Monday, February 13, 2017

Filem Pertama Radhi Khalid Tergendala Kerana Tiada Dana



Radhi Khalid memberitahu sedang mencari dana bagi membolehkan filem terbitan pertamanya berjudul Raju Raja diteruskan selepas lima tahun tergendala.
KUALA LUMPUR: Pelakon Radhi Khalid memberitahu filem terbitan pertama syarikatnya, Radhikal Films berjudul Raju Raja tergendala selama lima tahun kerana kekurangan dana.
Radhi atau Muhammad Radhieddeen Abd Khalid, 53, bagaimanapun berkata, dia masih belum berputus asa untuk melihat karya sulungnya itu disiapkan sekaligus ditayangkan untuk tontonan umum.

"Persiapan skrip dan pra-produksi sudah pun siap cuma penggambaran sahaja masih tergendala kerana memerlukan dana sebanyak RM2 juta.
Radhi masih aktif berlakon.
"Tambahan pula filem ini bukan sahaja menggunakan pelakon tempatan tetapi daripada India dan ia sudah tentu memerlukan belanja yang besar.

"Bagaimanapun saya masih belum berputus asa untuk menyiapkan filem ini dan masih mencara dana dan penaja," katanya.

Dalam pada itu, Radhi berkata, walaupun skrip Raju Raja sudah siap namun ia perlu dirombak semula agar ia lebih relevan dan sesuai dengan peredaran zaman.

"Saya sudah siapkan skrip filem itu sudah lama dan ada beberapa bahagiannya sudah tidak lagi sesuai dan perlu dirombak semula.

"Pada saya ia perlu dilakukan bagi memastikan hasilnya nanti tidak kelihatan ketinggalan zaman dan relevan," katanya.

Sementara itu, Radhi berkata, dia masih aktif berlakon walaupun dia kini dilihat jarang muncul di televisyen.

Malah katanya, dia bakal muncul dalam dua buah filem pada tahun ini iaitu Misi Operasi X arahan Zulkeflie M. Osman dan Filem Orang Itu arahan Ida Nerina.

"Saya masih berlakon mungkin orang sahaja tak perasan malah ada dua filem yang menampilkan saya akan keluar pada tahun ini.

"Selain itu, saya sibuk dengan kerja-kerja penerbitan dokumentari, iklan dan drama syarikat saya dan Alhamdulillah banyak juga projek telah kami hasilkan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: