Friday, June 19, 2009

Watie 'ditikam' rakan sendiri


DRAMATIS dan bekas anggota Elite, Norwatie Sadali (Watie), 34, kecewa dan sedih apabila rakan yang dianggap seperti keluarga sendiri menikamnya dari belakang dengan menyebarkan fitnah mengatakan dia tidak memulangkan baju yang dipinjam dan mencuri barang kemas.

Lebih membuatkan pelakon utama drama Iris itu geram apabila rakan dimaksudkan itu menggunakan media sebagai medan untuk memalukan dirinya.

Ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan di ruangan SS pada Selasa lalu, jelas Watie, apa yang disampaikan rakannya itu tidak benar sama sekali.

Dakwaan tidak berasas itu turut disiarkan sebuah akhbar mingguan. Tidak berpuas hati dengan kenyataan disiarkan, dia menghubungi sendiri wartawan terbabit untuk mengetahui cerita sebenar bagaimana gosip mengatakan dia mencuri dan tidak memulangkan baju dipinjam boleh tersiar.

"Pada peringkat awal, saya ingatkan ia membabitkan produksi drama yang pernah dibintangi, namun sebaik berpeluang bercakap sendiri dengan wartawan yang menulis, saya terkejut apabila diberitahu pengadu terbabit dalam artikel itu adalah rakan baik saya juga bekas anggota Elite.

"Saya sedih dan menangis sehari suntuk apabila mengenangkan perkara ini. Tidak terlintas di fikiran bahawa dia sanggup berbuat demikian.

"Saya tidak tahu apa motifnya dia mereka-reka cerita. Adakah sengaja untuk memburuk-burukkan saya atau cuba mencari publisiti murah memandangkan dia kini tidak lagi dikenali ramai selepas mengambil keputusan berkahwin dan meninggalkan dunia seni," katanya.

Kata Watie, dia mengenali rakannya itu sudah lebih 10 tahun, malah sebelum sebelum menganggotai Elite, mereka terlebih dulu bersahabat.

"Sepanjang berkawan dia tidak pernah pula cuba memburuk-burukkan saya walaupun sebelum ini ada antara kami anggota kumpulan Elite pernah terkena dengannya sehingga menyebabkan antara kami berselisih faham.

"Mungkin juga saya lurus bendul dan terlalu percayakan kawan. Apabila ada yang mengadu mengenai sikap buruknya saya tidak mahu percaya dan menganggap mereka berdengki dengannya.



"Bagaimanapun, apabila sudah terkena batang hidung sendiri baru saya tahu sikapnya yang sebenar," katanya.



Jelas Watie lagi, biasanya baju atau barang kemas yang dikatakan dicuri atau tidak dipulangkan itu berupa pemberian daripada rakan itu.

"Maklumlah, sewaktu berkahwin dan mengikut suaminya menetap di London, England dia selalu memberikan kami hadiah. Kadang-kadang dia sendiri yang membuka mulut mahu menghadiahkan baju yang tidak lagi digunakan.

"Perkara itu bukan saja dilakukan kepada saya, tetapi anggota Elite yang lain. Sebagai kawan saya ingatkan dia ikhlas, tetapi tidak sangka pula sekarang begini pula jadinya.

"Kalau saya tahu dia jenis manusia buruk siku dan menggunakan perkara ini untuk memburukkan saya, pasti saya akan menolak pemberiannya.

"Patutlah sekarang ini rakan Elite yang lain tidak mahu lagi rapat dengannya, rupa-rupanya mereka lebih dulu mengenali sikap buruk rakan saya itu," katanya.

Mahu mengetahui punca rakannya itu yang juga bekas model terkenal bertindak demikian, Watie cuba menghubunginya.

Apabila ditanya lain pula penjelasan diberikan.

"Dia cuba putar-belitkan kenyataan dengan mengatakan dia tidak pernah berkata saya mencuri barang kemas dan tidak memulangkan baju yang saya pinjam. Dia tidak mahu bercerita lanjut dengan alasan fikirannya berserabut.

"Katanya lagi dia sekarang sering menjadi mangsa ugutan, dan selepas itu terus meletakkan telefon.

"Hairan saya apa kena mengena fikiran dia berserabut dan diugut dengan saya mencuri barang kemas dan tidak memulangkan bajunya seperti yang didakwa.

"Kalau benar saya bersalah mengapa tidak dia memarahi saya apabila berpeluang untuk bercakap. Ini tidak, sebaliknya dia meletakkan telefon seperti orang bersalah pula," katanya.

Kata Watie lagi, dia terpaksa membuat penjelasan berkenaan kerana bimbang mereka yang tidak tahu cerita sebenar akan 'termakan cakap' apabila membaca gosip disiarkan.

Apatah lagi sekarang ini kerjayanya sedang berkembang baik. Dia tidak mahu cerita tidak berasas itu akan memberi kesan buruk sehingga menyebabkan penerbit tidak mahu mengambilnya berlakon.

"Sepanjang hidup saya tidak pernah kacau orang apatah lagi menabur pasir di periuk nasi mereka.

"Saya bekerja untuk membesarkan anak, jadi tolong jangan cuba ganggu kehidupan saya.

"Saya merayu kepada mereka yang berasakan mempunyai masalah dengan saya agar menghubungi saya sendiri dan jangan sesekali menjadikan media untuk mencari jalan penyelesaian pada masa akan datang," katanya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: