Thursday, July 23, 2009

'Ketiadaan Ogy tak lemahkan semangat saya'


OGY terpaksa menarik diri dari konsert Jamal kerana ada komitmen lain.

TINDAKAN Fauziah Ahmad Daud atau Ogy menarik diri sebagai pengarah teater muzikal dalam Konsert Jamal Abdillah... Kembara Seniman yang dijadualkan bermula 5 Ogos ini di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, disebabkan pelakon, penyanyi, pengacara TV dan pengarah filem itu mempunyai komitmen lain.

Raja Pop Malaysia, Jamal Ubaidillah Ali atau lebih dikenali dengan nama Jamal berkata penarikan diri Ogy dalam teater muzikal itu tidak membabitkan masalah lain sebaliknya Ogy terikat dengan tugas dan tanggungjawabnya sendiri.

"Saya diberitahu, Ogy mempunyai komitmen lain. Jadi peranan dia (Ogy) diganti dengan Pengarah Istana Budaya (IB) sendiri iaitu Zainal Abidin Bujang, manakala saya sendiri berperanan menghasilkan olahan skrip teater muzikal itu kerana ia mengisahkan kehidupan saya sepanjang 30 tahun bergelar anak seni.

"Apa pun, penarikan itu tidak melemahkan semangat saya untuk beraksi, sebaliknya menjadi perangsang kuat kepada saya untuk memberi persembahan terbaik kepada peminat," katanya ketika ditemui selepas menghiburkan lebih 1,000 pengunjung yang menghadiri Program Bual Bicara Kenali Anak Kita anjuran Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), tajaan Petronas, di Tambun, Ipoh, baru-baru ini.

Pada program itu, Jamal yang berkemeja biru gelap dan berseluar jeans sempat mendendangkan dua lagu popular iaitu Gadis Melayu dan Seroja kepada peminat yang menunggu sejak jam 2 petang, sebelum bergegas pulang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri siaran langsung program bual bicara Fenomena Seni.

Beliau berkata demikian menjawab isu berhubung penarikan diri Ogy sebagai pengarah teater muzikal yang akan diadakan dalam persembahan konsert yang berlangsung lima hari berakhir 9 Ogos nanti.

Jamal, 50, yang kini kembali dengan albumnya, Tak Hilang Cinta berkata, beliau bersyukur diberi peluang untuk mengadakan persembahan di IB kerana itu adalah impian setiap penghibur sepertinya.

"Sebenarnya saya bercadang untuk mengadakan konsert selama tiga hari saja, tetapi kelainan yang disajikan dalam persembahan kali ini iaitu persembahan teater muzikal menyebabkan pengurusan IB memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan tempoh konsert sehingga lima hari.

"Saya menaruh harapan tinggi supaya usaha saya yang pertama ini mendapat sokongan semua pihak terutama peminat yang tidak jemu menyokong saya selama ini," katanya yang dijangka akan menyanyikan kira-kira 40 lagu daripada koleksi albumnya.

Konsert yang menelan belanja kira-kira RM200,000 itu memaparkan dua segmen, iaitu persembahan teater muzikal Jamal bersama penari IB dan segmen kedua membabitkan persembahan nyanyian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: