SEREMBAN - Percaya atau tidak, pengunjung kini berpeluang membeli perkakas dapur dengan harga RM10 sahaja di Pesta Orkid dan Flora yang sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Senawang (SECC), di sini, sejak Sabtu lalu.
Kesemua produk berkenaan boleh didapati di reruai Mohd Syafiq Asna Mohd Nasir, 16, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Menurutnya, lebih 15 jenis perkakas dapur yang berkualiti ditawarkan kepada orang ramai pada harga cukup menakjubkan.
Pengurus Promosi dan Pemasaran BMC Venture, Normazura Nor Mahadzan sempat membelek beberapa perkakas dapur yang dijual di situ.
“Antara barang ditawarkan seperti set pisau memasak, kapak pemotong daging, teko, cerek, dulang, mangkuk tingkat dan pelbagai lagi. Semuanya RM10 setiap satu.
“Kami beri harga borong sebab nak ringankan kos perbelanjaan orang ramai. Memang keuntungan tak banyak mana, tapi kepuasan pelanggan yang kami utamakan,” katanya.
Menurutnya, pengunjung tidak seharusnya melepaskan peluang baik sebegitu memandangkan tawaran tersebut sukar didapati di tempat lain.
“Kalau tak beli sekarang, lain kali kalau nak dapat harga macam ni kena pergi Kelantan. Sebab kedai kami di Wakaf Che Yeh. Namanya Selera Timur.
“Selain barang RM10, kami juga jual lain-lain perkakas dapur pada harga berpatutan di sini. Kami beri diskaun antara RM20 hingga RM30 berbanding di luar sana.
“Bagi yang berminat dengan cadar patchwork, pun ada di sini. Harganya RM35 saja berbanding RM45 di tempat lain,” katanya.