Sunday, June 7, 2009

Sinar bahagia Nana dan Brian


Nana dan Brian


Detik indah yang ditunggu-tunggu menjelma akhirnya apabila dua hati yang selama ini menyemai benih cinta disatukan menjadi suami isteri.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah penyampai radio Era, Nurul Hana Che Mahazan atau Nana, 26, tatkala dia sah menjadi isteri kepada Mohamaed Raqeem Brian, 34, Pengurus Saluran Hitz FM.

Majlis akad nikah mereka diadakan dalam suasana meriah di rumah pengantin perempuan di Muar, Johor, semalam. Yalah... tentulah pasangan Che Mahazan Che Aik dan Rosnah Harun gembira kerana anak perempuan tunggal mereka akhirnya bertemu juga jodohnya.

Dek kerana itulah majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan diadakan bak anak raja naik takhta. Selain dihiburkan dengan kugiran Polis Di Raja Malaysia, pengantin lelaki diarak dengan pasukan bermotosikal berkuasa tinggi diiringi kawalan pihak polis dari hotel ke rumah pengantin perempuan.

Malah pada malam tadi juga joget lambak iaitu acara wajib bagi orang Johor setiap kali meraikan majlis nikah turut diadakan. Pendek kata, majlis perkahwinan Nana dan Brian memberi makna tersendiri buat mereka.

Lebih bererti lagi mereka mengimpikan sebuah perkahwinan yang indah bahagia untuk selama-lamanya.

Hantaran perkahwinan sebanyak RM21,000 dan mas kahwin RM21.50 merupakan pengertian cukup mendalam kepada Nana dan Brian kerana angka 21 adalah simbol yang cukup keramat bagi mereka.

Secara kebetulan kereta Nana bernombor pendaftaran 21 dan begitu juga rumah Brian yang dalam proses untuk diduduki juga bernombor yang sama. Semuanya secara tidak sengaja.

Mengenakan pakaian dari Butik Cosry, Bangsar, tentunya kedua mempelai ini mahu seperti orang lain iaitu hidup bahagia dan ada anak cucu.

Pelamin dan baju berwarna putih gading sempena majlis perkahwinan mereka itu kata Nana adalah lambang kesucian cinta mereka yang disemai selama ini.

Tidak ramai yang tahu Nana dan Brian sebenarnya sudah lama kenal iaitu kira-kira lima tahun lalu. Bermula dua tahun lepas barulah mereka meluahkan perasaan untuk menjadi kekasih hati dan seterusnya mengikat cinta itu dengan sebuah ikatan perkahwinan.

"Saya amat gembira kerana hasrat untuk berumah tangga tercapai," kata Nana.

Memilih 6 Jun sebagai tarikh nikah, majlis pertunangan turut diadakan serentak. Pihak lelaki membawa tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pengantin perempuan.

Hantaran daripada pihak perempuan berupa gitar bersama gajetnya, cermin mata, minyak wangi, kasut, cincin, al-Quran, buah-buahan dan sirih junjung. Pihak lelaki pula membawa cermin mata, kasut, minyak wangi, jam, cincin, sirih junjung dan wang hantaran.

Hati Brian rasa kosong

Itulah dinamakan petunjuk Allah. Tak siapa yang tahu. Nana boleh dikatakan seorang yang beruntung kerana lelaki yang dicintainya itu sememangnya telah lama berazam untuk memeluk Islam.

Akui Brian, sejak berusia 26 tahun lagi hatinya sudah tertarik kepada Islam tetapi belum mendapat hidayah sepenuhnya. Malah dia juga pernah menyuarakan hasrat itu kepada si ibu dan tidak dihalang oleh orang tuanya itu.

Kata Brian, ibunya seorang Cina yang bertukar agama selepas berkahwin dengan bapanya yang berdarah India. Ibu dan bapanya memilih agama Kristian.

Disebabkan perkara itu, ibunya lebih berfikiran terbuka soal agama anak-anak.

Ujar Brian, akhirnya pada Januari lalu hatinya terus terbuka untuk memilih Islam apatah lagi dia mendampingi seorang gadis Melayu bernama Nana. Atas dorongan tersebut maka niatnya itu diteruskan dan akhirnya Allah membuka jalan untuk Brian menjadi seorang Islam.

Dibesarkan dengan persekitaran orang Melayu, perkara itu juga merupakan antara faktor dia memilih keputusan menukar agama. Bukan kerana Nana semata-mata.

Pengalaman menjadi seorang Islam ada banyak bezanya.

Ujar lelaki ini, dalam tempoh tiga hari bertukar agama kepada Islam, hatinya benar-benar terasa kosong. Jiwanya sunyi sepi ibarat dikurung di dalam sebuah gua batu yang tidak kedengaran apa-apa suara.

Bagaimanapun selepas menghadiri kursus kahwin serta mengikuti kelas fardu ain anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) barulah Brian merasakan hatinya terisi.

Itulah dinamakan nur atau cahaya yang datang bagi menerangi hati seseorang itu. Syukurlah walaupun tidak seperti orang lain, dia akan berusaha untuk menjadi seorang Islam dan suami yang bertanggungjawab.

Apa yang diharapkan Brian, Nana juga akan membimbing untuk membawanya menjadi manusia yang benar-benar beriman.

"Sekarang ini saya dapat merasakan sesuatu yang lain dalam hati. Saya bertambah seronok dan merasai ketenangan itu. Ada banyak beza," katanya.

Walaupun begitu sebelum ini Brian pernah cuba untuk berpuasa dan ia tidak mendatangkan masalah baginya. Tentu sekali Brian mengharapkan selepas ini dia dapat mempraktikkan sebulan penuh menahan lapar dan dahaga selepas menjadi Muslim sejati.

Kenapa boleh bersatu?

Umum sudah mengetahui cinta merpati dua sejoli ini tetapi hanya baru-baru ini sahaja Nana dan Brian menegaskan berita sebenar mengenai gosip mereka itu.

Ujar Nana bukan berniat menyembunyikan perkara sebenar tetapi banyak perkara yang perlu dipatuhi selama ini. Bukannya apa, Brian pernah menjadi boss Nana ketika mereka sama-sama di radio era dulu.

Bimbang dianggap ada unsur-unsur pilih kasih ketika bertugas, maka mereka tidak boleh terlalu menceritakan hubungan masing-masing.

Tetapi hari ini tidak lagi apabila Brian sudah ditukarkan di bahagian lain iaitu Hitz FM sementara Nana kekal sebagai penyampai radio Era.

Antara faktor yang membolehkan hati mereka disatukan, disebabkan Nana telah bertemu dengan seorang lelaki yang benar-benar memahami hatinya.

Akui Nana, Brian seorang yang pentingkan keluarga dan seorang yang mengambil berat. pemurah serta seorang yang kelakar.

Ciri-ciri itu memang diimpikan Nana sejak sekian lama dan syukurlah lelaki yang dikenalinya itu mempunyai unsur-unsur tersebut.

Dan bagi Brian pula Nana seorang yang memahami, penyayang dan berperangai "gila-gila". Mungkin atas dasar itu hubungan mereka boleh kekal sehinggalah ia berakhir di jenjang pelamin.

Nana sedikit terkilan

Panas dan kontroversi majlis pernikahan Nana dek kerana ada desas-desus mengatakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim pertama (AF1) ini tidak gemar kehadiran media untuk memberikan publisiti pernikahannya.

Mengakui hatinya tercalar malah hati keluarganya juga terguris dengan dakwaan sedemikian. Nana menganggap ia satu tuduhan yang tidak benar sama sekali kerana keluarganya mengalu-alukan semua tetamu untuk meraikan hari bahagianya itu.

Dan yang lebih penting bapanya, seorang pegawai polis yang berpangkat Deputi Supritendan sudah bersiap sedia untuk meraikan tetamu selain memastikan kelancaran majlis berkenaan.

"Ayah Nana sedih bila timbul isu berkenaan. Nana pun rasa macam tu. Ini (kahwin) majlis yang baik. Tidak ada sebab nak sorok-sorok.

"Malah ayah Nana pun bagi pandangan nak buat khemah khas untuk tetamu-tetamu tak kiralah artis ataupun kawan wartawan," katanya.

Walaupun berita tidak sedap didengar itu sudah berlalu tetapi Nana anggap ia bukan masalah utama. Asalkan majlis pernikahan Nana berjalan lancar dan tetamu juga gembira cukuplah.

Memilih untuk berbulan madu di sebuah pulau, Nana dan Brian tidak menetapkan tempoh untuk mereka menimang cahaya mata.

Bagi mereka jika rezeki itu sudah ditentukan, mereka akan menerimanya dengan hati terbuka.

Selepas sehari usia pernikahan Nana dan Brian, tiada apa yang diharapkan oleh kedua-dua mempelai ini sebaliknya mahu semua peminat dapat mendoakan kebahagiaan mereka sehingga ke akhir hayat. Itulah impian mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: