|
 |
| IMEJ pelakon genit, Sari Yanti dengan drama berkonsepkan kisah remaja, Kisah Kaisara cukup sinonim. Biarpun dalam drama bersiri itu menampilkan Sari sebagai Kaisara yang juga pelajar berusia 16 tahun, hakikatnya bentuk tubuhnya tidak menampakkan usia sebenar yang akan menjangkau 25 tahun pada 9 November nanti. |
Kata Sari, dia gembira dengan impak drama itu yang kini sudah memasuki musim ketiga disukai ramai.
Atas sambutan positif itu, dia menyatakan masih sibuk dengan penggambaran drama berkenaan yang bersambung 13 episod.
Memberikan tarikan, lapan episod drama itu akan ditayangkan pada penghujung bulan ini menerusi TV9 manakala baki lima episod menemui penonton di laman web, www.kotex.com.
"Banyak kejutan yang ingin ditampilkan dalam musim baru kali ini. Perubahan pada kehidupan 'bapa' saya iaitu lakonan Norman Hakim selepas berkahwin antara kisah menarik untuk diceritakan.
"Watak saya pula banyak berkongsi perasaan dengan ibu tiri saya. Pada saya, pengalaman sepanjang terbabit dengan drama ini memberikan keseronokan.
"Cabaran untuk menghayati watak juga tidak terlalu sukar. "Apabila drama ini sudah masuk musim ketiga, saya merasakan kerja di lokasi penggambaran lebih mudah kerana masing-masing faham dengan apa yang dikehendaki pengarah," katanya.
Di sebalik populariti menerusi drama berkenaan, Sari menyatakan dia berpeluang mencuri masa untuk membintangi drama lain antaranya Ubat Rindu yang menjalani penggambaran sebelum Kisah Kaisara 3 bermula. Katanya, drama berkonsep komedi itu memberi kelainan padanya dari aspek lakonan apabila diberi watak dewasa yang memerlukan dia berdialog dalam dialek Negeri Sembilan.
Baginya, ia bukan masalah memandangkan dia sendiri berasal dari Kuala Pilah dan berusaha untuk menyesuaikan diri dengan pasangannya, Along Raja Lawak 2.
Namun, dia masih menganggap tanggungjawab sebagai pelakon utama drama berkenaan adalah besar dan tidak mahu mengambil tawaran lakon untuk drama lain pada satu masa.
"Saya berpandangan watak utama memainkan peranan yang berat kerana komitmen sepenuhnya perlu diberikan. Lalu, untuk memberikan hasil terbaik, ia sukar untuk saya mengambil tawaran drama lain.
"Menjadi pelakon, fokus pada satu kerja pada satu masa amat penting. Ada juga tawaran lakon drama lain yang saya terima, tetapi saya tolak bila sudah mempunyai komitmen pada satu drama.
"Dalam pada itu, saya juga mengasah bakat dalam bidang pengacaraan. Buat masa ini, saya terbabit mengendalikan program Gen X bersama Fizo Omar dan ia masih ditayangkan di TV1.
"Ada dua program lain yang menyaksikan saya berpeluang mengacara iaitu Chopp!! (TV9) dan Teratak Impian (TV1).
"Keseronokan antara lakonan dan pengacaraan suatu yang berbeza. Lakonan merujuk pada watak dan karakter manakala mengacara lebih pada komunikasi depan kamera. Selain tawaran lakon, tidak nafikan ada juga tawaran mengacara yang saya tolak.
"Namun, saya berharap antara dua kerjaya ini, ia bergerak seiring. Setakat ini, saya selesa untuk memfokuskan pada dua bidang ini," katanya.
Menilai bakat lakon sendiri, Sari berkata dia masih belum puas hati dengan mutu lakonan yang disampaikan. Katanya, masih banyak perkara yang perlu dia belajar selain menimba pengalaman baru ketika di lokasi penggambaran.
Berdasarkan lakonan dalam pelbagai drama yang dijayakan sebelum ini, dia tetap mengakui ada perubahan pada diri sejak mula berlakon hingga kini.
Bagi Sari, dia menjadikan pelakon senior seperti Azean Irdawaty, Maya Karin dan Datin Seri Tiara Jacquelina sebagai idola dalam memperbaiki lakonan menjadi lebih baik.
"Saya sebenarnya tidak kisah dengan watak yang dibawa. Jika boleh, saya mahu melakonkan pelbagai watak agar saya berpeluang menonjolkan bakat dalam diri.
"Sebaliknya, mungkin saiz badan saya yang kecil membuatkan produser fikir, saya hanya sesuai untuk ditawarkan watak remaja. Saya berharap lebih banyak peluang untuk watak baru dan dewasa yang saya dapat selepas ini," katanya.
Dalam rancak bercerita mengenai kerjaya, Sari tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman selepas lima bulan bergelar isteri. Dia berkahwin dengan Mohd Eddy Casmady Che Hussin pada 16 Januari lalu selepas mereka berkawan selama tiga tahun.
Katanya, dia bahagia dengan kehidupan yang dilalui kini walaupun status sudah mempunyai suami.
"Tidak banyak beza sebenarnya antara kehidupan selepas berkahwin dan sebelum. Cuma apabila mempunyai suami, saya perlu bertanggungjawab dalam menguruskan rumah tangga.
"Ada ketika bila saya balik lewat dari penggambaran, saya tidak sempat masak, tetapi apabila tiada kerja, saya tetap masak untuk suami saya.
"Suami saya, seorang yang memahami. Lagipun hidup berdua lebih senang jika makan di luar. Soal anak, tiada lagi apa-apa tanda dan kami masih menunggu.
"Sejak berkahwin, saya merasakan pengurusan masa antara kerjaya dengan rumah tangga tidak mempunyai masalah. Selalunya, penggambaran drama yang saya lakukan seperti Kisah Kaisara tidak lama dan saya akan berada di rumah jam 9 malam.
"Suami saya juga tidak terlalu campur tangan soal kerjaya saya. Jika ada penggambaran di luar Lembah Klang, dia izinkan saya untuk pergi.
"Bagaimanapun, sebagai isteri, saya selalu berbincang dengannya mengenai sebarang tawaran yang saya terima," katanya.
Sari yang kelihatan manis bertudung menyatakan dia selesa untuk mengenakan imej sedemikian sama ada menerusi drama ataupun di luar lokasi penggambaran.
Katanya, sejak bersekolah di tingkatan tiga, dia sudah biasa mengenakan tudung hingga diminta melakonkan watak Kaisara yang turut bertudung.
Menariknya, dia mempunyai bermacam koleksi tudung termasuk sehelai tudung hitam pemberian istimewa daripada suaminya ketika mengerjakan umrah pada tahun lalu.
PROFIL
NAMA: Sari Yanti Mohamad Nazari
NAMA KOMERSIAL: Sari Yanti
ASAL: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
TARIKH LAHIR: 9 November 1984
USIA: 24 tahun
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Tenaga Nasional
KERJAYA: Model, pelakon dan pengacara
FILEM: Impak Maksima dan Hooperz
DRAMA: Kisah Kaisara, Pencak Akhir, Seandainya Aku Siti, Gadis Merah Jambu, Juanna, Mingguan Lelaki dan Ubat Rindu
PROGRAM TV: Gen-X, Chopp!! dan Teratak Impian
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: