MERSING - Buat pertama kalinya Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) melupuskan 270 kilogram abu al-Quran yang sudah rosak dan uzur di Laut China Selatan sekitar perairan Mersing, semalam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikannya, Dr Mohd Azman Mohsin berkata, sebelum ini urusan pelupusan itu dibuat di kawasan perairan Selat Melaka.
Menurutnya, program itu dibuat sejak Jainj memiliki mesin untuk melupuskan al-Quran yang memudahkan lagi kerja pelupusan.
“Jadi, masyarakat tidak lagi membuang al-Quran sewenang-wenangnya. Kini ada saluran melupuskan al-Quran yang patuh syarie,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Jeti Mersing selepas melupuskan 270 kilogram abu al-Quran di perairan Mersing.
Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam di negeri ini agar menghubungi Pejabat Kadi Daerah bagi urusan pelupusan al-Quran.
“Melalui unit penyelidikan kita ada perkhidmatan untuk memusnahkan al-Quran dengan cara yang patuh syarie iaitu dibakar, dibentuk kiub atau bongkah dan dilarutkan di laut.
“Ini bagi memelihara dan menjaga kesucian kitab itu. Bukan sahaja al-Quran lama, kitab, hadis, ada juga soalan peperiksaan yang mengandungi ayat al-Quran,” katanya.
Program anjuran Bahagian Penyelidikan Jainj dan Pejabat Kadi Mersing itu mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim Pangkalan Mersing, Jabatan Taman Laut Johor serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang melibatkan kira-kira 50 pegawai dan anggota.
Mohd Azman berkata, dalam program itu mereka turut melawat lima pulau di perairan Mersing iaitu Pulau Pemanggil, Pulau Aur, Pulau Sibu, Pulau Besar dan Pulau Tinggi.
“Kami ambil kitab-kitab yang lama dari penduduk di sana untuk kita lupuskan. Kami juga ambil kesempatan itu untuk berziarah dari rumah ke rumah dan menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan serta wang tunai.
“Alhamdulillah kedatangan kami disambut dengan terbuka oleh penduduk-penduduk di sana,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya sempat mengadakan forum yang bertajuk, ‘Semak Sebelum Sebar’ di Pulau Aur dan Pulau Tinggi selain program membudayakan al-Quran sempena bakal tibanya bulan mulia, Ramadan tidak lama lagi.