HONDA Malaysia membuka tempahan bagi model baharu Honda City iaitu New City yang diterima di semua 88 pengedar Honda seluruh negara.
New City dipertingkatkan berdasarkan kejayaan model generasi ke-4 yang terjual lebih 100,000 unit sejak dilancarkan Mac 2014.
Dalam satu kenyataan, Honda berkata, keluaran terbaharu itu dilengkapi dengan ciri-ciri terkemuka antaranya selesa, lapang, kecekapan bahan api dan reka bentuk moden seterusnya menjadi pilihan rakyat Malaysia.
“Dengan New City ini, ia akan memberikan nilai tambah bagi golongan muda dan keluarga.
“Turut dikuasakan dengan enjin 1.5L, i-VTEC digabungkan dengan Teknologi Transmisi boleh ubah (CVT) untuk semua varian, New City menyediakan imbangan yang sesuai untuk memacu prestasi dan kecekapan bahan api.
Honda City baharu, dilengkapi dengan butang Push Start dan Kemasukan Pintar untuk menyediakan kemudahan tambahan kepada pelanggan.
“Selain itu, City baharu menetapkan penanda aras dalam keselamatan segmen B dengan ciri-ciri seperti sistem Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan sistem isyarat berhenti kecemasan (ESS) yang datang sebagai standard di dalam semua varian.