LAZIMNYA, masyarakat lebih mengenali nira nipah atau air nira yang dikatakan kaya dengan pelbagai khasiat.
Menyedari keistimewaan buah nipah itu mendorong seorang penduduk di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah, Alor Gajah melakukan inovasi sendiri dengan menghasilkan jus nipah.
Zainal Md Ali, 66, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Anjang, bukan asing dalam kalangan penduduk kampung kerana dikenali sebagai pengasas lokasi pelancongan di Masjid Tanah dikenali sebagai Taman Lokan.
Menurutnya, idea menghasilkan jus nipah bermula apabila dia dicabar Pegawai Daerah Alor Gajah, Daud Hasan yang datang ke Taman Lokan kira-kira tiga tahun lalu.
Katanya, dia kemudian menyahut cabaran tersebut dengan membuat beberapa kali percubaan sebelum dapat menghasilkan jus nipah daripada isi buah nipah yang dikisar.
Pelancong yang juga delegasi K1M Jalan Makloom Pulau Pinang teruja merasai keenakan isi buah nipah sebelum ia dibuat jus nipah
"Tidak sukar untuk mendapatkan bekalan buah nipah berwarna hitam itu kerana tumbuhan ini banyak ditemui di kawasan sungai seperti di sepanjang Sungai Kuala Linggi hingga Sungai Timun, Negeri Sembilan.
"Tapi pemilihan buah nipah sedikit rumit kerana untuk membuat jus perlu menggunakan isi buah nipah muda yang lebih lembut dan manis," katanya.
Bagi menambahkan semangat untuk menghasilkan jus itu, katanya, dia membuat kajian menerusi Youtube mengenai jus nipah sudah popular di negara Indonesia seperti Aceh sejak beberapa tahun lalu.
 "Jadi, saya terfikir mengapa Malaysia yang kaya dengan pokok nipah tidak mengambil peluang mengusahakan produk berasaskan buah itu.
“Memang ada penduduk kampung yang membuat jus nipah seperti ini, namun lebih kepada untuk minuman sendiri dan bukan untuk dipasarkan atau dijual. Tak ramai tahu tentang kelazatan jus nipah ini terutama di negara kita," katanya.
Menurutnya, dia yakin jus nipah mampu setanding dengan jus buah yang terdapat di negara ini terutama untuk menyejukkan badan.
"Isi buah berwarna putih itu juga sebenarnya boleh diminum sesiapa saja termasuk kanak-kanak tanpa sebarang kesan yang memudaratkan berbanding air nira nipah," katanya kepada Sinar Harian.
Zainal berkata, dia bagaimanapun berharap ada pihak yang dapat membantu untuk mengkomersialkan produknya itu dari segi pembungkusan, pemasaran dan promosi agar dapat diketengahkan dan dikenali ramai.
Kawasan Sungai Paya Lebar yang masih terdapat banyak pokok nipah sehingga ke muara Sungai Linggi
“Usaha yang saya lakukan untuk mempromosikan produk tempatan. Saya berharap kawasan Ayer Limau akan dikenali sebagai kawasan berkaitan dengan nipah," katanya.
Selain itu, katanya, dia kini dalam tempoh percubaan untuk menghasilkan santan cendol bagi buah nipah yang tua.

Dapat perhatian timbalan menteri

Jus Nipah yang dihasilkan Zainal turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, produk itu mampu menjadi tarikan baru pelancong bukan sahaja di Kampung Paya Lebar, malah seluruh Masjid Tanah.
Menurutnya, langkah Zainal memperkenalkan buah yang kaya dengan antioksidan itu memberi kelebihan kepada penduduk kampung berikutan menjadi satu tarikan pelancongan kawasan luar bandar.
“Saya lihat air nipah yang berkhasiat dan sesuai diminum pada cuaca panas seperti ini. Sebenarnya boleh menjadi tarikan pelancong dengan pelbagai lagi produk nipah yang boleh diketengahkan.
"Kita akan terus memberi sokongan,” katanya.
Sementara itu, usaha Zainal turut mendapat perhatian kerajaan negeri apabila jus berkenaan dilancarkan Adun Ayer Limau, Datuk Amirudin Yusof sempena kunjungan delegasi Komuniti 1 Malaysia (K1M) Jalan Makloom, Pulau Pinang di bawah Jabatan Penerangan Daerah Alor Gajah.
Amiruddin berkata, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama untuk memastikan produk itu dapat dipasarkan termasuk khidmat nasihat dan pembungkusan tanpa mengharapkan pulangan kepada mereka.
“Kita sedia memberi kerjasama dan maklumat kepada mereka yang serius untuk membantu penduduk dalam usaha ini agar impian kita untuk menambahkan produk nipah seperti jus nipah, tercapai,” katanya.