Friday, June 19, 2009

Que lebih senang Linda di depan mata


SEJAK empat bulan bergelar suami orang, ternyata cukup membahagiakan pelakon Que Haidar.

Memilih koreografer jelita, Linda Jasmine Hashim sebagai suri hidupnya, Que mengakui keutamaan masa kini lebih banyak diluangkan bersama keluarga.

Ditambah pula, kandungan isteri kesayangannya mencecah usia empat bulan dan sebagai suami, dia sedar harus memberikan sokongan. Jadi, dalam soal tawaran berlakon, Que perlu mempertimbangkan pelbagai perkara sebelum sedia menerimanya.

Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar berkata, apabila sudah berkeluarga, memang berlaku perubahan dalam cara hidup. Kalau dulu lebih kerap bersama rakan, sekarang tentunya masa ditumpukan kepada isteri dan anak.

"Saya sangat seronok dengan kehidupan yang dijalani kini. Terasa ia begitu nikmat, apatah lagi bergelar bapa kepada anak tiri saya, Qalif Khan. Bahkan, paling bermakna apabila dia (Qalif) mengingati dan membelikan hadiah hari lahir untuk saya.

"Ia cukup membuatkan saya terharu. Walaupun, hadiah itu hanya jaket tetapi ia pemberian ikhlas daripada seorang anak kecil. Malah, sempena Hari Bapa hujung minggu ini, awal-awal lagi Qalif sudah mengingatkan saya supaya tidak ke mana-mana.

"Dia mahu meraikan sambutan Hari Bapa bersama saya dan sekarang sibuk membuat perancangan bersama ibunya. Tidak tahulah apa yang istimewa akan dilakukan mereka kali ini tetapi saya memang tidak sabar menunggunya. Ia sungguh menggembirakan," katanya.

Berbicara mengenai karier seninya, menurut lelaki berusia 30 tahun ini, dia baru selesai menjayakan penggambaran filem Romance-Legenda Budak Setan arahan Sharad Sharan.

Selain itu, Que akan sibuk pula dengan urusan promosi beberapa filem lakonannya.

Antaranya, rangka promosi untuk filem Stamp arahan Kabir Bhatia, diikuti Papadom oleh Afdlin Shauki dan Skrip 7707 nukilan Prof A Razak Mohaideen. Justeru, biar sesibuk manapun, Que tetap memastikan ada masa untuknya bersama keluarga.



"Apabila sudah berkahwin, saya memang menghadapi perubahan dalam penjadualan masa. Jika dulu tidak terasa sangat tetapi sekarang memang penting bagi saya melebihkan masa dengan keluarga. Oleh itu, saya perlu fikir masak-masak sebelum buat keputusan.



"Contohnya, apabila penggambaran terlalu lama di luar ibu kota. Biasanya, saya akan membawa Linda bersama kerana lebih tenang jika dia di depan mata. Maklumlah, dia sekarang mengandungkan anak kami dan pastinya memerlukan banyak sokongan," katanya.

Berbual pula masalah alahan pernah dialami Que ketika isterinya baru disahkan mengandung, akui pelakon filem Selamat Pagi Cinta ini, keadaannya sekarang semakin baik. Malah, Linda juga tidak banyak kerenah mengidam makanan yang diingininya.

"Cuma, dulu ada sekali dia mengidam makanan Cina, chee chong fun. Saya sendiri tidak tahu apa makanan itu dan tanya pada ibu. Alhamdulillah, nasib saya baik kerana makanan itu ada dijual di KLCC. Lega rasa hati apabila berjaya menemuinya," kata Que.

Ditanya mengenai nama anak dan persiapan awalnya, menurut Que, setakat ini dia sudah mempunyai beberapa senarai nama yang menjadi pilihan untuk anaknya. Malah, dia juga ada membeli sedikit barangan keperluan bayi seperti pakaian.

"Bukan apa, apabila jalan-jalan di pusat beli-belah dan ternampak pakaian bayi yang cantik, saya jadi amat teruja. Justeru, bagi memuaskan hati ini, saya beli saja. Tidak kiralah pakaian itu sesuai untuk bayi lelaki atau perempuan. Asalkan suka, saya ambil.

"Kelakar juga apabila difikirkan tetapi memang saya tidak sabar menanti kelahiran anak sendiri. Saya seronok apabila ada anak dan atas sebab itu tidak merancang. Alhamdulillah, segala doa dan harapan itu kini dimakbulkan Tuhan," katanya gembira.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: