Monday, June 1, 2009

Saksi American Idol pengalaman berharga


Penerbit Primeworks Sdn Bhd, Shaifullizam Arshad teruja berada di belakang tabir produksi program realiti paling berpengaruh di dunia

YANG dinamakan pengalaman itu terlalu mahal harganya. Tidak terbayar dengan wang ringgit. Juga tidak boleh dibeli atau ditukar ganti dengan apa benda sekali pun, bahkan ia menjadi kenangan yang cukup abadi buat mereka yang menghargainya.

Kesempatan berada di Los Angeles serta menyaksikan kemuncak program realiti popular, American Idol di Nokia Theatre, cukup bermakna apatah lagi acara itu menjadi bualan ramai sebaik menjejakkan kaki di benua Amerika pada tengah hari 20 Mei lalu.

Bergegas dari lapangan terbang ke Nokia Theatre kerana siaran langsung acara kemuncak bermula jam 4.30 petang membangkitkan keterujaan, ditambah dengan suasana sesak di luar lokasi meyakinkan final American Idol begitu dinanti.

Ketika tiba di pintu masuk waktu masih berbaki dua jam sebelum siaran langsung bermula. Penonton, bagaimanapun sudah mula bersesak-sesak di pintu masuk sekali gus memberi petanda betapa program realiti itu memberikan pengaruh besar kepada penduduk Amerika Syarikat.

Telahan itu nyata benar kerana sebaik memasuki dewan, hampir keseluruhan tempat duduk sudah diisi bahkan tiada ruang kosong kerana kesemua hampir 10,000 kerusi mempunyai tuannya.

Untuk memasuki dewan juga mengambil sedikit masa kerana setiap pemegang tiket terpaksa merentasi kawalan ketat tanpa dibenarkan membawa sebarang perakam serta telefon bimbit berkamera.

“Ia antara pengalaman paling manis dalam hidup kerana dapat menyaksikan detik bermakna ini secara langsung, malah merasai sendiri bahang kehangatan American Idol yang selama ini hanya dilihat menerusi kaca televisyen,” ulas Pembantu Peribadi kepada Pengerusi & Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Edd Razhe, mengenai momen itu.

Biarpun tidak berkesempatan menyaksikan detik pertarungan akhir antara Kris Allen dan Adam Lambert, namun pengalaman singkat itu membuka mata penerbit dari Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Shaifullizam Arshad atau Gbam.

Katanya, menyaksikan sendiri produksi hebat itu membuka matanya mengenai ketangkasan serta kecekapan tenaga kerja American Idol yang menyiapkan pentas dalam masa singkat.

“Melihat cara mereka bekerja dibantu kecanggihan teknologi penerbitan menyedarkan saya betapa mereka meletak sepenuh jiwa serta kesungguhan untuk memastikan produksi besar itu gah ditonton di kaca televisyen.

“Pengalaman itu sekali gus menyuntik idea untuk diaplikasikan dalam penerbitan tempatan pada masa akan datang. Barangkali ia memerlukan sedikit masa namun tidak mustahil kita juga akan mencapai tahap itu jika bekerja keras dan mencontohi kesungguhan mereka,” katanya.

Katanya, produksi tempatan perlu berani untuk keluar daripada acuan sedia ada dan mencuba sesuatu yang baru supaya dapat meyakinkan penonton tempatan akan kekuatan mutu penerbitan tempatan.

Bagi Gbam, antara kelemahan ketara dalam produksi tempatan adalah kekurangan kemahiran kerana kebanyakan kru tidak diberi pendedahan sewajarnya untuk mempertingkatkan kemampuan.

“Kita juga memiliki apa yang mereka miliki cuma mungkin ada sesetengah perkara yang terlepas pandang membuatkan produksi tempatan tidak mampu berganjak jauh.

“Banyak kekangan yang terpaksa kita hadapi dalam menyiapkan sesebuah produksi, namun semua kelemahan itu berjaya diatasi sekali gus memperlihatkan kita juga tiada kurangnya.

“Cuma mungkin disebabkan terlalu banyak kerja yang perlu disempurnakan membuatkan produksi tempatan terlepas pandang perkara kecil sedangkan setiap aspek dalam produksi American Idol diteliti dan diperinci supaya tampil kemas di mata khalayak,” katanya.

Umum sudah mengetahui kemenangan berpihak kepada Kris Allen, menewaskan peserta pilihan ramai, Adam Lambert.

Ketika pengumuman nama pemenang dibuat pengacara, Ryan Seacrest, penonton menyambut perkhabaran itu dalam situasi terpinga-pinga seakan tidak percaya dengan apa yang didengar.

Keluhan serta luahan rasa kecewa dan hampa, terutama daripada peminat kecil yang jelas mengagumi kekuatan bakat Lambert tidak mampu mengubah keputusan apabila penonton Amerika memilih Allen sebagai idola terbaru mereka.

Betapa pengaruh yang dibina mereka begitu pantas dan besar apabila kemuncak acara itu menerima lebih 100 juta undian - satu jumlah yang cukup menyelesakan untuk kedua-dua bintang itu membina asas cemerlang di pentas antarabangsa.

Berlangsung lebih dua jam setengah, acara kemuncak American Idol memperlihatkan prestij pertandingan itu apabila menyajikan persembahan mengagumkan.

Turut membariskan nama hebat seperti Kiss, Jason Mraz, Lionel Richie, Cindy Lauper, Rod Stewart, Keith Urban, Queen Latifah dan Black Eyed Peas, final American Idol sesungguhnya memberi kepuasan yang sukar untuk diungkapkan dengan perkataan.

Kualiti produksi yang dipersembahkan sememangnya hebat. Kecekapan tenaga produksi sekelip mata mengubah suasana pentas lantas menyuntik kehangatan selaras dengan kemuncak acara yang semakin matang penganjurannya.

Perjalanan acara yang padat dan sarat paduan persembahan mengagumkan menyisihkan mata yang layu kerana kepenatan selepas hampir 16 jam merentasi angkasa.

Kewibawaan serta populariti yang diraih oleh nama besar itu tidak membataskan mereka untuk sama meraikan kehadiran nama baru yang bakal menghangatkan industri hiburan Amerika Syarikat dan antarabangsa.

Namun di sebalik kegemilangan itu, berlaku juga insiden yang barangkali cuma menterjemahkan kedangkalan maruah pengkritik tetap, Kara DioGuardi.

DioGuardi tanpa silu mendedahkan sebahagian besar tubuhnya kepada khalayak ketika berduet dengan Katrina Darrell, gadis yang mencuba nasib menyertai uji bakat yang muncul cuma berbikini di atas pentas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: