ASALNYA dia hanya mengalami kesukaran membeli stok makanan untuk ular sawa peliharaannya.
Namun siapa sangka bermula detik itu, Mohd Hilal Hashan, 32, dari Puchong kini mampu meraih pendapatan sampingan mencecah ribuan ringgit sebulan dalam bidang penternakan tikus makmal.
Pemandu di sebuah syarikat swasta itu berkata, dia meminati haiwan eksotik bermula sejak zaman kanak-kanak hinggalah dia membeli ular jenis ‘Ball Phython’ dan ‘Albino Burmese’ beberapa tahun lalu.
Selain haiwan berdarah sejuk itu, dia juga membela iguana yang kini menjadi haiwan kesayangannya bersama isteri, Marlisa Mohamad, 30, dan dua anak perempuannya, Syasya Qistiena, 9 serta Syakiera Qaisara,5.
Katanya, setiap minggu dia memerlukan antara tiga hingga enam ekor tikus putih yang dijadikan makanan untuk haiwan peliharaannya itu.
Bagaimanapun, dia sering menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan, selain terpaksa ke lokasi yang jauh untuk memperoleh stok tikus putih. “Stok makanan ular saya selalu terputus sebelum ni, nak dapatkannya pun bukan murah... bermula dari situlah saya terlintas membuat ternakan tikus putih sendiri bagi memenuhi keperluan makanan haiwan peliharaan.
“Tak sangka pula daripada sekadar suka-suka dan nak penuhi stok bekalan untuk haiwan sendiri, akhirnya berkembang dan kini boleh raih pendapatan sampingan pula,”katanya.
Pelanggan datang dari luar Lembah Klang Mohd Hilal berkata, dia juga tidak menyangka jualan tikus makmal seperti menjual pisang goreng panas, stok sentiasa tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Sejak menjalankan pembiakan dan penternakan tikus dua tahun lalu, pelanggannya bukan sahaja datang dari Lembah Klang tetapi juga dari utara dan selatan tanah air.
“Ada pelanggan yang sanggup datang sendiri dari jauh untuk dapatkan bekalan, ada sebahagiannya pula saya hantar menggunakan van...Biasanya ramai yang mengambil stok untuk tujuan ujikaji makmal.
“Ramai juga yang datang beli untuk dijadikan santapan haiwan eksotik termasuk ular, biawak, burung helang yang dipelihara mereka,”katanya.
Menyentuh mengenai harga, Mohd Hilal berkata, ia bergantung kepada saiz dan tujuan tikus berkenaan digunakan.
Jika untuk tujuan biologi, harganya lebih tinggi kerana makanan diberi kepada tikus berlainan berbanding dengan yang hanya digunakan sebagai makanan kepada haiwan eksotik.
“Harga seekor tikus dijual antara RM2 dan RM30 bermula dari saiz anak tikus yang belum ditumbuhi bulu hinggalah yang mencapai saiz 13 inci.
“Permintaan untuk haiwan ini memang tinggi, saya boleh raih antara RM1,500 hingga RM6,000 sebulan bergantung kepada jumlah pembiakan tikus,”katanya.
Tidak terlepas dengan cabaran, katanya, haiwan tersebut perlu diberi makanan secara rutin pagi dan petang.
Katanya, haiwan itu juga tidak boleh diletakkan di tempat terlalu panas kerana kadar peratusan untuk mati menjadi lebih tinggi.
“Ia perlukan suasana yang dingin untuk hidup dan membiak dalam tempoh 21 hari. Tikus betina akan melahirkan antara empat hingga 10 ekor anak bagi setiap kelahiran,”katanya.