|
| KEMELUT ekonomi global yang melanda di seluruh dunia tidak sedikit pun menjejaskan semangat ratu rock tanah air, Ella untuk terus berjuang memartabatkan irama rock di persada seni tanah air. |
KEMELUT ekonomi global yang melanda di seluruh dunia tidak sedikit pun menjejaskan semangat ratu rock tanah air, Ella untuk terus berjuang memartabatkan irama rock di persada seni tanah air.
Ketika dihubungi Rap, kata Ella, 43, atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin yang hampir 25 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian, dia semakin bekerja keras untuk menghasilkan bingkisan album terbaik buat peminat setianya sejak dulu.
"Saya tidak menafikan artis tempatan turut terjejas dengan kemelut ekonomi global dan pada masa sama kegawatan pasaran album sekarang. Namun, bidang nyanyian sudah menjadi darah daging saya sejak dulu.
"Apa yang berlaku sekarang tidak sepatutnya membuat kita patah semangat kerana ia cabaran yang perlu ditangani dengan bijak. Saya juga akan terus menyanyi selagi diperlukan peminat seni tanah air," katanya.
Pada masa sama, kata Ella, dia bersyukur kerana undangan persembahan tidak pernah putus diterimanya sampai sekarang.
"Mungkin tidak banyak publisiti mengenai saya dipaparkan di akhbar mahupun majalah sejak kebelakangan ini.
Hakikatnya, saya sibuk menjayakan persembahan makan malam anjuran syarikat korporat mahupun persendirian.
"Pada masa sama, saya banyak terbabit dengan persembahan untuk acara sukan seperti perlawanan hoki peringkat Asia, baru-baru ini. Saya memang minat acara sukan dan tidak ingin melepaskan peluang terbabit dalam acara sedemikian. Sebagimana yang kita tahu, persembahan untuk majlis korporat selalunya tidak ada publisiti daripada media," katanya.
Bagaimanapun, kata Ella, dia menyepi seketika kerana ingin memberi laluan kepada bakat baru yang muncul daripada program realiti TV seperti Akademi Fantasia (AF) dan band indie yang tidak kurang hebatnya.
"Saya melihat kemunculan ramai bakat baru yang juga pelapis dalam bidang seni dari sudut positif. Bagi saya, kehadiran mereka dengan aliran muzik baru turut mewarnai persada seni tanah air," katanya.
Selepas sekian lama menyepi tanpa album baru, Ella kembali dengan bingkisan album kompilasi sekali gus menyemarakkan kembali persada seni tanah air.
Menurut Ella, sekalipun sekadar album kompilasi, ia cukup bermakna buatnya sekali gus mengubat kerinduan peminat setianya dari dulu sampai sekarang.
"Album kompilasi ini menggabungkan rangkaian lagu terbaik saya bersama Warner Music dan EMI Records sekali gus.
The Greatest Hits itu menceritakan perjalanan kisah cinta saya di persada muzik serantau.
"Ia menampilkan 32 lagu yang saya pilih sendiri, Lebih bermakna, saya juga tampilkan tiga lagu baru berjudul Puisi Hamba, Jiwa Setia dan Mencari yang dihasilkan penerbit album pilihan saya, Amir.
"Lagu lain yang terkandung dalam album ini ialah Layar Impian, Rama rama, Permata biru, Sembilu, Gemilang, Pengemis cinta, Kesal, Sepi sekuntum mawar merah, Dua Insan Bercinta, Demi, Tiada tangis lagi, P.P.P, Pergilah Sayang dan Mendung Tak Bererti hujan.
"Selain itu, Cinta Selembut sutera, Standing In The Eyes Of The World, Kembara Kita, Pedih, Kasih, Rindu, Terminal Cinta, Cerah Kembali, Jalan Ke Sisimu, Percintaan Itu, Menanti, Esok Lusa Selamanya, Dunia Batinku, Cinta Pertama dan Baldu Biru. Album terbitan Warner Muzik Malaysia ini menjengah pasaran pada 14 Mei lalu," katanya.
Mengimbas latarnya, Ella memulakan kerjaya nyanyiannya selepas menamatkan alam persekolahan dengan menyertai kumpulan The Boys dan merakamkan suara buat kali pertama pada 1986 ketika zaman kegemilangan muzik rock di Malaysia.
Selepas menghasilkan dua album bersama The Boys, Ella mengambil langkah berani untuk muncul sebagai penyanyi solo pada 1989 selepas menyertai keluarga WEA (kini Warner Music).
Dia tampil dengan album hit pertama, Pengemis Cinta bawah terbitan Ramli Sarip yang menampilkan lagu hit seperti Pengemis Cinta dan Permata Biru.
Selepas menghasilkan dua lagi album hit, Puteri Kota dan Identiti, Ella melangkah setapak lagi dalam kerjaya nyanyiannya apabila menyertai EMI Records dengan tawaran kontrak paling lumayan buat artis Malaysia pada masa itu.
Album 30110 yang dilancarkan pada 1992 berjaya memecah rekod jualan album di Malaysia sekali gus mengukuhkan nama Ella sebagai satu-satunya ratu rock di Malaysia. Kejayaan ini diikuti dengan Ella USA (yang dirakamkan di Amerika Syarikat dan Jepun) pada 1994.
Bersama EMI, Ella menghasilkan lima lagi album penuh (yang terakhir ialah Rama-rama), sebuah EP dan beberapa album kompilasi. Sepanjang kariernya, Ella pernah bergandingan bersama beberapa nama besar seperti Ramli Sarip, Deddy Dores, Awie, Tam Spider, Slash dan ramai lagi.
Antara album solo yang dihasilkan Ella sebelum ini ialah Pengemis Cinta (1989), Puteri Kota (1990), Identiti (1990), 30110 (1992), Dua Insan Bercinta (EP) (1993), Ella USA (1994), Demi (1997), El (1999) , Ilham Bicara (2001), Simboisis (2003) dan Rama-rama (2006).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: