|
| PERCUTIAN dan lawatan sambil belajar pemenang Anugerah Skrin 2008 ke Hollywood pada 20 hingga 29 Mei lalu memberi pengalaman manis kepada produser drama dan pelakon yang menyertai rombongan itu. |
PERCUTIAN dan lawatan sambil belajar pemenang Anugerah Skrin 2008 ke Hollywood pada 20 hingga 29 Mei lalu memberi pengalaman manis kepada produser drama dan pelakon yang menyertai rombongan itu.
Menyertai lawatan itu Produser Tenview (M) Sdn Bhd, Norazah Sahud (kategori Drama Rantaian Terbaik- Bicara Aur Dengan Tebing), wartawan penyiaran dari Unit Berita TV3, Puspavathy Ramaloo (menang Laporan Khas Terbaik Buletin TV3 - Hutan Simpan Dinodai Orang Asli Ditindas) dan Produser Program Remaja TV3, Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam).
Bagaimanapun, pada Anugerah Skrin 2008, Gbam menang atas tiket Produksi Terbaik Muzikal Hiburan Anugerah Juara Lagu ke-22. Ketika itu dia adalah Penolong Produser AJL22 sebelum menyandang jawatan baru sebagai Produser Program Remaja TV3.
Berkongsi rasa dan pengalaman sepanjang sembilan hari berada di sana, Norazah berkata, ini kali pertama dia menjejakkan ke Hollywood dan sangat seronok kerana dapat menyaksikan sendiri kehebatan dan ketinggian teknologi yang digunakan dalam penerbitan program hiburan, drama, filem dan sebagainya.
Norazah berkata, dia amat berbesar hati dan terima kasih kepada TV3 kerana menghadiahkan lawatan ini. Ia peluang terbaik dan tidak patut dilepaskan oleh mana-mana pemenang dan mereka yang terbabit dalam persada seni tanah air.
"Sebelum datang ke sini saya banyak mendengar cerita daripada kawan-kawan yang pernah datang ke sini dan kita juga tahu perkembangan di Hollywood kerana ia menjadi tumpuan dunia dalam industri perfileman antarabangsa.
"Di negara kita belum ada pertubuhan yang dapat membuktikan dunia seni boleh menjana ekonomi negara seperti di Hollywood. Untuk itu kerajaan perlu memainkan peranan utama.
"Negara kita ada banyak persatuan, tetapi masing-masing ada kepentingan sendiri. Yang saya tidak puas hati, apabila mesyuarat diadakan semua ahli persatuan dipanggil, tetapi apabila berjaya mendapat slot daripada stesen televisyen pembahagian diberi tidak sama rata.
"Dalam perkara ini kerajaan perlu serius membantu penggiat seni tanah air. Ada kala sebagai produser sukar dan tidak tahu apa yang sesetengah stesen televisyen ini mahukan.
"Pun begitu TV3 bersikap adil kerana mereka mengutamakan produk berkualiti tanpa mengira diterbitkan syarikat produksi mana," katanya.
Bercakap mengenai lawatannya itu, jelas Norazah ia pengalaman yang sangat mahal, tetapi dia agak kecewa kerana lawatan ketiga-tiga syarikat penerbitan terkenal dunia itu (Warner Brothers, Sony Pictures dan Universal Studio) tiada penggambaran dijalankan.
"Sepanjang lawatan itu saya hanya melihat 'stage' kosong kerana mungkin kegawatan yang melanda dunia sekarang sedikit sebanyak menjejaskan industri perfileman negara itu.
"Begitu pun saya puas hati kerana dapat melihat kawasan studio yang dijadikan tempat rakaman drama dan filem. Sangat hebat menyaksikan filem Jaws, Jurassick Park dan banyak lagi filem lain di layar perak tetapi rupanya dibuat di studio saja," katanya.
Puspa pula berkata dia banyak belajar mengenai perfileman Hollywood dan produksi televisyen di sana.
"Saya mengikuti kursus perfileman (master) ketika menuntut di USM (Universiti Sains Malaysia) dan berpeluang menyertai lawatan ini membuatkan minat terhadap filem membara semula.
"Jika ada peluang saya mahu datang lagi ke sini kerana ia sangat menyeronokkan sambil dapat menambah ilmu pengetahuan," katanya.
Sementara itu Gbam berkata dia tidak menyangka berpeluang menyaksikan rakaman peringkat akhir American Idol.
"Saya dapat melihat cara kru luar bekerja dan sangat terpegun tengok macam mana mereka boleh menyiapkan piano besar di tengah pentas dalam masa tiga minit.
"Teknologi mereka terlalu ke hadapan berbanding di tempat kita. Oleh itu, kita perlu bekerja keras untuk mencapai tahap kemahiran yang mereka ada.
"Tetapi ada sesetengah peralatan yang mereka gunakan ada di negara kita cuma kita kekurangan tenaga mahir untuk mengendalikannya ataupun mungkin terlepas pandang akan kegunaannya. Selain itu semangat bekerja yang mereka tunjukkan sangat bagus apabila ada kru yang menjaga setiap bahagian produksi. Misalnya seorang kru ditugaskan khas menjaga audien saja.
"Bezanya dengan produksi kita, Pengurus Pentas akan menjaga semua perkara termasuk berinteraksi dengan audien. Keprihatinan mereka terhadap perkara kecil menjadikan sesuatu program itu kelihatan sangat besar dan mengagumkan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: