|
| KEHIDUPAN sebagai selebriti menyebabkan langkah Aznil Nawawi, 45, untuk bergerak bebas di negara sendiri terbatas kerana sebagai insan yang dikenali ramai tentu saja dirinya sentiasa menjadi perhatian. |
KEHIDUPAN sebagai selebriti menyebabkan langkah Aznil Nawawi, 45, untuk bergerak bebas di negara sendiri terbatas kerana sebagai insan yang dikenali ramai tentu saja dirinya sentiasa menjadi perhatian.
Oleh itu peluang bercuti ke Hollywood baru-baru ini memberi ruang kepada Pengacara Paling Popular itu berehat, berjalan dan membeli-belah sepuas hatinya tanpa ada yang kenal dan mempedulikan kehadirannya di sana. Hadiah lawatan itu sempena kemenangan program Bual Bicara TV Terbaik Macam Macam Aznil pada majlis Anugerah Skrin 2008.
"Sudah lama saya tidak berasa bebas seperti ini di negara sendiri. Kali ini saya betul-betul dapat bercuti dan merehatkan diri. Di Kuala Lumpur pun saya keluar membeli-belah, tetapi ke mana pergi mesti ada yang kenal dan ingin bergambar. Saya tetap melayan mereka dengan baik kerana sokongan merekalah saya berjaya seperti hari ini.
"Cuma apabila sudah lama menjalani kehidupan sebagai selebriti teringin pula menjadi insan biasa seperti dulu. Saya bebas bergerak dan melakukan aktviti yang disukai," katanya.
Bukan main girang hatinya dapat membeli-belah di Camarillo Premium Outlets yang menyediakan 160 kedai barangan berjenama. Di sana tiada siapa yang kisah dia mengheret beg besar supaya senang mengisi barang dan dia boleh duduk di mana suka.
"Saya bercakap seorang pun tiada yang peduli. Penat berjalan saya duduk mencangkung di luar kedai. Lepas dari perhatian awam kerana siapalah yang kenal saya di Hollywood?
"Menariknya setiap pekerja di kedai yang saya pergi semuanya melayan dengan ramah dan tidak pernah bermasam muka jika tidak jadi membeli barang di premis mereka. Lama saya tidak mendapat layanan begini apabila membeli belah di negara sendiri.
"Mungkin juga layanan baik itu kerana masalah ekonomi sekarang, tetapi bagi saya masyarakat di sana memang bersikap terbuka dan sangat menjaga hati pelanggan. Apabila membeli-belah di tempat sendiri ada pekerja kedai yang bercakap tidak pandang muka kita pun. Macam tidak ikhlas bekerja.
"Saya banyak membeli barang untuk anak, keluarga, saudara mara dan rakan. Tiada beli barang untuk saya pun kerana sebagai orang yang terbabit dalam dunia seni yang sangat mengutamakan penampilan saya sudah puas membeli belah. Tambahan untuk sesetengah barang berjenama saya mendapat harga istimewa kerana menjadi ahli.
"Apabila berada di luar negara juga kurang gangguan telefon kerana mereka tahu kos untuk menghubungi saya di sini mahal. Ada juga yang menghubungi, tetapi tidak bercerita panjang.
"Komputer riba pun saya tidak bawa kerana kunjungan saya ke Hollywood memang untuk bercuti. Lupakan seketika kerja yang tidak pernah berakhir. Sebelum ini sudah dua tiga kali pergi mengerjakan umrah dan menunaikan fardu haji di Tanah Suci, tetapi suasana di sana berlainan.
"Apapun saya bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke Hollywood. Kali pertama saya datang ke Los Angeles 15 tahun lalu bersama keluarga dan kini banyak perubahan," katanya.
Pun begitu sebelum membulatkan hatinya untuk ke mengikut rombongan pemenang Anugerah Skrin 2008 ke Hollywood, hatinya berbelah bahagi kerana menularnya wabak selsema babi (swine flu) atau nama saintifiknya Influenza A (H1N1) sekarang. Tambahan dua tiga hari sebelum berangkat ke Hollywood, terdapat seorang lelaki di Pulau Pinang disyaki terkena wabak itu sejurus dia balik di New York.
Namun atas keyakinan yang diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan yang mengetuai lawatan itu, Aznil akhirnya tekad berangkat menyertai rombongan yang disifatkan lawatan sambil belajar itu. Tambahan pihak Media Prima Berhad menghantar Eksekutif Penjenamaan TV3, Shaffique Ahmad Zehnun ke sana empat hari lebih awal untuk meninjau dan mengetahui sendiri keadaan di sana.
"Syukur kerana wabak itu tidaklah seteruk yang disangka dan setibanya di sini saya tidak nampak mat salih memakai topeng dan keadaan di sini aman sekali," katanya.
Menceritakan pengalamannya melawat tiga studio utama di Hollywood, Warner Bros Studios, Sony Pictures dan Universal Studios, kata Aznil dia cuba membayangkan jika program tempatan dapat dibuat tanpa terlalu memikirkan sensiviti masyarakat tentu produk itu akan menjadi sebagus program yang diterbitkan di Hollywood.
"Dunia seni kita boleh pergi jauh jika kita tidak terlalu memikirkan sensiviti masyarakat. Pun begitu kita masih ada adat budaya yang dijunjung tinggi. Kita berada dalam negara yang banyak mengambil kira segala perkara sebelum menghasilkan sesebuah penerbitan," katanya.
Bercakap mengenai Anugerah Skrin ia menyifatkan hadiah yang berupa lawatan itu sangat bagus kepada semua pemenang kerana dengan lawatan itu ia dapat membuka minda dan mencontohi mana yang baik untuk kemajuan persada seni tempatan.
"Bagi saya Anugerah Skrin adalah satu anugerah dan bukan pertandingan. Anugerah ini juga berupa pengiktirafan kepada hasil kerja kita selama ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: