Friday, February 3, 2017

Liza Abdullah Rindu Bidang Nyanyian



Liza Abdullah rindui bidang nyanyian.
KUALA LUMPUR: Dramatis Liza Abdullah mengakui rindu untuk kembali menyanyi selepas lebih 15 tahun tidak aktif secara serius dalam bidang tersebut.

Liza atau Norliza Abdullah, 53, berkata, selepas lagu duetnya bersama Ringgo (Arrow) berjudul Samarenda 1994 dahulu, fokusnya hanya tertumpu pada bidang lakonan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dalam situasi ramai pelakon bersilih ganti sekarang, nama Liza Abdullah masih ada di tempatnya sendiri sebagai seorang pelakon.

"Pun begitu, saya tidak boleh sembunyikan kerinduan untuk kembali menyanyi dan mempunyai lagu baru selepas lebih 15 tahun menyepi dari lapangan itu.

"Insya-Allah kalau tidak ada ara melintang, saya bersama seorang sahabat iaitu Syerry yang merupakan bekas anggota kumpulan Princess merancang untuk merakamkan sebuah lagi duet tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, kata pelakon yang pernah mencipta nama menerusi filem Ali Setan ini lagi, usahanya ini juga adalah untuk memberitahu kepada peminat generasi baharu yang tidak pernah tahu tentang penglibatannya di dalam bidang nyanyian.

"Ada peminat saya dari generasi baharu tidak percaya saya pernah ada lagu hit suatu ketika dulu dan apabila saya memaklumkan lagu tersebut berjudul Samarenda, ada yang tahu tetapi tidak menyangka saya adalah penyanyinya.

"Justeru, mereka meminta saya kembali merakamkan lagu dan perkara ini ibarat mengantuk disorong bantal sebab saya tidak pernah berniat nak tinggalkan kerjaya nyanyian kerana jiwa saya masih di situ," katanya.

Bagaimanapun, kemunculannya pada kali ini bukan untuk bersaing dengan mana-mana artis, sebaliknya ingin sama-sama memeriahkan industri hiburan sedia ada.

Di samping itu, kata ibu tunggal kepada empat cahaya mata ini lagi, dia kini masih menyanyi di pentas persembahan berskala kecil seandainya menyertai mana-mana karnival jualan.

"Sampai sekarang saya masih disuruh menyanyi oleh peminat sekiranya menyertai mana-mana acara dan karnival jualan dan saya tiada masalah untuk itu.

"Malah, sehingga kini saya masih lagi menyimpan minus one lagu Samarenda walaupun lagu tersebut sudah berusia lebih 15 tahun ," ujarnya.

Menyentuh perkembangan lakonannya, dia tidak kisah jika dirinya lebih dikenali di televisyen berbanding di layar perak.

"Di awal kemunculan dulu memang saya banyak berlakon filem namun saya tidak nafikan penerimaan masyarakat hari ini kepada pelakon drama TV memberi impak tersendiri dan saya antara yang merasa tempias itu.

Katanya, dia hanya bersyukur kerana rezeki lakonannya tidak pernah putus sehingga terpaksa menolak beberapa tawaran agar tidak menganggu komitmen kerja sedia ada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: