kumpulan terbabit supaya mencipta lagu-lagu dan lirik-lirik ciptaan mereka bagi diketengahkan terus kepada para peminat.
“Malah, pada masa sama selepas berakhirnya pertandingan ini mereka akan terus diberi peluang untuk beraksi di depan para peminat yang telah menyokong mereka selama ini.
“Cara ini juga memberi peluang secara langsung kepada para peminat memilih lagu-lagu dan kumpulan-kumpulan yang mereka suka,” ujarnya yang turut memberitahu pengacara radio X FM iaitu Haniff dan Burn dari radio Era akan mengacarakan konsert itu.
Pada Konsert Gundu Stage of Fame itu, setiap kumpulan akan diberi masa sekitar 30 minit di mana ia dijangka mengambil masa sehingga 8 jam sebelum persembahan berakhir pada pukul 10 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: