KAMPUNG RAJA - Pemilihan Tapak Luncur Udara Kota Putera di Bukit Bubus dekat Tembila di sini sebagai lokasi Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (Tipco) bakal meletakkan Besut dan Terengganu dalam peta dunia bagi acara sukan tersebut.
Adun Kota Putera, Mohd Mahdi Musa berkata, acara yang akan berlangsung pada 12 hingga 16 Mei ini  dianjurkan sempena Visit Beuatiful Terengganu 2017.
Menurutnya, beliau difahamkan Tipco merupakan kejohanan antarabangsa luncur udara (paragliding) terbesar pernah diadakan di negara ini melibatkan penyertaan 24 buah negara.
“Negara yang dijangka mengambil bahagian antaranya Australia, Iran, Thailand, Norway, Indonesia, Bulgaria, Ukraine, Mongolia dan banyak negara lagi termasuk tuan rumah Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sukaneka Dun Kota Putera yang dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh di Pentas Rebana, Pantai Air Tawar. di sini.
Mohd Mahdi berkata, seramai 90 peluncur udara  dijangka mengambil bahagian sepanjang acara tersebut yang berlangsung selama lima hari itu.
Menurutnya,kejohanan berprestij ini dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri, Pelancongan Negeri Terengganu, Kelab Paramotor Terengganu selaku pengurus acara dan Biro Paragliding Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).
“Beberapa nama besar dunia disenaraikan turut menyertai penganjuran kejohanan ialah ikon dunia sukan paragliding, pemenang anugerah National Geographie tahun 2012 iaitu Sano Babu Sunuwar daripada Nepal.
“Beliau berjaya terbang luncur udara dari tiga puncak tinggi dunia iaitu Gunung Everest, Gunung Elbrus dan Kilimanjaro,” katanya.