Sunday, June 7, 2009

Imej dan gosip artis


SITI Nurhaliza merupakan antara artis yang amat menjaga nama dan imejnya.


MUNGKIN seminggu dua ini, kisah cerai dan hubungan Akhil Hayy bersama isteri, Maizawati Zainal dan penyanyi Waheeda menjadi bualan.

Pada 2 Jun lalu, mahkamah Rendah Syariah di Ipoh, Perak menetapkan 15 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes perceraian mereka.

Wanda bukan mahu mengulas mengenai kes cerai itu kerana ia sudahpun menjadi kes mahkamah. Juga tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak.

Sebab sebagai orang luar, siapalah kita untuk menilai kehidupan yang mereka lalui. Kita tidak tahu siapa benar, siapa salah.

Cuma yang Wanda kurang senang adalah mengenai imej yang mereka bawa ketika dan kisah-kisah rumah tangga dan gosip cinta.

Melihatkan imej mereka, mungkin ada kalangan kita yang terasa diri kerdil. Imej kita mungkin tidak seindah dan sesuci imej yang mereka berdua pamerkan.

Mereka penuh dengan imej muslim sejati. Malah ada yang memberikan gelaran. Gelaran untuk mereka yang bijak pandai dalam agama.

Ya, Wanda faham, mereka juga manusia biasa yang membuat salah dan kesilapan. Tapi rasanya adalah lebih molek sekiranya imej selari dengan perlakuan mereka.

Seharusnya perkara pertama yang tidak sepatutnya berlaku bagi mereka yang berimej molek itu adalah gosip-gosip liar yang akhirnya boleh mengundang bencana.

Tapi itulah harga apabila kita bergelar artis. Yang dikenali dan diminati. Setiap yang dilakukan menjadi intaian semua.

Jangan salahkan media semata-mata jika banyak gosip kurang enak yang dilaporkan kerana banyak 'mata-mata' di luar sana.

'Mata-mata' ini adalah kalangan peminat dunia hiburan yang memerhati setiap gerak dan geri sikap serta sifat artis pujaan masing-masing.

Kalau baik yang dilakukan maka baiklah komen-komen yang diterima.

Tetapi kalau sudah perkara kurang elok yang diperlihatkan maka terpaksalah menerima dengan hati terbuka komen-komen kurang enak mengenainya.

Perlu diingat, artis bukan orang biasa biarpun mereka sering mengungkapkan 'kami juga insan biasa'. Mereka berada dalam kelasnya tersendiri.

Kerana itu artis menjadi perhatian. Setiap perbuatan diperhatikan. Bukan sahaja media tetapi orang sekeliling.

Daripada sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besarnya. Daripada perbuatan hinggalah bual bicara. Maka dengan itu, para artis popular dan merasakan dirinya popular, bawalah diri dengan cara paling terhormat agar diri kita dihormati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: