|
|
KUALA TERENGGANU - Pagi ini sepatutnya kira-kira 1,000 atlet dan pegawai sukan dijadualkan menyertai Kejohanan Sukan Staf Institusi Pengajian Awam Malaysia kali ke-34 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini.
Bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana 24 jam sebelum menyertai acara masing-masing pada kejohanan itu, bumbung stadium tempat mereka bakal beraksi 'menyembah bumi' semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu telah menyebabkan 60 peratus daripada bumbung stadium yang dibina kontraktor dari Korea Selatan itu ranap sama sekali selepas struktur besinya dipercayai patah.
Insiden yang pertama kali berlaku di Malaysia itu sebenarnya meninggalkan banyak persoalan dan memalukan industri pembinaan di negara ini.
Selain ranap pada usianya baru setahun, kualiti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang dibina dengan kos kira-kira RM300 juta itu boleh dipersoalkan kerana bumbungnya ranap sama sekali.
Dalam kejadian itu, bahagian timur stadium itu terjejas apabila kesemua struktur bumbung berbentuk bulan sabit roboh sepenuhnya.
Kawasan yang terlibat itu menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 yang turut mengandungi tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.
Beberapa saksi memberitahu Kosmo!, bumbung stadium sepanjang 400 meter itu roboh dalam masa 10 saat sahaja menyebabkan gegaran kuat di sekitar stadium.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: