Tuesday, July 21, 2009

Latihan vokasional pemberontak LTTE

Welikanda menjadi rumah perlindungan kepada hampir 150 bekas anggota pemberontak LTTE.


PELATIH mencatat nota ketika menghadiri kelas pendawaian elektrik.


APABILA celik saja mata, mereka pernah memulakan hari dengan memberi tabik hormat pada bendera kebangsaan iaitu simbolik kepada negara yang diperjuangkan sama ada hidup atau pun mati.

Hari ini, zaman anggota pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) menggunakan bendera yang dibalut bahan letupan pada leher untuk meletupkan diri jika ditangkap oleh tentera Sri Lanka, sudah pun berakhir.

Di tempat mereka tergantung simbol-simbol keagamaan yang membayangkan imej sempurna Sri Lanka yang mahu dilihat dunia.

Lebih 300 bekas anggota pemberontak LTTE termasuk kanak-kanak direkrut tanpa menggunakan sebarang kekerasan dalam usaha untuk membekalkan ilmu kepada mereka.

Jika dulu mereka dilatih menguasai taktik-taktik peperangan gerila di dalam hutan di timur laut Sri Lanka, hari ini lain pula.

Latihan vokasional

Kini, mereka menerima latihan vokasional dalam bidang pertukangan kayu, kerja pemasangan paip, wayar elektrik, menjahit atau memasak.

Selain itu, mereka turut mempelajari kemahiran komputer, bahasa Inggeris dan Sinhala iaitu bahasa pertuturan majoriti etnik Sri Lanka.


BEKAS pemberontak Tamil Eelam ini melakukan kerja-kerja pertukangan.


Bagaimanapun, situasi sebegitu kurang menyenangkan dalam kalangan bekas pemberontak terutama golongan muda yang dibesarkan dengan susah payah untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air mereka, Tamil Eelam.

"Saya membaca mengenai Sri Lanka hanya di dalam buku sekolah," kata Vajeema Ravindran, 17, yang kini menghormati bendera negara dan menyanyikan lagu kebangsaan setiap hari.

"Sebelum ini, kami hanya menyanyi lagu Tamil Eelam dan menyaksikan bendera yang berbeza (Tamil Eelam)," tambahnya.

Pusat di Welikanda yang terletak lebih kurang 260 kilometer di timur Colombo itu, telah menghapuskan banyak percanggahan.

Dikawal

Pada waktu petang, suasana komuniti masyarakat di sana agak tenang. Ia berikutan bekas anggota pemberontak menghabiskan masa dengan mendengar muzik hip-hop Tamil atau Hindi, melukis, bermain kriket dan bermain bola sepak.

Sementara pada waktu malam pula, mereka menonton tayangan filem menerusi video cakera padat (VCD) yang dipinjam daripada saudara-mara atau menyaksikan filem Tamil klasik di televisyen.

Tetapi, walaupun keadaan sudah kembali aman, realitinya pusat itu masih dikawal siang dan malam oleh anggota tentera Sri Lanka.

"Ini bukanlah kem tahanan perang. Ia lebih kepada sebuah sekolah. Semua yang dilakukan ini merupakan proses pemulihan dan bukan hukuman," kata Mejar Jayalal Suraweera yang menguruskan pusat tersebut.

"Penghuni yang berada di dalam pusat ini boleh kembali kepada keluarga masing-masing atau berhijrah ke luar negara sejurus selepas program ini tamat," jelasnya.

Welikanda menjadi rumah perlindungan kepada hampir 150 bekas anggota pemberontak LTTE dan pusat ini akan dibesarkan untuk menampung tambahan 200 anggota lagi.

Lebih banyak kem dijangka bakal dibina sepanjang beberapa bulan akan datang untuk 3,000 pejuang yang menyerah diri sewaktu peringkat akhir peperangan.

Menurut ketua tentera Sri Lanka, Jeneral Sarath Fonseka, lebih 9,000 anggota pemberontak LTTE telah ditahan sejak kejayaan menewaskan kumpulan militan itu pertengahan Mei lalu.

Sebahagiannya berhadapan dakwaan jenayah manakala selebihnya akan menyertai senarai menunggu untuk dipulihkan.

Thevanayagam Shankar, 29, bekas komander timur pemberontak LTTE, menyerah diri berikutan kematian pemimpin tertingginya, Velupillai Prabhakaran yang ditembak oleh tentera kerajaan dalam satu pertempuran sengit pada 18 Mei lalu.

Kem eksklusif

Shankar yang terlibat dalam kumpulan pembebasan LTTE selama 15 tahun itu kini akan menghabiskan masa selama setahun di Welikanda.

"Selepas ketiadaan Prabhakaran, tiada siapa lagi yang boleh memimpin kami," katanya sewaktu mengikuti kelas keagamaan bersama rakan seperjuangan yang sering diberi arahan sebelum ini.


PELATIH-PELATIH ini direkrut tanpa sebarang kekerasan.


Seorang anggota lain, Angelo Selvakumar, 35, yang mengetuai sekumpulan kecil pejuang LTTE selama hampir sedekad, kini mempelajari kemahiran bertukang dan mengakuinya lebih mudah memegang peralatan tersebut berbanding mengendalikan senjata.

"Melalui senjata, orang melakukan sesuatu perkara untuk anda dengan ketakutan. Kini, saya perlu belajar bagaimana untuk memperoleh wang," tutur Selvakumar sambil menunjukkan bilik dorm yannya dipenuhi dengan poster bintang Bollywood dan kriket.

Sebuah kem lain di Ambepussa yang terletak kira-kira 60 kilometer (km) ke utara Colombo pula, merupakan kem eksklusif untuk bekas kanak-kanak anggota pemberontak dan didiami oleh lebih 100 orang remaja Tamil.

"Kanak-kanak adalah lebih mudah untuk dilatih berbanding bekas anggota pemberontak yang telah dewasa," kata Hiranthi Wijemanne, seorang konsultan dari kementerian pengadilan yang menguruskan kem pemulihan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: