PASIR MAS - Pekebun kecil dan penoreh getah diingatkan supaya tidak terlalu ghairah berbelanja ketika harga komoditi itu sedang meningkat.
Pegawai Risda Jajahan Kelantan Utara, Rosnan Ab Rahman berkata, sebaliknya golongan berkenaan harus menggunakan peluang ini sebaiknya dengan membuat tabungan.
"Tabungan merupakan langkah bijak yang boleh dipraktikkan golongan terbabit ketika harga komoditi itu sedang meningkat ketika ini.
"Kita tidak tahu bila pula harga getah akan turun atau naik lagi kerana ia boleh berubah-ubah bila-bila masa sahaja,” katanya.
Menurutnya, tabungan itu juga  akan bertindak sebagai ‘talian hayat’ ketika harga komoditi terbabit jatuh pada masa hadapan.
Bagaimanapun  katanya, beliau berharap harga getah akan terus stabil dan semakin meningkat pada masa hadapan.
"Peningkatan tersebut dilihat memberikan kegembiraan kepada para pekebun dan penoreh selepas harga getah mengalami kejatuhan sebelum ini," katanya.
Rosnan berkata, kebanyakan penoreh hanya bergantung kepada tanaman itu sahaja untuk menyara hidup, dan sebab itu beliau menekankan agar mereka bijak berbelanja.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar Tok Uban mendapati, rata-rata pekebun dan penoreh menarik nafas lega dengan peningkatan harga getah.
Difahamkan, harga getah ketika ini berada antara RM5 hingga RM5.20 untuk setiap kilogram berbanding sebelumnya antara RM2.20.
Dalam pada itu, penoreh, Che Omar Che Senik, 67, berkata, kenaikan harga getah membuatkan dia lebih bersemangat untuk menoreh yang selama ini menjadi punca pendapatan utama untuk menyara keluarga.
Katanya, dia berharap harga getah akan terus kekal dan stabil pada masa hadapan.
"Kenaikan ini amat gembirakan kami. Hasil jualan getah itu dapatlah digunakan untuk menampung perbelanjaan harian dan keluarga," katanya