JERTIH - Kewujudan sebuah kolam besar di kawasan taman perumahan Taman D’ Kenjing dekat Seberang Jertih di sini didakwa mengundang bahaya terutama kepada kanak-kanak di situ.
Penduduk, Roszilawati Hussain, 40, mendakwa anak perempuannya Nurul Shahirah Hani Shahrul Nizam, 10, hampir lemas selepas terjatuh di dalam kolam tersebut pada minggu lepas.
Menurutnya, anak perempuannya itu terjatuh ketika bermain berhampiran kolam tersebut namun dia sempat diselamatkan seorang rakannya yang bermain bersamanya ketika itu.
“Saya bersyukur kerana anak saya terselamat kerana kebetulan ada rakannya berdekatan bertindak menarik tangannya.
“Sejak menetap di taman perumahan ini enam tahun lalu, semenjak taman perumahan awal dibuka, ketika itupun  saya memang berasa bimbang dengan keselamatan anak-anak dengan kewujudan kolam tersebut apatah lagi ia dikatakan sedalam melebihi 10 meter,” katanya.
Roszilawati berkata lagi, kejadian yang menimpa anaknya menimbulkan kebimbangan di kalangan ibu bapa di taman perumahan tersebut.
Menurutnya, kedudukan kolam yang berada di tengah-tengah kawasan perumahan yang juga menjadi tempat tumpuan kanak-kanak bermain pada sebelah petang mempunyai risiko besar kejadian tidak diingini sekiranya langkah sewajarnya tidak dilakukan segera.
Sehubungan itu penduduk di situ merayu pihak berkaitan sama ada pemaju atau pihak berkuasa tempatan memasang pagar di sekeliling kolam tersebut untuk mengelak kanak-kanak bermain di situ.
“Lebih bahaya  ketika musim banjir kerana tebing kolam itu akan sama dengan jalan di tepinya menyebabkan orang ramai tidak dapat membezakan antara tepi kolam dan jalan. Orang dewasa dan kanak-kanak boleh terjatuh ke dalam kolam itu kerana keadaan air kolam melimpah,” katanya.
Penduduk merayu agar pemasangan pagar dapat mengurangkan risiko lemas di situ dan masalah ini telah dimaklumkan  penduduk kepada pemaju yang terbabit membina rumah itu.