|
|
SEDIKIT waktu dahulu mereka pernah mewarnai persada seni dengan lagu-lagu nyanyian mereka. Kehadiran mereka pada zaman kegemilangan lagu-lagu irama rap ternyata memberi impak yang bukan kecil kepada dunia seni tempatan.
Bukan sekadar lagu malah, gerak gaya serta cara pemakaian mereka ketika itu menjadi ikutan dan kegilaan ramai remaja yang sealiran dengan usia mereka ketika itu.
Nama-nama seperti 4U2C, Nico, Shades, Freshie, Res2, Feminin, Elite, X-pose, M'Steen dan sebagainya.
Kini, sudah lebih sedekat mereka meninggalkan era kegemilangan itu. Namun, ada di antara mereka yang masih lagi meneruskan kerjaya nyanyian namun, biarpun kebanyakannya sudah mula melangkah ke cabang seni yang lain.
Baru-baru ini mereka dipertemukan sekali lagi. Berlangsung di Modestos, Cap Square, Kuala Lumpur, perjumpaan yang diusahakan oleh Watie Res2 dan Along Feminin itu ternyata tidak sia-sia.
Pada masa yang dijanjikan, satu demi wajah yang dahulunya cukup dikenali melangkah masuk ke ruang legar yang di sediakan.
Mengisi acara pada malam tersebut, pelbagai aktiviti termasuk permainan, nyanyian dan tarian dipersembahkan. Menariknya, kesemua mereka yang hadir memberi kerjasama sebaik mungkin untuk sama-sama beraksi memeriahkan majlis tersebut.
Bertahun-tahun membuat perancangan akhirnya usaha murni Watie Res2 menjejaki rakan-rakan seperjuangan yang sealiran dengan muzik yang diperjuangkannya berjaya apabila melayari laman web kenalan, Facebook.
Ketika ditemui, Watie memberitahu, dia berkongsi dengan Along Feminin untuk menjayakan majlis tersebut.
"Pada mulanya, lebih 50 orang yang berjanji untuk datang. Bagaimanapun, ada yang membatalkan kehadiran mereka di saat-saat akhir dan ada juga yang tidak dapat hadir kerana kerja serta berada di luar daerah.
"Bagaimanapun, Watie bersyukur sangat daripada 50 orang yang berjanji untuk hadir, 30 daripadanya dapat bersama-sama pada hari ini.
"Watie memang nak jumpa mereka, sebab ada di antara mereka sudah lebih 15 tahun Watie tak jumpa. Tak sangka apabila melayari Facebook, kawan-kawan Watie memberi maklum balas yang baik untuk berjumpa," katanya yang merancang mengadakan majlis perjumpaan mereka pada setiap tahun.
Antara mereka yang hadir ialah anggota kumpulan Baby Erin (Res2), Ina, Melor, Ejie dan Shima (Freshie), Amy, Nico dan Dino (Xpose), Din, Yanz dan Adiex (4U2C), Watie Elite serta Nazri Shades.
Turut hadir ialah Nita Malaysian Idol.
Rancang album reunion
Sepi daripada kerjaya nyanyian bukan bererti dia mengundurkan diri. Sebaliknya, dia kini lebih menumpukan urusan perniagaannya sebagai jurusolek di butik solekan miliknya, The Glow Beauty Parlor.
Bagaimanapun, dalam sibuk menguruskan hal perniagaan, anak didik jurusolek terkenal, Nurul Syukor itu membuat perancangan untuk menghasilkan album yang menggabungkan kumpulan-kumpulan rap 90-an.
"Watie memang sudah rancang lama mengenai projek album ini cuma belum berkesempatan berjumpa dengan rakan-rakan yang lain. Bagaimanapun, ahli-ahli kumpulan Res2 sudah Watie maklumkan dan mereka memberi maklum balas yang baik.
"Daripada lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut ialah lagu-lagu hits pelbagai kumpulan rap tahun 90-an dan mungkin akan ada beberapa lagu baru daripada kami semua, bagaimanapun ia bergantung juga pada bajet.
"Insya-Allah kalau tiada masalah mungkin Watie akan mulakan projek tersebut pada tahun hadapan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: