KUALA TERENGGANU - Seorang ibu tunggal ingin melepaskan sebuah tempayan dipercayai berusia ratusan tahun yang menjadi kegemaran arwah suaminya walaupun ia memiliki 1001 kenangan.
Maimun Malik, 61, berkata, selepas suaminya, Said Che Mat, 59, meninggal dunia Disember tahun lalu, tempayan itu tidak diuruskan dengan baik serta tidak digunakan.
Katanya, disebabkan beliau tidak berminat dengan barangan antik, dia berhasrat untuk melepaskan tempayan itu kepada sesiapa yang berminat pada harga yang berpatutan.
"Memang saya tak minat dengan koleksi barangan lama, lagipun saya berulang alik ke rumah anak selepas kematian suami, jadi, barangan ini tidak dijaga, jadi saya fikir sudah tiba masanya untuk tempayan ini bertemu tuan baharu.
"Bukan tak sayang, malah tempayan ini simpan banyak kenangan, tetapi saya rasa agak sia-sia jika ia dibiarkan begitu sahaja tanpa dimanfaatkan sebaiknya," katanya.
Beliau berkata, tempayan yang menjadi peninggalan keluarganya itu menjadi kegemaran suaminya yang suka mengumpul koleksi barangan antik selain menanam pokok bunga di halaman rumah.
Menurut Maimun, hasratnya untuk menjual tempayan itu juga kerana mahu mengawal perasaan dari terus bersedih dan mengingati arwah suaminya yang meninggal dunia akibat penyakit kanser darah, tahun lalu.
"Biasalah, bila orang dah tiada banyak barang-barang peninggalan termasuk barang-barang kesayangan dia yang akan menggamit kita untuk mengingati mereka yang telah pergi, jadi, tempayan ini adalah salah satu koleksi barangan antik yang menjadi kesayangan arwah suami.
"Dulu, tempayan yang dipercayai berasal dari negara China ini telah ada sejak arwah mak saya masih kecil, ketika itu kami menetap di Kampung Ladang Titian. Masa tu orang buat telur masin untuk dijual di dalam tempayan ini.
"Mungkin juga disebabkan tiada bekas seperti sekarang, mereka jual sekali dengan tempayan. Dulu-dulu ia digunakan untuk mengisi air bagi membasuh kaki sebelum masuk ke rumah. Air dalam tempayan itu dicedok menggunakan cebok yang diperbuat daripada tempurung kelapa," katanya.
Maimun yang tinggal di Kampung Telok, Tok Adis, di sini, berkata, tempayan itu juga boleh diisikan air untuk mandi.