Tuesday, June 2, 2009

Projek lombong emas Raub diteruskan


TASIK yang didakwa tercemar akibat aktiviti melombong emas di Bukit Koman, Raub.


KUALA LUMPUR - Penduduk Kampung Bukit Koman, Raub, yang mendakwa mengalami masalah kesihatan daripada penggunaan bahan kimia sianida di projek lombong emas Bukit Koman, gagal mendapatkan kebenaran bagi semakan penghakiman untuk menghentikan projek tersebut yang bermula pada Februari tahun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Lau Bee Lan menolak permohonan kebenaran bagi semakan penghakiman terhadap keputusan Ketua Pengarah Alam Sekitar yang meluluskan laporan Penilaian Awal Kesan Alam Sekitar (PEIA) bertarikh 13 Januari 1997, bagi cadangan untuk melombong emas di lombong emas Bukit Koman.

Peguam yang mewakili penduduk berkenaan, Jessica Ram Binwani memberitahu, Hakim Bee Lan membuat keputusan itu dalam kamar selepas memutuskan penduduk berkenaan lambat memfailkan permohonan kebenaran itu yang sepatutnya difailkan dalam tempoh 40 hari pengeluaran laporan PEIA.

Beliau berkata, hakim juga menolak dengan kos semua relif yang dipohon penduduk termasuk perintah untuk menghentikan projek dan perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan laporan itu.

Katanya, beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu minggu ini.

Lebih 50 penduduk Kampung Bukit Koman hadir di mahkamah dan seorang daripada mereka memberitahu projek itu terletak hanya tiga meter dari rumah mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: