Muatkan enam lagu dalam album sulung yang dipasarkan mulai bulan lalu
PERCAYA minat terhadap muzik rock akan kembali mekar di kalangan peminat tanah air, kumpulan Sakhti memberanikan diri menghasilkan album sulung memuatkan enam lagu berjudul Sakhti II.
Tahun lalu, kumpulan ini muncul dengan EP yang hanya memuatkan tiga lagu iaitu Lumrah, Hasrat dan Si Baju Hijau. Menyedari kebanyakan artis hari ini menghasilkan album mini, kumpulan berkenaan menambah tiga lagi lagu untuk muncul dengan album penuh, yang dipasarkan mulai Mei lalu. Tiga lagu baru terbabit ialah Kuda Kayu, Redha dan Khalifah Dunia.
Kata pemain gitarnya, Mohd Suffian Abu Bakar atau Pyan, album berkenaan hanya memuatkan enam lagu bukan kerana mereka tidak mampu untuk menghasilkan album dengan 10 lagu.
"Memandangkan trend album masa kini yang banyak memuatkan lima atau enam lagu saja, maka kami berasakan lebih baik album Sakhti II pun diterbitkan dengan enam lagu juga. Sedangkan, kami sebenarnya merakamkan kira-kira lapan lagu ketika proses rakaman dilakukan tahun lalu. Lagu selebihnya itu bolehlah kami muatkan dalam album berikutnya," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini.
Selain Pyan, kumpulan rock dari Nilai ini turut dianggotai Mohd Noraid Yusof (Ayied) yang bertindak sebagai penyanyi utama, Shahrizal Bahari (Shah / pemain dram) dan Khairul Adzli Sharin (Abang / gitar bes).
Ketika ini, kumpulan terbabit lebih dikenali di bahagian Utara tanah air apabila lagu mereka, Lumrah dan Hasrat memasuki carta lagu popular radio di Pulau Pinang.
"Kini, kami cuba mengetuk pula pintu hati peminat di seluruh negara pula dengan mengadakan promosi di radio. Banyak kuiz yang kami adakan dengan kerjasama radio seperti KL FM, Muzik FM, Asyik FM dan Selangor FM. Penganjuran kuiz bersama radio banyak membantu memperkenalkan kumpulan ini kepada peminat," kata Pyan yang menerbitkan album terbabit dengan kerjasama Burn Crossfire.
Mempertaruhkan konsep heavy metal, kumpulan berkenaan percaya, lagu rock dengan elemen 90-an yang mempunyai bunyi terkini mampu membuat peminat membuka mata pada kehadiran Sakhti.
"Apatah lagi ketika ini, kita dengar banyak kumpulan rock lama yang cuba bersatu semula demi memeriahkan industri muzik tanah air. Antara kumpulan berkenaan ialah Crossfire, Babylon dan sebagainya. Dengan kemunculan semula kumpulan ini, pasti muzik rock kembali menggegar," ujar Pyan.
Bertindak menjual dan mengedar sendiri album mereka pada lokasi pertunjukan pentas disertai, kumpulan itu mengeluarkan kira-kira 1,000 CD untuk cetakan pertama. Nada dering lagu kumpulan ini juga boleh dimuat turun di www.sakhti23.blogspot.com, laman web yang turut memuatkan berita terkini mengenai Sakhti.
"Syukurlah kerana sambutan terhadap album yang diterbitkan menggunakan hasil titik peluh sendiri agak menggalakkan. Begitu juga ramai peminat berkunjung ke laman web kami, yang tidak putus-putus memberikan galakan serta sokongan. Kami sendiri sering berinteraksi bersama penggiat muzik rock veteran, bagi mendapatkan petua memperbaiki lagi muzik dan meningkat karier kumpulan ini," katanya.
Mensasarkan kumpulan peminat yang berusia antara 20 hingga 40 tahun, Sakhti yang banyak dipengaruhi muzik rock Eropah berkeyakinan, dengan sedikit usaha serta promosi yang berterusan, lagu mereka yang boleh diibaratkan seperti campuran rock kapak dan rock leleh pasti akhirnya akan dapat diterima ramai.
"Selepas Lumrah dan Hasrat, kami kini berusaha untuk mengetengahkan lagu baru seperti Redha dan Kuda Kayu pula. Paling tidak, peminat boleh mendengar kedua-dua irama, perlahan dan rancak, daripada kumpulan ini," kata Pyan yang turut mengusahakan perniagaan studio latihan serta studio rakaman di Putra Indah, Bandar Baru Nilai.
Membuka studionya, Refresh Music Production, kepada sesiapa saja yang berminat, dia juga menyediakan sebuah bilik pameran yang menjual peralatan muzik moden dan tradisional.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: