Tuesday, June 2, 2009

Bukan gadis oportunis

Hunny Madu nafi hasil album kerana mudah untuk lagunya diputarkan

"SAYA bukannya menghasilkan album kerana saya seorang penyampai radio Fly FM, seterusnya ia memudahkan saya memastikan lagu sendiri diputarkan di radio," tegas Hunny Madu.

Seakan mengerti telahan atau tanggapan peminat apabila dia tiba-tiba muncul dengan album memuatkan empat lagu, beberapa bulan lalu, Hunny yang peramah ini memberikan bayangan betapa dia bukan seorang yang oportunis apabila bercerita mengenai dunia muzik.

Sememangnya, Hunny bukanlah penyampai radio pertama yang menghasilkan album tatkala nama mereka mekar di bibir peminat. Beberapa penyampai seperti Khairil Rashid dan Faizal Ismail (yang menubuhkan kumpulan Khafi), Aznil Nawawi, Burn, Raja Azura, Nana dan Isma Halil pernah merakamkan lagu atau menghasilkan album ketika bergelar penyampai radio.

Lalu, apabila wanita berusia 25 tahun itu muncul dengan album mini menggunakan nama sendiri sebagai judul, ia bukanlah cerita baru dan bukan juga penyampai pertama yang bakal disoal peminat mahupun media mengenai kelebihan dimiliki kerana si penyanyi tadi turut bergelar deejay radio.

Yang nyata, minat Hunny pada dunia muzik bukannya baru bercambah beberapa hari lalu. Sejak berusia 12 tahun lagi dia sudah pun menaiki pentas menghibur orang ramai dengan nyanyiannya. Cuma, sejak dua tahun kebelakangan ini minat yang dipupuk sejak kecil itu dipergiatkan lagi sehingga terhasilnya album sulung.

Pada 2005, Hunny pernah menyertai pertandingan Blast Off bersama sebuah kumpulan yang dipanggil Admonition. Pada pertandingan musim pertama itu, mereka berjaya muncul pemenang ketiga.

"Namun, selepas itu saya mempunyai sedikit masalah untuk memberikan komitmen kepada kumpulan terbabit. Bukan saja saya perlu menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang PR dan kewartawanan di Australia, malah saya berasakan arah muzik saya dengan anggota lain agak berbeza.

"Mereka lebih kepada muzik hip hop yang diprogramkan, manakala saya sebenarnya lebih sukakan muzik yang dimainkan secara langsung. Saya sukakan bunyi daripada peralatan muzik yang dimainkan ‘live’. Justeru, sebaik saja pulang ke Kuala Lumpur, saya berasakan adalah lebih untuk saya bergerak secara solo," cerita Hunny.

Kini, muzik yang diinginkannya itu sudah dirakam dalam sebuah album yang menyenaraikan lagu hasil ciptaan sendiri serta perkongsian ilham bersama beberapa komposer lain termasuk Merp Premo dan Mahfudz. Lagu terbabit ialah Bila Dunia, That Way, Suara dan Don’t You Play. Kesemua lirik dihasilkan sendiri penyampai ini.

Diterbitkan syarikat Mtertain Sdn Bhd, album berkenaan mendapat perhatian ramai apabila ia dilancarkan Februari lalu. Terbaru, dia dicalonkan pada Anugerah Shout dalam tiga kategori termasuk persembahan vokal.

"Saya juga pastinya akan mencalonkan album ini pada Anugerah Industri Muzik nanti," kata Hunny yang aktif mengadakan persembahan seperti pada Festival Jazz Sunrize Mont Kiara pada tahun lalu, pertunjukan jazz di Chiang Mai serta beberapa lokasi persembahan jazz lain di sekitar ibu kota.

Dia juga sebenarnya turut dikenali sebagai pelakon dan pengacara televisyen. Tidak lama dulu, peminat dapat menyaksikan lakonannya sebagai ratu sorak dalam siri 5 Jingga, siaran 8TV.

"Sebenarnya, banyak juga tawaran yang datang ke tangan saya. Bagaimanapun, saya agak sibuk dengan beberapa hal lain, sehingga mengehadkan waktu untuk ke sesi uji bakat. Tambahan pula, saya seorang yang agak pemilih.

"Saya terbabit dengan siri 5 Jingga kerana sudah lama mengenali penerbitnya, Yuen. Sejak dulu dia menggalakkan saya mencuba dunia lakonan dan apabila dia menghasilkan siri itu, dia berkata, ia amat sesuai dengan saya," katanya yang kini masih berada peringkat perbincangan mengenai pembabitannya dalam sebuah filem terbitan Thailand.

Jelas Hunny, jika hendak dibandingkan antara kedua-dua bidang muzik dan lakonan, sudah tentulah muzik akan berada pada tangga lebih tinggi berbanding bidang kedua tadi.

Mengenai dunia pengacaraan pula, Hunny memberitahu, ketika ini dia menjayakan dua program televisyen bersama 8TV iaitu Quickie dan Nite Live. Program kedua itu disiarkan jam 12.45 tengah malam sehingga 2 pagi, setiap Sabtu, Ahad dan Isnin.

Sebagai penyampai pula, dia mengendalikan dua program iaitu Fly FM Must Have Music yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 pagi hingga 1 tengah hari, manakala program Campur Cart pula disiarkan setiap Ahad, dari jam 7 malam hingga 8 malam. Program Campur Chat mengetengahkan lagu popular dari kalangan penggiat seni tanah air.

INFO:

  • Nama: Hani Hashim
  • Asal: Petaling Jaya, Selangor
  • Tarikh Lahir: 1 April 1984
  • Profesion: Penyampai radio, penyanyi, pencipta lagu, pengacara TV, pelakon
  • Status: Bujang
  • Cita-cita: Usahawan dalam bidang muzik

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: