Sunday, June 7, 2009

"Susah nak senangkan hati orang"


Erra bersama puteri tersayang Engku Aleesya Engku Emran.


Macam mana Erra sekarang? Masih bercuti lagi?

Sekarang tengah cuti. Tapi dalam minggu depan Erra akan mula kerja. Ada penggambaran dua program untuk Astro termasuklah satu program raya.

Macam mana bila dah anak anak? Meragam tak Aleesya?

Mula-mula tu susah juga sebab tak pernah ada anak. Tengah malam dia buat hal. Pernah sampai lima jam tak tidur. Kita pun bagi susu, dia tak nak. Salin lampin, dia meragam lagi. Rupanya kembung perut. Lepas bubuh minyak barulah dia okey. Sebulan juga la dia buat perangai macam tu tapi sekarang dah tak ada masalah lagi.

Bila dah sibuk nanti siapa nak jaga Aleesya?

Mak Erra dan mak mertua ada. Mungkin Erra akan hantar Aleesya di rumah dia orang. Dia orang kalau boleh setiap hari nak tengok cucu dia orang. Tak ada masalah la bab-bab tu.

Macam mana Erra boleh nak terima tawaran Astro untuk terlibat dalam program Gugu Gaga Erra tu?

Macam ni! Masa Erra mengandung lagi pihak Astro dah jumpa untuk bincang nak buat program tu tapi Erra tak bagi tahu Emran pun. Erra tak rasa penting pun. Tapi satu hari tu pihak Astro tanya benda yang sama lagi. Erra kata apa-apa keputusan kena tanya Emran. Bila tanya Emran tak sangka dia kata okey. Sebab tu terjadinya program ni.

Bukankah Emran seorang yang pemalu?

Memang dia pemalu tapi dalam program ni bukannya kami berlakon. Krew yang datang dia ambil la aktiviti kami menjaga anak-anak secara spontan. Tak ada dialog macam drama pun. Sebab itulah Emran sanggup terima tawaran untuk terlibat dalam program ni. Waktu mengandung dulu pun dia orang datang sehari saja buat penggambaran dan bila lepas pantang sambung balik shooting.

Dulu kata tak nak dedahkan anak. Kenapa sampai terima untuk ditonjolkan dalam program realiti?

Kalau tak tonjolkan anak, nanti orang kata Erra dan Emran ni kedekut anak pula. Bila kita tonjol, orang mengata lain pula. Kadang-kadang pening juga. Cuma macam ni! Erra dan Emran memang merancang nak bagi pendidikan tinggi kepada anak. Kalau boleh tak mahu dia terlibat dalam bidang seni. Bila dah besar dan ada pelajaran, itu hak dia untuk pilih bidang yang dia minat. Impian hati Erra biarlah dia membesar seperti orang biasa. Jangan kita yang paksa dia untuk jadi artis dari zaman kanak-kanak lagi. Itu yang Erra maksudkan tak nak dedahkan anak. Cuma dalam program realiti ni Erra sebagai ibu yang memberi pengetahuan kepada ibu-ibu lain untuk menjaga anak ataupun Erra sebagai ibu baru.

Maknanya dunia artis ni tak baik. Macam tu?

Dunia artis ni hanya glamor sahaja lebih. Kalau tak kuat semangat susah sebab kita akan berhadapan dengan cemuhan orang. Tak semua orang sayang artis. Mana orang yang benci tu dia orang akan benci artis.Itu yang Erra maksudkan.

Apabila Erra tak nak dedahkan anak, maknanya dalam majalah pun samalah? Yalah... kadang-kadang untuk isu-isu tertentu seperti hari ibu, mungkin Erra terpaksa penuhi juga permintaan itu.

Tengok keadaanlah. Untuk isu-isu tertentu mungkin tak ada masalah tapi Erra tak mahu ia dibuat secara berlebihan. Erra tak nak anak-anak Erra nanti membesar dalam keadaan tak normal. Erra tak mahu tumbesaran mereka terganggu dengan perkara-perkara macam tu. Erra nak mereka membesar macam anak-anak orang lain juga. Tapi dalam apa-apa hal Erra tak boleh buat keputusan sendirian. Erra kena buat keputusan dengan suami.

Bila timbul kisah Erra tak nak tonjol anak dan macam-macam hal lain yang dikaitkan, Erra tak rasa tertekan?

Nak ikutkan bukan mudah nak senangkan hati semua orang. Erra agak terkilan dengan tuduhan orang. Sebelum ni Erra minta tempoh lepas pantang baru nak tunjukkan Aleesya orang kata Erra nak sorok anak. Bila kita tonjolkan anak, orang kata kita ni sibuk nak popularkan anak pula. Fikir la sikit kalau lepas 44 hari (lepas pantang), kesihatan Erra mungkin dah okey sikit. Dalam tempoh pantang memang kita tak sihat sepenuhnya. Akhir sekali Erra fikir biarlah apa orang nak kata asalkan Erra tak langgar undang-undang cukup la.

Masa dalam pantang ada tak Erra hadapi tekanan gara-gara kontroversi?

Dalam pantang Erra tak baca sangat cerita-cerita hiburan. Sebab tu Erra tak begitu terasa. Emran pun tak bagi tahu apa yang keluar dalam surat khabar sebab dia tak mahu fikiran Erra terganggu.

Bagaimana keluarga sebelah Emran menghadapi masalah ni?

Dia orang okey tapi kita kena jelaskan kepada mereka pekara yang sebenar. Apa yang kami harapkan mereka faham.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: