Monday, June 1, 2009

Mira cari cerita cinta berbeza

Nur Kasih bakal meruntun jiwa, emosi penonton

BERBEZA dengan karya yang dihasilkan pasangan pengarah, Kabir Bhatia dan penulis skrip, Mira Mustaffa, sebelum ini, drama bersiri 26 episod yang mula ditayangkan di TV3 pada 29 Mei, Nur Kasih muncul sebuah kisah cinta yang berlatarkan unsur agama.

Kisah dua beradik berlainan pendekatan hidup, seorang lebih keagamaan dan seorang lagi kebaratan, serta pengorbanan yang dilakukan si anak demi memenuhi permintaan bapa sebelum nafas dihembus buat kali terakhir, menjadi inti pati Nur Kasih yang membariskan pelakon baru dan lama seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Fizz Fairuz, Remy Ishak, Tiz Zaqyah, Ummie Nazeera, Sharifah Sofia, Ayu Raudhah dan Liza Othman.

Menurut Mira, idea menghasilkan kisah cinta yang bersulamkan elemen agama timbul apabila dia tercari-cari cerita yang berbeza untuk dipersembahkan kepada peminat.

"Kami sudah mempersembahkan konsep ini kepada TV3 kira-kira dua tahun lalu. Namun, ia mengambil sedikit masa untuk direalisasikan. Kebetulan pula ketika ini, filem mahupun drama dalam genre sebegini makin banyak pula dikeluarkan," kata Mira ketika mengulas andaian Nur Kasih dihasilkan berikutan kejayaan filem Ayat-Ayat Cinta dari Indonesia.

Membantu Mira untuk menghasilkan skrip berkenaan ialah Mariana Hashim dan Maizura Mohd Idris.

Suaminya pula berkata, walaupun drama itu berlatarkan agama, namun pokok pangkalnya ia masih sebuah kisah cinta yang bakal meruntun jiwa.

"Seperti filem epik Legends of the Fall (1994), walaupun ia berlatarkan kisah perang, namun pada hakikatnya ia masih sebuah kisah cinta," kata Kabir ketika ditemui pada majlis ramah-mesra bersama pelakon drama berkenaan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar.

Drama terbitan Filmscape arahan Kabir itu disuntik nafas berbeza apabila ia turut menjalani penggambaran di Sydney, Australia dan Jeddah, Arab Saudi.

"Kami memilih Sydney kerana wujudnya karakter Adam yang belajar di sebuah universiti di sana. Lagipun, Sydney sebuah kota yang amat dikenali. Saya sendiri tidak pernah sampai ke sana, jadi penggambaran ini menjadi pengalaman menyeronokkan buat kami. Sydney sememangnya sebuah kota yang amat cantik," kata Kabir sambil memberitahu, penggambaran di kota itu turut membabitkan pelakon negara berkenaan.

Mengenai Jeddah pula, pengarah itu berkata, kota itu dijadikan lokasi bagi menggambarkan beberapa babak yang kononnya berlaku di beberapa tempat di negara berkenaan. Namun, hanya Jeddah yang dijadikan lokasi berikutan tidak banyak kerenah pengurusan terpaksa dilalui bagi menjalani penggambaran di tempat terbabit, berbanding beberapa kota lain.

Rombongan kru Nur Kasih termasuk sebahagian pelakonnya berlepas ke Jeddah pada 2 Jun, manakala penggambaran di Kuala Lumpur akan berterusan sehingga Julai ini. Drama berkenaan memakan masa lebih tiga bulan untuk disiapkan rakamannya.

SINOPSIS:

NUR Kasih mengisahkan dua beradik, Aidil dan Adam yang mempunyai karakter sangat berbeza. Aidil seorang anak yang akur segala perintah ibu bapanya, penyabar dan amat menyayangi adiknya. Dia mengambil jurusan undang-undang di Universiti Al-Azhar, Mesir, dan bercita-cita menjadi peguam syariah. Adam pula hidup dalam suasana eksotik di Australia, serta bercita-cita membuka firma seni bina sendiri di Sydney. Adam cukup berdikari dan tegas dalam setiap keputusan dibuat.

Kedua-dua anak Ustaz Hassan dan Hajah Khadijah ini sama-sama berjaya dalam pelajaran, tetapi hanya seorang yang mendapat kepercayaan penuh orang tua mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: