|
| ASSALAMUALAIKUM! Gelanggang politik negara kita masih lagi belum diam. Sama juga dengan politiking dunia hiburan yang tidak lari daripada cendekiawan yang berpengalaman dalam bidang ini, cuba untuk mencari tapak selesa melalui persatuan yang melonggok di pentas seni. |
ASSALAMUALAIKUM! Gelanggang politik negara kita masih lagi belum diam. Sama juga dengan politiking dunia hiburan yang tidak lari daripada cendekiawan yang berpengalaman dalam bidang ini, cuba untuk mencari tapak selesa melalui persatuan yang melonggok di pentas seni.
Demokrasi yang menjadi dasar amalan negara kita turut diamalkan dalam pemilihan ketua dan sekutu-sekutunya untuk memimpin persatuan atau pertubuhan yang diwakili. Memang kita banyak persatuan hiburan yang hanya bersatu dalam kelompok masing-masing.
Jauh untuk kita lihat arena hiburan tempatan dalam sebuah persatuan yang benar-benar bersatu. Masing-masing ada hala tuju. Pengeluar filem dengan cara mereka, pekerja produksi melaungkan perjuangan sendiri, pengarah filem dan drama juga tidak terkecuali.
Itu baru tiga yang saya sebutkan dan rasanya tidak perlulah saya bariskan lagi yang lain, buat rugi ruang ini saja kerana saya yakin anda semua sedia maklum akan persatuan berkaitan dunia seni di negara kita.
Biarpun dengan kehendak dan manifesto masing-masing, nyata gelagat mereka lebih kurang yakni berebut jawatan. Elemen politik dimainkan juga walaupun di mana anda berada tetapi berpasportkan demokrasi. Soal tikam belakang, berpuak, kroni dan apa-apa lagi perkataan yang sesuai digunakan yang sewaktu dengannya, masih diguna pakai.
Berhemah atau tidak amalan demokrasi itu, hanya diri sendiri yang tahu. Janji aku boleh berada di kerusi se atas yang mungkin. Situasi ini biasa berlaku di mana-mana, cuma saya sekarang bercakap berlandaskan pentas seni, seiring dengan tulisan kolum ini di ruangan hiburan.
Saya sendiri 'mati akal' bila berpersatuan kerana kejutan budaya yang saya alami sejak mula-mula menyertai sebuah persatuan, masih menghantui. Bukan bermakna saya tidak bersatu tetapi biarlah kita dalam persatuan yang semuanya sama aras. Tiada ketua tiada ahli jawatankuasa, kalau adapun, semuanya ketua semuanya ahli jawatankuasa.
Berada di atas bukan mudah seperti mana sukarnya untuk naik. Kesukaran itu juga kadang-kadang menidakkan 'kemanusiaan' demi sebuah gelaran dan status. Tanggungjawab teramat besar untuk dipikul, bukan sekadar gelaran bermegah-megah.
Dalam Kamus Dewan Cetakan Keempat 2005 memberi maksud tanggungjawab sebagai kewajipan yang dipikul oleh seseorang. Perkataan itu bukan sesenang kita mengeja dan menyebutnya.
Pemilihan ketua dan perlantikan baru setiap persatuan berbeza. Ada yang membuat Mesyuarat Agung dua tahun sekali, tiga tahun sekali dan mungkin lebih untuk setiap penggal 'pemerintahan'. Tidak kurang juga yang kekal memerintah dari penggal ke penggal, berdasarkan keperluan ahli dan juga berdasarkan kebijaksanaan bermain politik dan kroni.
Lain persatuan lain, lain ragamnya dan terpulang kepada perlembagaan yang digubal mereka. Alhamdulillah, setakat ini, tiada mesyuarat pemilihan ketua pemimpin persatuan seni kita yang bergaduh hingga membaling kerusi atau diberi amaran seperti along menyimbah cat merah kepada kereta penghutangnya.
Setakat bertikam lidah atau berbalas pantun melalui media. Engkau kata aku, dia kata engkau dan aku tetap aku yang benar. Biarpun benang basah kuyup, cuba ditegakkan juga kerana semua permainan pertandingan merebut posisi ini tidak perlu malu-malu.
Jawatan bagi sesetengah mereka amat penting. Mungkin elaun menjadi sasaran, tidak kurang juga status untuk mendapat tempat di kalangan masyarakat seni serta yang benar-benar ingin berjuang demi ahli.
Bagaimanapun dalam menulis mengenai persatuan, perebutan dan perpecahan hubungan sesama manusia ini, saya teringin memetik sebuah frasa yang cukup membuka mata saya.
Benarlah kata tokoh umat Islam yang terbilang al-Imam Sufyan al-Thauri (meninggal dunia pada 161H): "Aku tidak melihat paling kurangnya kezuhudan itu melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa, maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya." (al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala, 7/262).
Kamus Dewan menjelaskan secara ringkas zuhud itu sebagai mengamalkan sifat zuhud yakni memperbanyakkan mengingati mati kerana itu akan mengurangkan seseorang daripada melakukan dosa dan menjadikannya zuhud dalam urusan dunia.
Saya bukanlah bijak pandai atau cendekiawan seperti ketua persatuan hiburan atau mana-mana ketua waima sebagai ketua keluarga sekalipun, tetapi kata-kata tokoh di atas menyuntikkan tambahan kesedaran kepada saya. Insya-Allah ia menjadi panduan buat kita bersama. Wassalam!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: