Friday, June 19, 2009

Maya masih laris


DI sebalik wajah ceria Maya Karin, terselit juga rasa bimbang mengenangkan kerap berlaku kes perceraian di kalangan masyarakat kita kini. Institusi perkahwinan buat generasi baru bagi Maya seolah-olah eksperimen, namun sebagai insan, dia percaya tiada siapa yang boleh menghalang takdir.

"Soal perceraian yang banyak berlaku termasuk membabitkan artis, ia realiti kehidupan. Namun sukar untuk saya menidakkan di sebaliknya, saya juga bimbang dengan situasi ini," katanya.

Namun Maya kecewa persepsi segelintir pihak menyatakan mereka yang bercerai kerana tiada jodoh.

"Saya tidak ambil mudah dalam aspek ini. Malah, saya berusaha untuk mengekalkan keharmonian dalam hidup berumah tangga yang baru saya alami ini. Saya bersyukur kerana suami seorang yang memahami dan tidak menyekat saya teruskan karier seni," katanya.

Andaian artis wanita yang berkahwin akan tenggelam populariti dan kurang mendapat tawaran kerja disangkal pelakon jelita, Maya Karin Roelcke.

Katanya, sejak mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Ali Abdullah pada Ogos lalu, dia akui masih laris menerima tawaran berlakon.

Mengikut perancangan, dia sepatutnya terbabit dengan tiga filem baru pada tahun ini. Bagaimanapun, ia tertangguh kerana jadual penggambaran berubah. Namun, Maya tetap berpeluang muncul dengan filem baru, Pisau Cukur arahan Bernard Chauly yang masih menantikan tarikh tayangan pada tahun ini.

"Buat masa ini, saya masih terbabit dengan proses pembikinan album baru. Hampir 50 peratus sudah siap. Album ini memuatkan lapan lagu baru dan saya bekerjasama dengan komposer Audi Mok.

"Apa yang dapat saya katakan, album ketiga ini yang masih menampilkan genre pop, menjanjikan kelainan dan kesegaran pada peminat. Sebelum ini, saya banyak dengar muzik dari luar negara yang mungkin dianggap pelik dan orang lain tidak pernah dengar.

"Namun, apabila saya dengar melodi lagu seperti itu, saya tertarik untuk berikan sesuatu yang berbeza pada album saya kali ini. Menariknya, semua lagu yang dimuatkan dalam bahasa Melayu.



"Dalam proses menyiapkan album ini, saya tidak mahu bersikap terburu-buru. Walaupun sudah lima tahun tiada album selepas Bukan Qalamaya pada 2004, saya mahu pastikan album ini bermutu dan memberi kepuasan kepada saya serta peminat.



"Namun, saya tidak mahu fikir mengenai jangkaan sambutan mahupun jualan album ini. Saya tetap gembira untuk hasilkan album baru biarpun artis lain takut melakukan perkara yang sama.

"Menjadi harapan saya agar peminat turut mencuba mendengar muzik baru saya ini yang membawa identiti Malaysia," katanya.

Maya, 29, membina karier sebagai penyanyi menerusi album pertama, Erti Cinta pada 2001 bersama MIG Records Sdn Bhd yang dimiliki David Teo. Pada tahun yang sama, dia turut menunjukkan bakat berlakon menerusi filem Seri Dewi Malam dan No Problem.

Bagaimanapun, kemuncak karier lakonan dicapai menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam (2004). Menerusi filem itu, Maya berjaya meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 (2004) dan Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Sepanyol (2005).

Pernah menimba pengalaman sebagai pengacara program hiburan popular, Channel V selama empat tahun sejak 2004, Maya menyatakan sukar untuk memuaskan hati peminat dengan kemunculan album baru. Begitu juga dengan lakonan, dia hanya mengambil peluang berlakon atas kehendak sendiri.

"Ketika mula sertai bidang hiburan ini dulu, David pernah bertanya pada saya apa matlamat saya untuk menjadi artis hinggakan soalan dengan siapa saya akan berkahwin suatu hari nanti. Pada saya, ia bukan suatu yang mudah untuk berkata, artis yang sudah berkahwin tidak laku.

"Sebaliknya, menerusi pengalaman sendiri, saya masih lagi diterima berlakon dan meraih sambutan positif peminat ketika mengadakan persembahan. Antara tanggungjawab sebagai isteri, saya masih mampu memberi fokus pada perjalanan karier seni selepas berkahwin.

"Apa yang penting, saya mahu jual bakat saya dan bukannya saya hanya pandai bergaya depan kamera. Saya percaya jika artis itu mempunyai keikhlasan, peminat akan menerimanya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Maya dilantik sebagai duta produk minuman Nescafe. Kata Maya, pembabitannya menerusi model iklan sebenarnya turut membantu menaikkan karier seninya. Maya yang mempunyai impian untuk menubuhkan produksi sendiri, mahu perancangan karier seni dibuat dengan teratur.

"Pemilihan saya sebagai duta produk ini satu penghargaan buat saya. Biarpun perjalanan karier seni bergerak perlahan tetapi pencapaian diri berterusan.

"Saya percaya pada takdir Tuhan yang menentukan rezeki seseorang. Lalu, kita perlu tunggu masa yang sesuai untuk menggapai matlamat yang dirancang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: