issededacem |
|
Ini bermakna sudah 17 tahun dia pergi dan kita yang masih hidup terus melihatnya sebagai seniman berjiwa besar.
Kehebatannya sebagai seorang penghibur yang tidak pernah ketandusan idea kreatif untuk mencantikkan lagi persembahannya menjadikannya anak seni satu dalam sejuta.
Begitu juga dengan lagu-lagu nyanyiannya yang terus menjadi siulan dan diminati sehingga kini.
Bukan itu sahaja, Sudirman juga akan terus diingati sebagai seorang anak seni yang begitu memahami jiwa masyarakat.
Kerana itu juga, lahirlah lagu-lagu yang menceritakan permasalahan yang berlaku di dalam kehidupan seharian kita.
Menyingkap sejarah, Sudirman mula meniti populariti dan menjadi sebutan tatkala namanya dijulang sebagai juara Bintang RTM 1976 dan seterusnya menjadi artis rakaman EMI.
Bersama syarikat rakaman terunggul itu, anak kelahiran Temerloh, Pahang itu menghasilkan 20 buah album termasuk dua buah album Inggeris.
Lagu-lagu dendangan Sudirman meliputi skop muzik yang cukup luas baik dari genre pop, pop rock, Melayu Deli mahupun tradisional.
Malah, Sudirman juga berjaya membawa nama Malaysia di mata dunia apabila dia dinobatkan sebagai Penghibur Nombor Satu Asia di pentas penuh prestij, Royal Albert Hall, London pada tahun 1989.
Bukan setakat memegang portfolio sebagai seorang penghibur, beliau juga dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya meskipun mempunyai latar pendidikan dalam bidang undang-undang.
Semua itu hanya tinggal kenangan. Sebagai peminat yang terus mengagumi bakat serta iltizam dan semangatnya, sudah pasti kita mahu melihat nama Sudirman di angkat ke peringkat yang lebih tinggi.
Saban tahun, pasti akan ada pihak yang tidak pernah lelah untuk menghasilkan program sebagai tribute bagi mengenang pembabitan Sudirman di pentas seni.
Sebagai contoh, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza pernah membuat persembahan mengenang Sudirman pada tahun 2002 menerusi Konsert Siti Nurhaliza Untukmu Sudir.
Malah, RTM sendiri pernah menghimpunkan nama-nama popular tanah air dan disatukan dalam sebuah persembahan istimewa sekitar dua tahun lalu.
Justeru, dalam usaha untuk terus mengangkat karya dan bakat besar Sudirman agar terus dikenang dan tidak dilupakan, Bintang Emas Pictures Sdn. Bhd. (BEPSB) mengambil inisiatif menganjurkan sebuah persembahan yang cukup berbeza daripada lazimnya.
Mengangkat 'cerita dalam lagu' itu, konsert yang diberi judul Konsert Untuk Mu Sudirman bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula 4 Jun ini. Persembahan eksklusif itu akan mengimbau nostalgia yang bukan sedikit terhadap Sudirman.
Ini jelaskan sendiri oleh penerbit eksekutif dan pengarah konsert berkenaan, Siti Khadijah Ibrahim atau Eja yang memberitahu, projek berkenaan cukup istimewa serta menjadi impiannya.
Akan menampilkan lapan set yang melatari setiap jalan cerita serta lagu yang ditampilkan, Eja memberi jaminan persembahan itu kelak mampu melahirkan rasa puas kepada peminat Sudirman khususnya.
"Projek ini mula diusulkan sejak setahun yang lalu dan pihak IB hanya memberi lampu hijau dan tarikh pada bulan Disember lalu untuk menganjurkan konsert ini pada bulan ini.
"Disebabkan itu juga, konsert ini tidak dapat diadakan pada bulan Februari sebagai mengenang tarikh ulang tahun pemergian beliau. Tetapi pada saya, untuk mengingati Sudirman, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
"Apa yang penting adalah untuk terus menghidupkan karya dan lagunya kerana Sudirman merupakan legenda yang akan terus diingati sampai bila-bila," katanya kepada Hits.
Antara artis yang terlibat dalam persembahan selama tiga malam berturut-turut itu ialah juara Akademi Fantasia (AF) musim kelima, Mila selain daripada Iqwal, Kazaruddin Saisi dan Adibah Noor.
Selain itu, bekas bintang AF musim keempat, Haziq juga akan mengalunkan vokalnya menerusi lagu-lagu Melayu Deli dan tradisional selain daripada Andy Flop Poppy, Atilia, Rahim Maarof serta MK dan Kelvin Lau.
Pada perbualan itu, Eja turut ditanya mengenai kriteria pemilihan artis-artis untuk persembahan tersebut.
Sebagai orang lama dalam industri hiburan, Eja sudah menjangkakan perkara itu akan dibangkitkan.
Bagaimanapun, beliau yang pernah menjadi 'orang kuat' di sebalik agenda pemasaran dan publisiti bagi projek Puteri Gunung Ledang the Musical dan P. Ramlee the Musical itu optimis kerana apa yang penting adalah bakat artis-artis ini yang mempunyai keistimewaan serta mampu menarik kelompok peminat mereka.
Apatah lagi konsert ini juga memberi satu kelainan dari segi muziknya apabila hanya menampilkan 11 orang pemuzik profesional di bawah pimpinan Zee Wan.
Jelas Eja lagi, beliau sengaja tidak mahu memilih muzik orkestra kerana mahu mereka yang hadir mampu menangkap lagu yang didendangkan serta menyanyi bersama mengikut alunan lagu.
"Saya juga mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang kerana sudi membeli tiket secara pukal serta Muzium Tokoh Negeri Pahang yang membenarkan kami meminjam beberapa memorabilia milik Sudirman untuk kami jadikan sebagai bahan pameran," jelasnya yang menanti penuh debar akan sambutan peminat terhadap konsert itu.
Untuk melengkapkan lagi perjalanan Konsert Untuk Mu Sudirman itu, pelakon berbakat besar, Que Haidar telah dipilih sebagai pencerita.
Dengan berbekalkan wajah mirip Sudirman, sememangnya anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu layak melibatkan diri dalam persembahan seumpama ini.
"Sewaktu mereka mengumumkan tentang persembahan ini, hati saya bertanya juga mengapa saya tidak terpilih sama.
"Bukan mahu meletakkan diri saya seperti Sudirman hanya kerana wajah saya dikatakan seiras dengan legenda itu tetapi ia lebih kepada aspirasi dan semangat Sudirman itu.
"Sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik dan akan melakukannya dengan cara saya sendiri," katanya yang baru sahaja pulang dari Langkawi untuk penggambaran filem Legenda Budak Setan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: