Sunday, June 7, 2009

Tanam pokok ganja di rumah

Zahid nekad menjual gelang emas ibunya selain motosikal RXZ pada harga RM300 gara-gara ketagihan dadah.


ZAHID dapat menanam pokok ganja di rumah kerana pemantauan kampungnya sering terlepas pihak berkuasa.


KEBURUKAN yang terjadi akibat penyalahgunaan dadah sering kali mendahului rasa kesal. Namun, apabila yang menagih bahan terlarang itu cuba untuk kembali ke pangkuan jalan, ada sahaja godaan yang menggagalkan tujuan tersebut.

Mungkin itu yang sentiasa bermain dalam fikiran Zahid (bukan nama sebenar). Walaupun kini dia sudah lebih kurang dua tahun mencurah khidmat sebagai pegawai pelatih di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur, dia tidak boleh melupakan jalan yang pernah dia lalui dahulu.

Kepada Jurnal, Zahid mengakui bahawa dirinya pernah menjalani fasa gelap sebagai seorang penagih dan pengedar dadah.

"Selalunya penagih yang telah pulih pasti akan mengimbas kembali kesilapan lalu. Rasa sesal itu bagai tidak berpenghujung, lebih-lebih lagi kalau masalah ketagihan itu membuatkan dirinya terlibat dengan perlakuan jenayah," kata lelaki berusia 34 tahun ini.

Mengimbas kisah silamnya, bapa kepada tiga orang anak ini mengakui bahawa tiada sesiapa yang mempengaruhinya untuk mencuba najis tersebut. Ia bermula ketika dia masih bersekolah peringkat menengah.

"Ia mungkin disebabkan persekitaran hidup saya. Bayangkan, adik kandung dan bapa saudara saya sendiri menghisap dadah," ujarnya yang membesar di sebuah kampung terpencil di Ipoh, Perak.

Maka, perlahan-lahan dan dengan kemahuannya sendiri, bahan pertama yang menjadi eksperimennya ialah ganja. Apatah lagi percubaan itu didorong oleh faktor bekalan yang begitu mudah didapatkan di kampungnya.




Dalam fikirannya ketika itu, ganja tidak akan menyebabkannya mengalami kesan ketagihan yang melampau.

"Saya menghisap ganja supaya tidak mengantuk semasa mengulang kaji pelajaran. Saya tertipu dengan kesannya yang dikatakan boleh membuatkan saya lebih berimaginasi dan kreatif," ujarnya yang nyata telah tersilap.

Zahid semakin khayal dengan bahan itu hinggakan sewaktu ketagihannya memuncak, sampai 10 kali sehari dia mencari peluang untuk melepaskan giannya itu.

"Lagi satu, orang yang melayan ganja ini seperti sudah hilang rasa malu. Mereka jadi berani mendekati perempuan yang disukainya untuk 'mengurat'," dedahnya yang tidak memikirkan langsung waktu itu untuk menghentikan tabiat tersebut.

Pokok ganja dalam bilik

Sedikit demi sedikit, wang di dalam saku semakin banyak yang habis ke jalan itu. Bagi mengurangkan kos dan supaya dia sentiasa mendapat bekalan, Zahid terikut-ikut dengan muslihat rakan-rakan penagihnya yang menanam pokok ganja di rumah sendiri.

"Ada yang menanamnya di celah-celah pokok lain di halaman rumah bagi mengaburi pandangan. Ada juga yang menanamnya di dalam pasu dan diletakkan dalam bilik tidur," ujar Zahid yang 'tertarik' dengan idea tersebut.

Tambahnya, tidak menjadi masalah untuk menanam pokok itu di rumah memandangkan kawasan kampungnya jarang menjadi perhatian pihak berkuasa yang membuat rondaan. Nah, apa lagi, jalan bagaikan terbuka luas untuk dia dan rakan-rakan yang lain melakukan perkara itu. Pokok ganja pun 'subur' di bilik tidur Zahid.

"Saya tidak lagi perlu membeli daripada orang lain kerana bekalan sentiasa ada," katanya yang hanyut dalam keseronokan yang memakan diri itu.

Beralih kepada heroin

Walaupun Zahid berjaya mendapat tempat di sebuah institusi kemahiran di negeri yang sama, 'keakraban' bersama ganja itu berterusan.

"Saya menjadi pengedar pula bagi pelajar di situ. Saya tidak perlu meminjam untuk membayar yuran pengajian, cukup dengan jual ganja. Malah dalam sehari hasil jualan boleh mencecah ratusan malah ribuan ringgit," ujarnya yang meluaskan jaringan pembeli umpama seorang peniaga besar.

"Hinggalah pada satu masa, bekalan ganja saya di rumah dan stok di sekitar Perak kehabisan. Pada masa yang sama, permintaan pelanggan beralih pula kepada heroin," jelasnya yang tidak melepaskan peluang mencuba 'perisa' dadah baru itu.

"Kesan ketagihannya lebih ketara. Saya tak dapat nak kawal keinginan itu dan setiap kali menghisapnya, penangan heroin membuatkan badan menjadi lemah.

"Selepas tamat pengajian, saya bekerja sebagai pegawai di sebuah badan kerajaan. Namun selepas lebih kurang enam bulan, masalah ketagihan saya menjejaskan disiplin tugas. Majikan juga mengetahui masalah ketagihan saya lalu saya dibuang kerja," ujar Zahid sambil menggelengkan kepala.

Tegar dengan keadaannya, Zahid menjadi pengedar heroin pula. Pendapatan lumayan mengujakannya, hingga adakalanya mencecah RM1,000 sehari.

"Tapi hasil duit itu tiada gunanya. Ia dibelanjakan untuk membeli stok dan menghisapnya lagi. Pendek kata, keuntungan 'pusing semula' ke arah itu," kata Zahid.

Mencari jalan pulang

Dia mengakui: "Hidup saya semakin sukar apabila menjadi buruan pihak polis. Segala urusan perniagaan (mengedar dadah) perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Ada satu ketika Zahid yang terdesak mahukan wang untuk membeli stok heroin sanggup menjual tong gas di rumah keluarganya termasuk gelang emas milik ibu dan kakaknya.

Lebih daripada itu, Zahid juga semakin ligat menjual bahagian motosikal curi selain meragut beg tangan wanita.

"Malah, motosikal RXZ kepunyaan saya pun rela dijual pada harga serendah RM300... dadah punya pasal," katanya yang akhirnya akur dengan hukum kehidupan apabila ditangkap pihak polis.

Oleh kerana dia tidak menyimpan atau memiliki dadah semasa ditangkap, hukuman yang dijatuhkan ke atasnya adalah menjalani sesi pemulihan di pusat serenti.

Tetapi sebaik sahaja dibebaskan Zahid masih terpengaruh dengan godaan ketagihannya dan kembali dengan tabiat itu.

"Keluarga memujuk saya untuk mengikuti rawatan di Rumah Pengasih dan saya pasrah menuruti kerana mahu berubah," katanya.

Rumah itu, menurut Zahid, suasananya berbeza dan dia bersyukur kerana diberi bimbingan untuk pulih. Lebih membanggakan, dia dipercayai untuk diserap menjadi pegawai.

"Di pusat pemulihan, hidup kita sangat terkawal tetapi apabila berada di dunia luar, pelbagai dugaan dihadapi sehingga sesiapa yang tersilap langkah boleh terjebak semula," ujar Zahid penuh makna.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: