KOTA BHARU - Seorang pemancing terkejut selepas menemui seekor ikan pelik seperti seekor buaya ketika memancing di Kampung Berhala Lima di sini.
Khairudin Mat Lazim, 36, berkata, dia terkejut dengan penemuan ikan itu kerana spesies ikan itu sangat pelik dan mengakui baru pertama kali melihatnya.
"Pada mulanya saya sangka buaya, tapi bila tengok dekat, ia adalah seekor ikan. Ini kali pertama saya jumpa ikan seperti ini kerana sebelum ini saya hanya dapat ikan baung, toman dan pelbagai jenis ikan sungai.
"Memang agak pelik namun saya tak berniat untuk jual ikan ini dan akan simpan untuk tatapan," katanya.
Katanya, berita mengenai penemuan ikan itu tersebar, malah ada yang datang sendiri ke rumahnya untuk mendapatkan ikan itu.
"Ini semua kuasa ALLAH SWT dan rupa ikan ini juga satu kejadian aneh yang kini menjadi bualan penduduk kampung," katanya kepada Sinar Harian.
Hasil pencarian maklumat oleh Sinar Harian mendapati ikan berkenaan ialah aligator gar, salah satu spesies ikan pendatang berasal dari Amerika dan di bawa masuk ke negara ini sebagai ikan hiasan.
Penemuan ikan berkenaan oleh penduduk kampung mungkin disebabkan ia terlepas dari kolam peliharaan ke perairan tempatan akibat banjir atau sengaja dilepaskan oleh pemiliknya ekoran enggan lagi memelihara ikan berkenaan yang kuat makan.