Program realiti terbaru terbitan Astro bakal undang bualan peminat dunia hiburan
JIKA dilihat kepada barisan 25 peserta program realiti terbaru terbitan Astro, Anak Wayang, masing-masing umpama menunggu waktu untuk menikmati kehidupan sebagai seorang bintang.
Segak bergaya dengan tuksedo ketika diperkenalkan kepada wakil media, minggu lalu, 12 peserta lelaki yang terdiri daripada pelbagai latar profesion, semuda 21 tahun dilihat mampu menarik perhatian peminat dengan mudah. Dengan wajah tampan dan personaliti menarik, kemunculan mereka dalam rancangan realiti itu nanti pasti mengundang ‘riuh’ yang tidak sedikit di kalangan peminat.
Manakala 13 peserta wanita daripada pelbagai bangsa juga tampil hebat dengan gaun malam yang menyerlahkan lagi kejelitaan. Persis pelakon ternama, mereka tampak yakin ketika memperkenalkan diri di pentas utama.
Namun begitu, usah dipertikai kemampuan peserta daripada pelbagai daerah di Malaysia ini. Jika namanya calon terpilih, tentulah bakat yang dimiliki juga bukan kecil. Sengaja menguji kebolehan sebahagian daripada peserta ini, wakil media yang hadir meminta mereka melakonkan beberapa karakter secara spontan.
Jangan terkejut jika anda mendapati sebahagiannya mampu beraksi lebih baik daripada pelakon sedia ada, baik lelaki mahupun perempuan.
Kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, pasukan produksi rancangan berkenaan terpaksa melakukan proses pemilihan sangat teliti dengan mengambil kira semua aspek utama seperti bakat dan paras rupa bersesuaian, agar mereka tidak terlepas pandang calon yang yang benar-benar berkebolehan.
Kata-katanya itu dengan sendiri menidakkan andaian paras rupa diberikan keutamaan ketika proses pemilihan dilakukan.
"Kecantikan dan ketampanan bukanlah faktor utama ketika kami memilih peserta yang hadir pada uji bakat. Bagaimanapun, dalam lakonan, tidak dapat kita nafikan faktor paras rupa memang penting. Seseorang pelakon harus mempunyai paras yang boleh diterima peminat. Kita boleh membuatkan wajah seseorang kelihatan buruk di skrin TV, tetapi lebih sukar untuk kita mencantikkan wajah yang kurang menarik," katanya.
Begitupun, menurut Khairul Mizan, faktor paling penting yang membuatkan peserta tadi terpilih ialah komitmen mereka untuk menjayakan program terbabit. Peserta terpilih perlu meletakkan jawatan masing-masing bagi memberikan komitmen sepenuhnya kepada program realiti ini.
Khairul Mizan menegaskan, Astro amat berbangga apabila dapat menggunakan platform Anak Wayang untuk mencungkil bakat lakonan perintis, yang tidak mustahil untuk bukan saja menyinar dalam negara, malah mengembangkan sayap hingga ke persada lakonan antarabangsa.
Dua puluh lima peserta terbabit dibahagikan kepada lima kumpulan yang bertanding pada setiap minggu untuk merebut watak jururawat, mekanik, pengurus acara, konco samseng dan pembantu peribadi dalam drama bersiri Kecuali Cintamu, yang sudah pun mula ditayangkan Astro Prima sejak 25 Mei.
Setiap minggu, penonton akan dapat mengikuti program diari, Sesi Anak Wayang, yang disiarkan dari Isnin hingga Rabu, jam 9.30 malam. Menerusi diari terbabit, penonton melihat aktiviti pembelajaran peserta dan cabaran dihadapi mereka. Ia diikuti Pentas Anak Wayang, program penyingkiran yang disiarkan setiap Jumaat, jam 9.30 malam.
Menerusi Pentas Anak Wayang, penonton dapat mengikuti persembahan pelajar berdasarkan tugasan diberikan, termasuk tugasan secara spontan. Juri bertugas akan menyingkirkan tiga daripada lima peserta berdasarkan penilaian mereka. Ia membolehkan hanya dua peserta terselamat merebut sesuatu watak dipertandingkan, berdasarkan undian peminat.
Keputusannya hanya boleh diketahui pada Isnin, menerusi Panggung Anak Wayang: Kecuali Cintamu, yang disiarkan Prima pada jam 8.30 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.
Apabila kelima-lima watak sudah ditemui pelakonnya, maka kini terserah kepada penonton untuk mengundi peserta pilihan mereka. Proses undian diberikan sepenuhnya kepada peminat dan pada minggu terakhir, hanya seorang peserta akan bergelar juara Anak Wayang.
INFO:
- LIMA peserta yang bertanding merebut watak jururawat ialah Dayana (Nur Dayana Kamsun Baharin, 18, Kuala Lumpur), Delina (Norria’adelina Abdullah, 22, Kedah), Feeya (Nor Shafiza Iskandar Azizan, 20, Johor), Juwita (Juwita Haniem Rahmat, 23, Pulau Pinang) dan Widya (Widya Irani Mohd Nasir, 26, Pahang).
- PESERTA bertanding merebut watak mekanik pula ialah Afzan (Afzan A Rahman, 27, Pahang), Amar (Amar Mohd Baharin, 24, KL), Biel (Syed Hassan Nabil Al-Habshi, 21, Pulau Pinang), Lan (Mazlan Mokhtar, 26, Pahang) dan Lokman (Lokman Sokran, 34, Johor).
- PESERTA bertanding untuk watak pengurus acara terdiri daripada Eiz (Faizatul Akmal Abdullah, 22, Kedah), Fizz (Mohd Hafiz Firdaus Mohd Noor, 22, Kedah), Hairi (Mohd Hairi Safwan Aznan, 21, Kedah), Mai (Maisarah Sojangi, 19, Selangor) dan Meoki (Meoki Tong May Lan, 30, Pulau Pinang).
- PEREBUTAN watak konco samseng pula menyaksikan saingan antara Hafiz (Hafiz Salim, 21, Selangor), Msreza (Mohd Shah Rezza Abdul Rahman, 24, Johor), Murshed (Rosli Mohd Nor, 34, Pulau Pinang), Yanz (Afian Gima, 31, Johor) dan Yuzz (Yufazli Yusof, 26, Perak).
- MANAKALA Alynn (Noor Linda Lajis, 23, Johor), Mia (Nuramirah Mohd Kamil, 19, Kelantan), Nurin (Nurin Aziyana Jamali, 21, Johor), Reen (Fyzreen Damira Ahmad Farid, 22, Pulau Pinang) dan Ruby (Ooi Nor Wen, 22, Perlis) bersaing bagi watak pembantu peribadi.
- UNDIAN SMS boleh dihantar bermula Jumaat, jam 10.30 malam sehingga Ahad, jam 12 tengah hari.
- PENTAS Anak Wayang akan diacarakan pelakon Rusdi Ramli, manakala Nur Fazura pula mengacarakan Dialog Anak Wayang dan Sesi Anak Wayang.
- ANAK Wayang diterbitkan Astro dengan menggunakan format sebuah program serupa dari Colombia.
- KECUALI CINTAMU, drama bersiri yang bakal menyaksikan keputusan pemenang diumumkan dilakonkan Haleeda, Aman Shah, Janet Khoo, Zain Ruffedge, Siti Saleha, Nanu Baharuddin, Mustapha Kamal dan Riz Ainuddin. Sebahagian pelakon drama terbitan Asia Media Content ini turut hadir memberikan sokongan pada majlis memperkenalkan barisan peserta Anak Wayang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: